Salam semanis ukhwah

Monday, April 9, 2012

mensyukuri nikmat dengan perbuatan bukan dengan percakapan


PADA zaman Saidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Kaabah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa beliau didengar Saidina Umar yang melakukan tawaf di Baitullah.


Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda itu. Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa, apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”


Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur.”


Pemuda itu menjelaskan, beliau memohon supaya Allah memasukkannya dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu.”


Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran dan nikmat dianugerahkan Allah SWT. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat, kita juga perlu bersyukur apabila terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana.


Pelbagai nikmat dianugerahkan Allah SWT terhadap hamba-Nya. Keseluruhan nikmat dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran. Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT.


Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan diperoleh oleh pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang dipimpinnya. Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.


Begitulah bukti mensyukuri nikmat yang lain dengan menggunakannya kepada jalan Allah SWT. Banyak pengajaran ditunjukkan oleh Allah mengenai mereka yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-Nya.


Antaranya, Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Hamman diseksa kerana kufur nikmat kecerdikan Allah SWT berikan.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat itu kepada kaum yang lain pula.” (Hadis riwayat at-Thabrani)


Berdasarkan peristiwa dirakamkan dalam al-Quran, ia membuktikan nikmat Allah SWT yang tidak disyukuri akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya. Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang Allah kurniakan tanpa kita sedari.


Allah menyatakan, jika kita cuba menghitung nikmat dikurniakan kepada kita, nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (Surah an-Nahl, ayat 18)


Mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah, sedikit atau banyak, mereka itu masih jauh dengan rahmat Allah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)


Bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah, seluruh hidupnya mengarah kepada tuntutan ibadah diperintahkan Allah SWT.


Kerap kali kita memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga lupa mensyukuri apa yang ada di depan. Kita merasa sedih kerana kekurangan material padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan.


Oleh itu, renungkanlah supaya kita sentiasa bersyukur dan janganlah kita termasuk golongan mereka yang ingkar. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.” (Surah an-Nahl, ayat 83)


Justeru, sentiasalah bersyukur kepada Allah SWT tanpa bertangguh-tangguh. Jika kita menerima nikmat Allah keseluruhannya wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang menghayati dan bersyukur dengan pemberian Allah SWT.

Sentiasa takut kebesaran Tuhan


FIRMAN Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman yang bila disebut Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat Allah kepadanya, maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakal kepada Tuhannya." (Surah Al-Anfal, ayat 2)


Ayat ini sudah terang lagi bersuluh buat renungan kita bersama, betapa besarnya kegerunan yang ada dalam diri orang beriman apabila dibacakan ayat Allah kepada mereka. Mukmin sebenar apabila disebut nama Allah gementar hatinya kerana takutkan kebesaran Allah.


Bertambah keimanan mereka apabila membaca ayat al-Quran dan mereka juga sentiasa bertawakal kepada Allah dengan segala daya upaya. Kemanisan melakukan ibadah seperti solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas terhadap Allah SWT.


Dosa kecil dilakukan bagi mereka seperti gunung besar menunggu masa dan tikanya untuk menghempap. Manakala bagi orang yang tidak beriman, mereka tiada gentar dan takut dengan azab Allah serta beranggapan dosa dilakukan seperti berlalunya seekor lalat menghinggapi pipi.


Begitu enteng sekali persoalan dosa pada pandangan mereka padahal dosa dilakukan mereka akan dihumbankan ke neraka Allah SWT. Berlainan pula dengan sikap orang beriman, mereka terlalu takut berbuat dosa kepada Allah walaupun kecil.


Firman Allah bermaksud: “Mereka (para penjual jiwa raga dan harta) adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, rukuk dan sujud, menyuruh melakukan makruf dan melarang melakukan kemungkaran dan memelihara hukum Allah, dan sampaikan berita gembira kepada orang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 112)


Allah SWT memuji hamba-Nya yang rela menjual jiwa dan raganya serta hartanya kepada Allah SWT dengan balasan syurga. Orang yang melakukan jualan dan mengadakan urus niaga ini ialah golongan manusia terpilih yang mempunyai sifat istimewa.
Antaranya, sifat berkaitan diri sendiri dalam hubungan secara langsung dengan Allah SWT.


Mereka ini disifatkan orang bertaubat dari dosanya, beribadat kepada tuhannya dalam kata-kata dan perbuatan. Allah SWT memberikan khabar gembira bagi orang mukmin kerana iman itu menjangkau semua sifat baik.


Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,


– Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka mereka orang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang yang berhak mewarisi - Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun ayat 1-11)


Kesempurnaan iman seseorang itu akan mewariskan dia syurga Allah SWT yang tertinggi. Mendapat kedudukan mulia bukan saja di dunia tetapi di akhirat. Kehidupannya dimuliakan bukan saja makhluk dunia, malah dihormati di kalangan makhluk di langit.


Bahkan kematiannya diratapi makhluk dunia serta ditunggu- tunggu makhluk langit lantaran keimanannya itu membuatkan makhluk langit tidak sabar-sabar mahu melihat roh mulianya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...