Salam semanis ukhwah

Friday, March 30, 2012

Manusia berhati syaitan merosakkan keamanan

DALAM menghadapi kehidupan serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat cahaya hidayah, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau berduri, sebaliknya kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah dipenuhi bunga berwarna warni.


Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana dipengaruhi musuh Allah SWT iaitu syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis adalah makhluk pertama berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.



Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: “Syaitan menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”



Menurut ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya.



Walaupun demikian sifat syaitan, masih ada manusia yang termakan pujukan syaitan dan meninggalkan syariat Allah SWT serta petunjuk Nabi.

Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan serta perbuatan keji. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia terjebak mengikut telunjuknya.



Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.



Saidina Ali ra berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halang kebenaran.”



Mereka yang dikuasai syaitan, sebenarnya hati mereka dikuasai kebatilan dan menyangka bahawa syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.



Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga berbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.



Sayidina Muadz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)



Bagi menghindari syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat suci al-Quran, mencegah diri daripada berbicara berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan syaitan seperti ketawa berlebihan, berjalan pada waktu senja dan terakhirnya yang mesti lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya syaitan.



Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang berhati syaitan. Apabila syaitan menguasai diri manusia, mereka tidak merasa takut melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusiaan.



Lihatlah apa yang berlaku pada masa kini seperti pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa yang bukan setakat dibunuh tetapi didera, diseksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang tua menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.



Kita juga menyaksikan bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya.



Perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya dikuasai syaitan laknatullah. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman ke atas makhluk Allah adalah perbuatan dipengaruhi syaitan.



Mereka yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana diburu rasa bersalah, bukan saja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri.



Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. Justeru, marilah kita kembali ke jalan benar dengan melakukan amal salih, menutup segala pintu syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar hakikat kehidupan ini.



Renungilah firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21 bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

Thursday, March 29, 2012

‘JARAK’


ANDAI HATI MERINDUKAN SESEORANG , PEJAMKANLAH MATA dan UCAPKANLAH :

Ya Allah Aku rindukannya keranaMu Ya Allah , Jauhkanlah diriku dari perkara yang membuatkan aku lupa kepadaMu . Aku semakin mengerti, ‘JARAK’ ini bukan untuk menghukumku, tetapi ‘JARAK’ ini untuk MENJAGA aku dan dia..

~ Dengan ‘JARAK’ ini aku dan dia berjanji untuk BERUBAH menjadi yang lebih baik..

~ Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk MEMPERBAIKI cinta kepada Ilahi..

~ Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk MENCINTAI Pencipta kami lebih dari segalanya..

~ Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk MENDALAMI Islam hingga ke akar umbi..

~ Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan LEBIH BERSEDIA untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai..


Terima kasih ya Allah kerana memberi PELUANG kepadaku melalui jalanMu ini, terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.

Monday, March 26, 2012

Dua kelompok ilmuwan corakkan tamadun Islam


Prinsip perjuangan berasaskan duniawi, fikrah al-haq


PROSES pertumbuhan keintelektualan akademik sudah lama berlaku iaitu sejak lahirnya tamadun Islam di Andalusia dan Cordova. Pada masa sama, berlakunya zaman kegelapan di dunia Eropah. Selepas itu berlakulah kebangkitan rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman Renaissance.


Sejarah ringkas itu membuktikan bahawa setiap daripada tamadun itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan keintelektualan akademiknya. Pada ketika itu, timbullah beberapa tokoh terkenal seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya. Kesan daripada pertumbuhan itu berjaya mencorak masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras perkembangan politik semasa.


Sejarah keintelektualan ini mempamerkan betapa politik memainkan peranan dalam mencorak pemikiran ilmuwan negara. Namun, dengan keteguhan hati ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Syafie, mempamerkan karektor kedudukan sebenar prinsip keilmuan. Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Keteguhan prinsip itu mencerminkan betapa pentingnya pemerintah menghormati idea dan pemikiran keintelektualan.



Selaras perkembangan itu, muncullah dua kelompok intelektual Islam iaitu:
Pertama, intelek duniawi iaitu ilmuwan yang hanya memerhatikan pandangan dunia sama ada secara zahir atau rohani. Tertegaknya keintelektualan mereka hanyalah dengan bantuan pihak berkuasa atau pun dengan bantuan pihak-pihak tertentu.



Mereka bertindak sebagai badan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemegang jawatan selaras misi dan visi golongan tertentu tanpa menghiraukan al-haq dan al-batil dalam merencanakan sesuatu keputusan. Jelas di sini pendirian mereka hanyalah sekadar bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai kedudukan golongan tertentu.



Kedua, intelek spiritualisme yang lahir hasil daripada pemahaman benar terhadap tuntutan menjaga dunia ini daripada kejahilan. Mereka sedar dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi. Namun, mereka bukannya seorang kontraktor yang mampu membina sebuah bangunan pencakar langit yang tersergam indah sebagai mercu kemakmuran negara, tetapi mereka adalah arkitek yang sentiasa berfikir untuk membina jiwa yang kosong daripada hidayah Tuhan.


Dalam memperjuangkan dunia intelek ini, mereka tidak hiraukan sesiapa pun untuk terus menyebarkan fikrah al-haqq (pemikiran kebenaran). Kemuliaan diri mereka tidak terbina hasil daripada pengaruh orang atasan, tetapi datangnya dari Allah SWT. Ia adalah hasil keteguhan perjuangan mereka.



Integriti dalam dunia akademik perlu terus dipertahankan. Ia selaras dengan prinsip untuk memastikan objektiviti yakni sikap tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan terus dilestarikan. Perjuangan keilmuan hanya berpaksikan kebenaran, amanah wajib dilaksanakan dan kebenaran harus dijulang, walaupun pahit terpaksa ditelan. Oleh itu, sirah Rasulullah SAW sudah merakamkan kejayaan Baginda bersama sahabat merentas benua demi benua menjulang panji kebenaran. Seperti kata Hukama, “kebenaran yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”.



Ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau pernah berkata: “Pegawai mana saja yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan ia pun tercela”. Inilah kepemimpinan yang menegakkan kebenaran dan kepemimpinan sebegini selagi tidak bercanggah dengan kebenaran adalah harus didukung.



Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaz bin Yusuf al-Thaqafi.


soalan yang ditanya oleh Hajjaz kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaz menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaz! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaz berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.



Hajjaz begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaz berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaz memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.



Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.



Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaz dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.



Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaz. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaz hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaz ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.



Sebagai rumusannya, ambillah semangat Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus dipertikai oleh masyarakat sekeliling.

Kepentingan ilmu dalam kehidupan

ABU Rayhan al-Biruni, seorang ahli fizik terkenal yang hidup pada abad keempat Hijrah, adalah seorang ilmuwan yang amat rajin mempelajari pelbagai disiplin ilmu sehingga beliau pernah diiktiraf sebagai salah seorang ilmuwan Muslim yang tersohor.


Pada satu ketika, saat menjelangnya ajal di katil pembaringan, seorang sahabatnya ahli fikah datang menziarahinya. Bagi al-Biruni, ini adalah kesempatan terbaik untuknya bertanyakan mengenai pelbagai masalah dan hukum.


Ahli fikah itu terkejut dan berkata: “Saya fikir pada saat ini bukanlah waktu yang sesuai untuk tuan berbahas dan berbicara mengenai ilmu pengetahuan.” Jawab al-Biruni secara terus-terang: “Kamu silap, wahai sahabatku! Aku fikir adalah lebih baik sekiranya aku mengetahui masalah dan hukum ini, kemudian aku meninggal dunia, daripada aku tidak mengetahui sesuatu apa pun, lalu aku meninggal.”



Begitulah cara hidup orang yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu pada setiap masa dan ketika. Ilmu adalah hidangan rohani kita. Di samping kita memikirkan kepentingan fizikal dan keperluan jasmani, kita juga perlu memikirkan hidangan rohani dan keperluan spiritual.


Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein pernah berkata: “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”


Menyedari akan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia, Islam mewajibkan setiap Muslim untuk menuntutnya dan mencarinya sebanyak mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardu kepada setiap Muslim, lelaki mahu pun wanita.” (Riwayat Ibnu Majah)



Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud: “Kelebihan seorang yang berilmu berbanding dengan seorang yang abid adalah seumpama kelebihan bulan purnama yang terang benderang di sisi bintang yang bergemerlapan dan cakerawala yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Di dalam al-Quran juga terdapat banyak rangkaian ayat memberi kemuliaan dan keistimewaan penuntut ilmu dan pencintanya. Antaranya, firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu).”

Dalam al-Quran juga terdapat banyak perintah untuk mempelajari dan merenung rahsia penciptaan alam, watak manusia, sejarah umat silam dan hukum-hakam. Sejarah Islam juga merakamkan bahawa beberapa orang kafir ditawan dalam Peperangan Badar, diberikan peluang Rasulullah SAW untuk dibebaskan daripada tawanan dengan tebusan.



Namun, terdapat beberapa orang saja yang boleh membaca dan menulis yang mendapat peluang diberikan itu, iaitu mengajarkan ilmu kepada pemuda Islam.


Oleh sebab itu, ilmu pengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi Allah yang mana ia terbukti melalui pengiktirafan Allah terhadap ilmu melalui wahyu pertama Ilahi kepada junjungan besar Rasulullah yang memerintahkan baginda mempelajari ilmu dan menitikberatkan kepentingan pembelajaran dalam setiap aspek kehidupan manusia.



Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”



Yang lebih menariknya, Islam menganggap hanya manusia yang dihiasi dengan ilmu pengetahuan saja adalah golongan yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir, ayat 28)



Jelas di sini bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam mengandungi satu kefahaman ilmu yang menyeluruh dan bersepadu yang mana antara ilmu dan nilai-nilainya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Termasuk dalam konteks ini, ilmu sains dan teknologi juga antara cabang ilmu pengetahuan memberi manfaat dan faedah amat besar kepada kelangsungan tamadun manusia.



Malahan Islam menjulang ilmu pengetahuan sebagai mekanisme utama menjurus ke arah kecemerlangan ummah.

Friday, March 23, 2012

Kawal emosi elak terjerumus ke lembah kehinaan

GERUN, takut dan rasa marah yang amat sangat apabila kita menatap paparan laporan media saban hari mengenai pembunuhan insan tidak berdosa. seolah-olah nyawa manusia begitu murah.


Sejarah pembunuhan berlaku sejak kewujudan manusia di muka bumi apabila Qabil bertindak membunuh saudaranya, Habil kerana iri hati. Sejak itu, satu persatu insiden pembunuhan menempa manusia seolah-olah membawa karakter buruk Qabil dalam kehidupan.



Kini, masih ramai manusia mewarisi sikap Qabil hingga tergamak membunuh bagi mencapai sesuatu yang dihajati atau melepaskan dendam kesumat di hati. Malah lebih tragis lagi, manusia masa kini dikatakan berfikiran bijaksana, berintelektual tinggi dan berteknologi canggih, masih terdapat yang mengetepikan nilai kemanusiaan, sebaliknya termakan hasutan syaitan dan usapan nafsu sehingga menggunakan pelbagai kaedah amat kejam ke atas mangsa.



Akibat tidak berpegang kepada nilai agama yang kukuh, pastinya memudahkan syaitan dan nafsu menjerumuskan kita ke arah yang terpesong daripada acuan agama.



Membunuh adalah dosa besar yang seharusnya dijauhi oleh setiap mukmin yang mengaku beriman dan bertakwa. Perlu kita ingat bahawa membunuh seseorang dengan sengaja, baik atas alasan iri hati, dendam kesumat atau apa saja tanpa alas an yang dibenarkan agama termasuk dalam golongan orang melakukan dosa besar.



Allah amat benci dan melaknat mereka yang terbabit membunuh insan lain dan mengancam dengan azab seksa maha pedih di akhirat kelak. Ini seperti mana kata Allah, “Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab besar baginya.” (Maksud Surah An-Nisa’ ayat 93).



Sebenarnya orang sanggup membunuh orang lain tanpa hak adalah golongan yang tidak memiliki nilai keimanan dan berjiwa rapuh. Walhal, dalam Islam, nilai kasih sayang dan mencintai antara satu sama lain dijadikan tonggak dalam kehidupan bermasyarakat dalam satu ikatan ummah yang utuh berpadu.



Seharusnya kita sebagai umat Muhammad SAW menyerapkan amalan silaturahim yang kukuh kerana inilah saja jalur kehidupan yang dituntut ke atas kita. Amalan itu seandainya kita padukan sungguh-sungguh dalam kehidupan akan memberikan kesan sangat positif ke arah mewujudkan satu ummah aman dan sejahtera lagi dirahmati Allah.



Telitilah dengan fahaman dan penghayatan sebenar makna Asmaul Husna, Allah Ya Rahman Ya Rahim seandainya diterapkan dengan penuh sedar boleh menjadi ubat ajaib dalam membina perpaduan yang erat sesama ummah.



Ingatlah bahawa Allah menyatakan, “Orang beriman dan beramal salih kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Maksud Surah Maryam ayat 96).



Orang yang beriman dan bertakwa sebenar sangat menekankan hubungan baik sesama mukmin dengan memperkasakan nilai sahsiah mahmudah setiap masa dalam kehidupan.

Pada prinsipnya Islam masih membenarkan pembunuhan, tetapi bagi situasi yang diharuskan seperti dalam peperangan. Itupun masih tertakluk kepada etika juga. Dalam peperangan, Islam melarang keras membunuh dan menganiaya wanita, orang tua yang uzur dan kanak-kanak.



Ini selalu dipesan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat Baginda. Demikianlah keindahan Islam yang menjaga maruah manusia.



Dalam Islam, orang membunuh tanpa hak secara hukum syarak dikenakan hukuman qisas, iaitu balasan bunuh ke atas pelakunya. Allah mengatakan, “Wahai orang yang beriman, diperlukan atas kamu qisas dalam pembunuhan, merdeka dengan merdeka, sahaya dengan sahaya, perempuan dengan perempuan.



“Barang siapa mendapat maaf daripada saudaranya, maka hendaklah dia mengikut secara baik dan membayar (diyat) kepada saudaranya itu dengan baik. Demikian itu satu keringanan daripada Tuhanmu dan rahmat-Nya. Barang siapa yang bertindak zalim, sesudah itu, maka untuknya seksaan yang pedih.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 178)



Dalam satu kenyataan, Rasulullah SAW menyebut kafir bagi pembunuh sebagaimana kata Baginda, “Janganlah kamu menjadi kafir sepeninggalanku dengan cara kamu membunuh sebahagian yang lain.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi). Ini membayangkan bahawa kesalahan membunuh manusia tanpa hak yang diharuskan agama satu dosa besar yang nyata.



Malah pada satu ketika yang lain Rasulullah SAW meletakkan kedudukan membunuh itu dosa besar kedua terburuk selepas perbuatan menyekutukan Allah. Kata Rasulullah SAW, “Di antara dosa paling besar adalah menyekutukan Allah, membunuh orang lain dan bersumpah palsu.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi)



Begitulah bersungguhnya Rasulullah SAW melarang kita daripada terjebak dalam kesalahan membunuh sehingga perkataan ‘kafir’ diguna pakai dalam pernyataan hadis Baginda itu tadi. Ini seharusnya memberi isyarat bermakna buat kita agar berusaha keras mengawal diri dan emosi supaya syaitan dan nafsu liat tidak berjaya memerangkap kita ke lembah yang hina itu.

Tuesday, March 20, 2012

Alasan pinggir IbuBapa lebih didorong bisikan Syaitan

ADA tiga kes ibu bapa menjadi tajuk berita dalam akhbar iaitu 'Buang bapa, kebas wang', 'Tinggalkan ibu lumpuh di hotel' dan 'Buang ayah sebab ayah pengacau'. Ketiga-tiga tajuk berkenaan benar-benar menyentap perasaan. Lebih terhiris hati apabila membaca pengakuan anak yang menyebut "Saya mengaku dia bapa kandung saya tetapi kami tidak serasi hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga saya".


Cerita Alqamah dengan ibunya banyak memberi pengajaran kalau kita benar-benar menghayatinya. Peranan yang dimainkan Rasulullah SAW mendorong ibu Alqamah segera memaafkannya, berbeza dengan pendiriannya sebelum itu. Sifat pemaaf ibu memudahkan Alqamah menghembuskan nafas akhirnya.


Sebaik saja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya." (Hadis Riwayat Abu al-Laith)


Justeru, isteri perlu memahami hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak akan bertindak dengan apa yang terbiasa dilakukan pada ibu bapa kerana kesaksamaan Allah itu maha adil.


Perbuatan anak di dunia sebenarnya menjadi ukuran dalam melayani kedua-dua ibu bapanya. Perbuatan anak dikatakan menjadi bayangan kepada penerimaan dirinya sebagai ayah pada hari tua nanti. Setiap perbuatan kita terhadap orang tua akan diterima pembalasannya pada usia yang sama. Sebenarnya, alasan untuk meminggirkan kedua-dua ibu bapa kita lebih terdorong oleh bisikan nafsu.


Membiarkan nafsu menguasai diri akan merosakkan nilai sahsiah manusia. Banyak kerosakan yang berlaku hari ini berpunca daripada kehendak nafsu, sama ada nafsu ingin membalas dendam atau amarah yang tidak terkawal terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu amarah sangat mengheret kepada kejahatan.” (Ayat 53: Surah Yusuf).


Sebagai seorang anak yang baik, kita hendaklah memperbanyakkan perkataan yang lembut dengan rangkuman kasih sayang kepada ibu bapa. Rendahkan suara di hadapan keduanya dan usah bersikap menyombong diri seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang...” (Surah Al-Isra, ayat 24)


Orang yang beriman akan memberi keutamaan kepada kedua-dua ibu bapanya sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan untuk berbakti kepada ibu bapa ketika hidupnya mengakibatkan kita menempuh laluan sukar di akhirat nanti.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah.


Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Hadis Riwayat Muslim)



Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua apabila menyalahi perintah kedua-duanya, seperti bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang daripada mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat.



Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun, bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembali mu.” (Surah Luqman, ayat 14)



Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan mendapat keberkatan hidupnya di dunia. Sesiapa yang derhaka kepada ibu bapa akan disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa selagi itulah kita hidup dalam kemurkaan Allah.



Rasulullah SAW bersabda: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua-dua ibu bapa” (Hadis riwayat Tirmizi).

Hikmah Berdakwah Secara Lemah-lembut

ADA seorang pemuda yang datang menghadap Rasulullah SAW untuk bertaubat dan bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa kecuali berzina. Pengakuan pemuda itu mendapat maklum balas penuh sinis dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tetap mengajak pemuda tadi untuk berdialog dengan penuh santun dan senyuman seorang pembawa khabar gembira untuk umatnya.


Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu suka kalau hal ini berlaku kepada ibu kamu? Jawab pemuda: Tidak, demi Allah! Aku sebagai jaminanmu. “Demikianlah pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi kepada ibu mereka,” jelas Rasulullah SAW kepada pemuda itu. Kemudian, Rasulullah SAW bertanyakan lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini terjadi kepada anak perempuan kamu?” Dia menjawab: Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu.


Rasulullah SAW menjelaskan: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada anak-anak perempuan mereka”. Ujar Rasulullah SAW lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Begitu juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada saudara perempuan mereka.”


(firman Allah swt yang maksudnya: "serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik", surah al-Nahl, ayat 125.)



Rasulullah SAW bertanya lagi kepada pemuda: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada ibu saudaramu?” Pemuda itu kembali menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lantas Rasulullah SAW pun berkata: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai perkara ini terjadi kepada ibu saudara mereka.”

Akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda kepada pemuda itu seraya berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharakanlah kemaluannya.” Selepas itu, barulah pemuda itu menyatakan taubatnya kepada Allah dengan taubat nasuha.



Jelas daripada kisah ini, betapa Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita menelaah dalam sirah Rasulullah SAW dan betul-betul menghayatinya, didapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutama sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraisy, dan natijahnya amat luar biasa dan mengagumkan. Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125).


Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah dialog antara Nabi Ibrahim AS dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa AS dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf as dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi.



Pengajaran yang penting daripada kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". (Surah Taha, ayat 43-44)


Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108)


Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan bukan Muslim bukan hanya tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT.

Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama Muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam.



Dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani dalam kalangan bukan Muslim kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan.

Saturday, March 17, 2012

Cakap banyak, mulut celupar tanda akhlak buruk

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.” Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.”


Orang yang menyatakan akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah, maka kita tanya kepadanya:
“Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan yang kita dituntut untuk menyampaikannya, atau nasihat-menasihati antara satu sama lain, ataupun pendidikan.”

Hakikat budi pekerti itu adalah perilaku (hal dan keadaan) yang meresap dalam jiwa seseorang. Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan dengan perasaan senang dan mudah, tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.

Jika yang terbit daripada perilaku itu perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak, maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik. Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat, maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya orang yang terdekat kepadaku di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.”

Sudah sepatutnya orang yang beriman dengan Rasulullah SAW bersemangat untuk menghiasi dirinya dengan semua bentuk akhlak mulia. Sehingga Rasulullah SAW mencintainya dan dekat dengannya di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang Baginda perintah.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara sekalian kamu dan paling dekat kedudukannya kepadaku di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya. Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku dan terjauh dariku di akhirat iaitu mereka yang terburuk akhlaknya. Mereka itulah ‘Tsarsarun’, ‘Mutafaihiqun’ dan ‘Mutasyaddiqun’.”

Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap, mutafaihiqun ialah orang yang sombong dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati. Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah SAW dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh hingga tercapai cita-citanya.

Tuesday, March 13, 2012

Tidak semestinya memiliki andai ia bukan suatu ketentuan Illahi

assalamualaikum,

Setiap manusia yang hidup dalam dunia ini pasti akan melakukan kesilapan termasuklah dengan diri saya sendiri. Namun dalam diri setiap manusia itu juga pasti mahu melakukan yang terbaik dalam kehidupannya. Sekali kita silap, memang sakit untuk menangunggnya. lebih-lebih lagi jika ia bermain dengan perasaan.


Bukan niat kita untuk melakukan kesilapan itu, tetapi pegangan agama yang lemahlah yang menyebabkan perkara sedemikian berlaku. Mengikuti kehendak diri tanpa berfikir sama ada kita berada dilandasan yang betul ataupun berada pada jalan yang salah adalah tindakan yang tidak bijak. kadang-kadang kita mungkin menyakitkan hati orang lain tanpa kita sedari pada tindakan yang kita ambil ini.

Mengenai perasaan suka, andai kita menyukai seseorang tidak semestinya kita akan memilikinya. berdoalah dan bertawakal pada Allah swt adalah jalan yang terbaik perlu kita pilih. Keazaman seseorang individu itu juga perlu kuat untuk meneruskan kehidupannya bagi mencapai kejayaan di masa hadapan. memang tidak menyenangkan diri andai kita tersilap langkah menyukai orang yang tidak pernah kita miliki. memohon agar diriku dapat keluar dari dua pilihan hati.


perasaan buntu yang bertapak dalam hati ini begitu menyakitkan. hanya kesabaran yang kuat dan tempoh masa yang panjang mampu mengubatinya. Dalam masa yang sama, memperbetulkan kesilapan diri adalah sangat-sangat diinginkan. Dimasa sekarang ini diriku, hanya mampu berserah dan berdoa pada Illahi memberi petunjuk pada diriku agar memilih pada pilihan yang betul. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauh mana kesedihan dan kegelisahan ini berada dihati. semoga terubat kembali. Amin ya rabbal Alamin.


#kadang link ini menceritakan apa yang berlaku...tapi ia hanyalah sekadar [http://youtu.be/ZvbMpTm0Dvs]

Sunday, March 11, 2012

Peritnya Ujian Mu Ya Allah.

sesungguhnya diriku ini hanyalah seorang hamba yang hina dan juga lemah semangat. Bukan mudah untuk diriku harungi kepahitan ini. semoga esok daku mampu menjawab exam dengan fikiran yang tenang. Daku mohon kepadaMu ya Allah. Hanya padaMu daku memohon dan bertawakal :'( berilah daku petunjuk Ya Allah. Diriku sangat kebuntuan di masa ini. La Tahzan. t_t

Monday, March 5, 2012

Pengorbanan anak terhadap ibu bapa


Hormat, jaga hati elak tersinggung


MELAKUKAN kebaikan kepada ibu bapa adalah suatu perintah daripada Allah SWT kepada setiap Muslimin dan Muslimat. Sebagai seorang anak, kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa kerana ia satu ibadat dalam Islam. Seperti mana yang kita maklum konsep ibadat dalam Islam adalah syumul iaitu menyeluruh. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara ibadat yang dituntut dalam Islam sekali gus kita akan dapat menjadi penyejuk mata bagi ibu bapa kita lebih-lebih lagi apabila mereka melangkah ke usia emas. Di samping itu, kita hendaklah menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh ibu bapa sedari kita kecil lagi sehinggalah kita berjaya menjadi seperti sekarang.



Kita sebagai anak perlulah menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati, maka dia dianggap sudah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah SWT.
Daripada Abdullah bin Amru ra, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).



Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab: “Ibumu.” Kemudian aku bertanya: “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).



Apa yang nyata, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran, (Surah Luqman, ayat 14) yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.”



Seterusnya dalam surah al-Ahqaf ayat 15 bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula), mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjuklah Aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya Aku dapat berbuat amal yang salih yang Engkau reda; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya Aku termasuk orang yang berserah diri".



Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah mengenai perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malah dalam dirinya sendiri ada hak kedua-dua ibu bapanya. Jelaslah ibu bapa mempunyai hak terhadap apa saja yang ada pada kita. Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur.



Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari, sanggupkah kita mengecewakan hatinya. Oleh kerana besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula.



Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Barang siapa ketika paginya mendapat keredaan ibu bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika pada pagi lagi telah menyakiti hati ibu bapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka.”

Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa. Hakikat ini perlulah kita insaf. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka akan menerima pahala itu. Inilah saja bukti ketaatan yang dapat kita tunjukkan terhadapnya.



Ingatlah pesanan Nabi SAW: “Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang berbuat baik kepada ibu bapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibu bapa, buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan memberikan keampunan sedikitpun kepadanya.” Ingatlah anak yang berbuat baik kepada ibu bapa tidak akan masuk neraka dan anak yang derhaka kepada mereka tidak akan masuk syurga.”

Saturday, March 3, 2012

Hadir hati dalam solat adalah satu keperluan


Salah satu perkara untuk mencapai sifat khusyuk dalam solat ialah "al-Haibah" atau disebut dalam bahasa Melayu dengan 'hebat', yang bermaksud 'gerun' terhadap Tuhan. Tidak sama dengan rasa gerun terhadap manusia yang ganas, dihadapannya seseorang merasa gerun mungkin takut kepada tindakannya yang ganas, tetapi di belakangnya dikutuk dan dicela habis-habisan.



Orang yang sebenarnya hebat, manusia yang akan merasa gerun sama ada ketika bersua di hadapannya atau sebaliknya. Jika di belakangnya merasa berat mulut untuk mengata yang tidak sopan terhadapnya. Perkara seterusnya untuk kesempernaan khusyuk dalam solat ialah ar-Raja' (menaruh harap kepada-Nya), oleh kerana Tuhan itu bersifat dengan segala sifat Maha Baik dan sebagai-Nya, sudah pasti sebagai manusia yang serba kekurangan dengan pelbagai kelemahan dari segenap sudut, dengan sendiri tercetus di hati rasa menaruh harapan dan bergantung hidup kepada-Nya.


Bagi Allah SWT mempunyai kelebihan dari segala makhluk, sudah tentu bagi manusia timbul perasaan 'ar-Raja' (menaruh harap) akan menjadi hamba-Nya yang setia jika pun tidak boleh menjadi orang besar. Perkara terakhir yang perlu ada untuk mencapai khusyuk dalam solat ialah "al-Hayak" (malu). Kekadang sebelum dari melakukan solat manusia menunjukkan sifat membesar diri dengan kata-kata atau perbuatan, padahal dirinya terlalu kerdil di sisi Allah SWT, sewajarnya merasa malu apabila menyedari perkara itu.


Ketahuilah bahawa kepada hadir hati itu punca utamanya ialah 'himmah', iaitu setakat mana kemahuan hasrat untuk melaksanakan solat. Menunaikan solat bukan kerana disuruh oleh sesiapa bahkan atas kemahuan sendiri, maka hudhurul qalbi nescaya akan hadir juga. Tidak akan hadir hati kecuali apa yang menjadi hasratnya.


Kerana hati seseorang bertindak menurut himmah (hasrat, orang yang sentiasa bergantung hidup atas ihsan ibubapa, tidak mempunyai himmah (cita-cita) untuk berusaha mencari kelebihan rezeki atau kekayaan. Kerana menurutnya apa guna bersusah payah, sedang keperluan makan minum disediakan oleh ibubapa.


Apabila suatu urusan menjadi tumpuan hasrat manusia, maka hatinya akan hadir, mengenai perkara tersebut sama ada ia suka atau sebaliknya. Anggota zahir menuju destinasi di mana hatinya sedang berada, hadir hati dalam solat atau tidak, terletak sejauh mana seseorang memerlukan solat itu dilaksanakan. Hati sentiasa hadir (Khsyuk) apabila menyedari betapa mustahak atau pentingnya solat itu dilaksana dengan baik dan cermat, kerana apabila dia dibangkitkan di akhirat kelak perkara pertama yang disoal oleh Allah SWT ialah solat.


Hati manusia jika tidak beri kerjasama dan tidak hadir semasa solat tidak bererti dia akan kosong tanpa sesuatu, bahkan bahkan dia merayau dan tertumpu pada kepada perkara mustahak yang lain. Biasanya yang memaut hati ialah perkara urusan duniawi, sama ada memikir untung rugi perniagaan atau sebagainya. Nabi s.a.w. berkempen agar umatnya rajin menunaikan solat dengan sabdanya yang bermaksud: "Kalaulah kamu tahu bahawa setiap solat kamu solat jemaah Isya dan Subuh akan mendapat setiap seorang sebelah peha kambing yang berdaging berpanggang lemak lemak, nescaya akan sentiasa penuh sidang jemaah di masjid walau jemaah dengan jalan mengensot."


Oleh itu tiada helah atau beralasan untuk menghadirkan hati (khusyuk) kecuali ditumpukan sepenuh hati terhadap solat, tidak mungkin kemahuan hati tidak mungkin boleh dipaksa kecuali dia memahami dan menyakini dengan jelas, bahawa tujuan Allah SWT menciptakan manusia bergantung rapat dengan solat.


"Perkara terakhir yang perlua ada untuk mencapai khusyuk dalam solat ialah 'al-Hayak' (malu)."


Iaitu setiap manusia kena yakin sepenuhnya bahawa akhirat lebih baik dan lebih kekal daripada dunia yang fana ini, sebenarnya inilah persoalan yang menjadi persoalan kepada manusia. Selagi persoalan ini tidak selesai maka sebarang urusan agama sama ada soal solat dan ibadah fardu yang lain segala urusan agama tidak akan selesai. Sebagaimana seseorang manusia yakin bahawa RM10 lebih baik daripada RM5, maka demikianlah sepatutnya manusia tahu bahawa akhirat itu lebih baik dan lebih kekal daripada kehidupan di dunia ini. Insya-Allah sebarang perkara yang berhubung dengan akhirat, akan diberi tumpuan sepenuhnya oleh manusia yang yakin itu.


Menurut Aisyah r.anha bahawa Rasulullah s.a.w. menyampaikan seruan Islam tidak dengan menyatakan perkara halal haram terlebih dahulu, tetapi dengan menjelaskan keimanan terhadap Allah SWT dan hari kiamat serta dosa pahala dan syurga neraka. Sepeuluh tahun nabi s.a.w. menyatakan tentang ketuhanan dan hari akhirat, sedangkan kafarduan solat ialah selepas peristiwa Israk-Mikraj kira-kira sepeuluh tahun daripada kerasulannya.

Manusia mana mahu mengerjakan yang wajib dan menuinggalkan yang haram sebelum mereka beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, mereka hanya sedia mentaati semua perintah setelah meyakini adanya hari akhirat dan hari pembalasan nikmat syurga dan azab neraka. Riwayat masyhur mengenai penjual susu di zaman saiyidina Umar, suatu malam Umar berjalan terdengar perbualan penjual susu itu yang hendak menambah air supaya pendapatanya banyak. Lalu ditegur oleh anaknya supaya membatalkan hasratnya itu kerana kelak diketahui oleh Khalifah Umar.


Ujar penjual susu; malam begini Umar tiada katanya, tetapi Tuhan Umar tetap ada dan melihatnya kata nak penjual susu. Demikian keyakinan seorang anak Badwi yang terlatih tentang keyakinan terhadap Allah SWT dan hari akhirat.

^_^ semoga sama-sama kita terapkan dalam diri dan menghayati sepanjang kehidupan kita. Insya-Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...