Salam semanis ukhwah

Tuesday, November 22, 2011

Perkasa Pendidikan Ke Arah Pemantapan Iman

Muslim perlu berhijrah dengan positif agar masa depan generasi lebih cemerlang

BULAN Zulhijjah 1432 Hijrah kian menghampiri penghujungnya dan tahun baru bakal menjengah tiba. Pelbagai usaha dan cara dilakukan umat Islam dalam menyambut kedatangan Maal Hijrah yang mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Hijrah ialah langkah strategik diambil Rasulullah SAW untuk menegakkan dakwah Islamiah. Kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung keimanan serta ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)


Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan dengan agenda membangun negara berteraskan petunjuk al-Quran. Dalam masa 10 tahun saja, Madinah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi.

Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini ialah mengikuti jejak langkah Baginda yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.
Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa supaya menjadi panduan kehidupan. Pemantapan iman berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh. Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir.


Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.


Berdasarkan pemerhatian dalam bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang sains lain, didapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian bangsa lain. Ini cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menuntut kebijaksanaan tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaharuan ilmu dan pendidikan bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi.


Cara ini akan melahirkan ilmuwan selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan teladan supaya menjadi sumber ikutan baik dalam kalangan umat lain. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan membuat pandangan supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan membina untuk kebaikan semua.


Kita semua sedia maklum pendidikan berkesan tidak akan terlaksana jika tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak terutama institusi keluarga.

Bersempena kedatangan tahun baru hijrah, marilah bersama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Thursday, November 17, 2011

Kejujuran Sebagai Saksi diberi Ganjaran dunia Mahupun Ganjaran di akhirat kelak

PENGORBANAN dan liabiliti seorang saksi di negara kita sememangnya berat. Atas faktor itulah, ada yang tidak mahu menjadi saksi dalam pelbagai kes dan kejadian biarpun menjadi orang pertama atau paling berhak menyatakan kebenaran dengan kesaksian.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah SWT lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa, ayat 135)

Tanggapan menjadi saksi akan berdepan pelbagai masalah wajar dikikis kerana jika tanggapan ini menguasai minda masyarakat maka sukar pihak terbabit menyelesaikan kes selain banyak individu tidak mendapat pembelaan sementara penjenayah bebas.

Di sebalik kesukaran dan kepayahan dihadapi seseorang yang bergelar saksi, sebenarnya dia sudah menunaikan tuntutan agama Allah SWT serta memenuhi hak manusia lain. Kesanggupan mengambil tanggungjawab sebagai saksi pasti dibalas ganjaran pahala.



Malah, saksi akan dipermudahkan Allah SWT segala urusannya kerana sikap sanggup berkorban masa dan khidmat sebagai saksi sehingga dapat menyenangkan pihak lain seumpama bersedekah.


Bersesuaian maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia, Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada dalam kesempitan, melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah SWT akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah SWT pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Muslim)


Kehadiran saksi yang jujur memberikan keterangan akan dapat menegakkan keadilan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah SWT, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8)
Pihak bertanggungjawab sentiasa menjaga keselamatan saksi dan kerahsiaan mereka. Bagaimanapun, itu belum cukup memberi kefahaman untuk menggalakkan masyarakat tampil menjadi saksi.


Justeru, usaha perlu dilakukan supaya masyarakat faham tanggungjawab untuk tampil memberikan maklumat supaya siasatan dapat dilakukan lebih terperinci dan pada masa sama, masyarakat diyakinkan dengan aspek keselamatan diberikan kepada saksi.


Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sesuatu perkara perlu diberi galakan untuk ke depan kerana ada mengambil ringan perkara itu disebabkan tidak mahu menyusahkan diri terutama apabila membabitkan kes mahkamah.


Selain itu, saksi perlu mengutamakan kebenaran ketika memberikan kesaksian lantaran amaran dan azab Allah SWT bagi sesiapa yang tidak jujur dan benar dalam keterangan sehingga menjadi fitnah atau menzalimi kepada pihak lain.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah an-Nur, ayat 19)

Monday, November 7, 2011

Pemimpin Haruslah mencontohi pendekatan Nabi Ibrahim dalam membuat keputusan

IBADAH korban yang mengiringi sambutan Aidiladha sempena pelaksanaan ibadah haji setiap tahun tidak seharusnya dilihat sebagai upacara keagamaan semata-mata sebaliknya perlu diperhalusi daripada sisi pandangan yang lain.

Sebenarnya ibadah korban mempunyai hubungan langsung dengan peristiwa antara Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah menyembelih putera kesayangannya, Ismail.
Selain kekaguman kita terhadap ketaatan dan kepatuhan kedua-dua anak beranak itu mentaati perintah Allah, ada bahagian lain yang semestinya direnungi sebagai iktibar iaitu keperibadian Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang bijaksana dan patut dijadikan tokoh ikutan.

Beliau pemimpin yang tidak emosi ketika berdepan situasi. Contohnya, ketika bermimpi diperintahkan Allah menyembelih anaknya sendiri, dia tetap tenang dan ini sekali gus melambangkan tahap daya fikir jernih serta mampu membuat pertimbangan yang matang.




Nabi Ibrahim tidak bertindak terburu-buru mengambil keputusan sebaliknya membuat pertimbangan mendalam untuk menentukan kesahihan kebenaran mimpinya itu. Dicatatkan, dia sempat berfikir dua hari iaitu pada tanggal 8 dan 9 Zulhijjah sebelum menyampaikan niat melaksanakan perintah Allah kepada anaknya, Ismail.

Teori kepemimpinan dapat diteladani, seorang pemimpin wajar berfikir dan menimbangkan sesuatu keputusan hendak dilaksanakan demi kepentingan orang ramai dengan mendalam. Pemimpin yang bijak sentiasa menunjukkan kebijaksanaan membuat keputusan sebelum bertindak.



Nilai kedua yang boleh kita ceduk daripada sifat Nabi Ibrahim, seseorang pemimpin seharusnya mengambil kira pendapat orang lain sebelum melaksanakan sesuatu keputusan. Meskipun Baginda yakin perintah menyembelih puteranya itu satu kebenaran, Baginda tidak bertindak tergesa-gesa.
Sebaliknya, Baginda berbincang dengan Ismail. Pendekatan dialog ayah dan anak itu satu simbol untuk pemimpin terkini mempraktikkan dalam kepemimpinan mereka.

Pemimpin, ahli politik dan sesiapa saja diamanahkan tanggungjawab memimpin perlulah menghargai pendapat masyarakat atau orang ramai melalui pendekatan berdialog berbentuk dua hala yang sihat, secara terbuka dan berunsur manusiawi.



Banyak kejadian buruk berlaku dalam sesebuah negara apabila keputusan tergesa-gesa dibuat pemimpin hingga menimbulkan rasa tidak puas hati. Lantas berlakulah insiden tidak diingini dan memalukan imej negara.

Semua itu menggambarkan kedangkalan pemimpin berfikir secara matang dan sentiasa melaksanakan kaedah berdialog dengan masyarakat dipimpinnya. Jadi, contohi kepemimpinan Nabi Ibrahim supaya masyarakat serta negara terus dilimpahi keberkatan dan rahmat Allah.



Jika kita jujur menggalurkan peristiwa ibadah korban Nabi Ibrahim dan anaknya, akan terserlah benih-benih kekuatan iman dan takwa mentaati perintah Allah.

Walaupun dihasut oleh syaitan yang menyuntik perasaan ragu supaya mengingkari perintah Allah, kekuatan iman dan takwa mengatasi segala-galanya.



Oleh itu, walaupun berdepan dengan gangguan atau tekanan untuk tidak melakukan tindakan yang betul, pemimpin tidak boleh mudah goyah sebaliknya keyakinan terhadap keputusan dibuat demi kepentingan pihak dipimpin perlu ditegakkan.

Apabila membiarkan syaitan membelit hati, pemimpin akan kecundang ke lembah bertentangan dengan kepentingan agama dan masyarakat. Maka timbullah masalah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

Jadi, ambillah iktibar dari peristiwa korban Nabi Ibrahim dan Ismail sebagai penyuluh inspirasi membetulkan diri berpaksikan ketakwaaan kepada Allah. Rugilah kita seandainya ibadah korban pada Aidiladha ini hanya dilihat dari perspektif budaya tanpa mengambil pengajaran tersirat di sebaliknya.

Boleh tutup Handphone ketika bersolat ?

Pergerakan dibenarkan kerana masalah jaga khusyuk

SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.
Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.
Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)


Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.


Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.



Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.

Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.



Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.

Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.



Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.

Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.



Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.

Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.

Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.



Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.

Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.



Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.

Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).



Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.

Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...