Salam semanis ukhwah

Sunday, June 24, 2012

Salam Syaaban

Selamat menyambut bulan Syaaban wahai saudara muslimku. Syukur Alhamdulillah, walau tidak bersemangat  kerana ujian yang diberikan oleh Maha Pencipta, daku bersyukur kerana Mengingatkan ku kembali kepada Mu ya Allah s.w.t.

Ku mohor agar kesihatanku ini akan pulih dengan baik. Insyallah. Alhamdulillah juga, kerana dapat mengucapkan salam Syaaban kepada saudara muslimku ini. Ketahuilah bahawa bulan Syaaban itu adalah bulan Nabi Kesayangan Kita Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan kita boleh tingkatkan semangat kita untuk menanti bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak.





Ya Ramadhan Al-Mubarak, bimbinglah jiwaku yang kotor ini suapaya dapat dibersihkan kembali.

p/s: Berharap kesihatanku ini akan pulih seperti sedia kala.

Insyallah

Thursday, June 14, 2012

Musibah membawa kita dekat dengan Pencipta

Dewasa kini, masyarakat dikejutkan oleh media massa dengan berita-berita tentang kejadian bencana alam yang sangat menakutkan dan menyedihkan seperti gempa bumi, banjir besar, taufan, tsunami, tanah runtuh dan banyak lagi. Bencana yang berlaku telah mengorbankan banyak nyawa tanpa mengira identiti mereka.
 



Ia memberi impak yang sangat besar sama ada kepada individu seperti kejadian tanah runtuh yang berlaku pada tahun 2011 di Rumah Anak Yatim At-Takwa, Hulu Langat atau atau kepada sesebuah negara seperti tsunami besar yang berlaku di Jepun. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada ahli keluarga ataupun pada pembangunan ekonomi negara.
 

Para kaji cuaca berusaha gigih bagi membantu mengkaji dan menyelidik tentang kemungkinan beberapa bencana alam yang dapat dikenalpasti bakal berlaku agar persiapan awal berpindah ke tempat yang lebih selamat dapat dilakukan. Ini dapat mengurangkan risikonya kehilangan banyak nyawa walaupun dari segi harta benda secara jelas tidak dapat diselamatkan.
 

Namun, sedarkah kita bahawa hakikat sebenarnya bencana alam yang berlaku di dunia ini adalah berpunca dari diri manusia itu sendiri. Kerosakan di atas muka bumi ini dilakukan sewenang-wenangnya tanpa berfikir akan kesan yang bakal diterima dari aktiviti yang  mereka lakukan.
 

Firman Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”
 

Sebagai contoh, sampah sarap yang di buang merata-rata akan menyebabkan banjir kerana sampah tersebut telah tersekat di kawasan aliran air dan air hujan yang turun tidak dapat dialirkan ke sungai-sungai berdekatan.  Pokok dan tumbuhan hijau yang ditebang secara haram telah menyebabkan hakisan tanah atau tanah runtuh.
 

Seperti yang kita sedia maklum, dunia dan juga seisinya merupakan nikmat dari Allah  yang disediakan kepada hambanya untuk hidup menjadi khalifah Allah di bumi. Selaku hamba yang serba kekurangan dan kelemahan, kita hendaklah menghargai setiap nikmat yang telah diberikan kepada kita sebaik mungkin sebagai satu tanda penghargaan atas pemberian tersebut.
 

Jika sebelum ini punca kepada berlakunya bencana adalah bermula dari manusia, maka kesannya juga akan terpalit kepada manusia itu kembali. Kesan yang diterima dapat dikategorikan kepada dua iaitu kesan dari sudut positif dan kesan dari sudut negatif.
 

Bencana alam yang diturunkan jika dipandang dari sudut positif sebenarnya memberi peluang untuk kita semakin mendekatkan diri kepada Allah. Kembali bermuhasabah atas kerosakan yang pernah dilakukan di atas muka bumi ini sama ada secara sedar atau tidak.
 

Kita memohon perlindungan Allah agar dijauhkan lagi apa jua bencana dari terus berlaku kerana ia membawa kepada kemusnahan yang teruk. Pengharapan yang tinggi diletakkan pada Allah agar menghindari diri serta ahli keluarga dari menjadi mangsa kepada bencana alam dan secara tidak langsung, kita sebenarnya telah menghampirkan diri kita sejengkal pada Allah.
 

Jika bencana alam dilihat dari sudut negatif, ia merupakan hasil dari kerja tangan manusia dalam mengubah sesuatu yang telah Allah ciptakan mengikut aturannya tersendiri. Manusia hanya mampu merancang untuk mengubah namun perancangan yang tidak jelas dan tidak terperinci akan bertukar menjadi musibah.
 

Musibah yang berlaku bakal merosakkan keharmonian negara yang telah terbina di dalam satu kelompok yang besar. Membina keharmonian tidak hanya tergalas di bahu pemimpin negara tetapi juga merupakan tanggungjawab rakyat dalam merealisasikannya agar kebahagian dapat dikecapi dan dirasai bersama.
 

Sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan”.


Jelaslah di sini bahawa memelihara keharmonian negara dengan menghindari bencana menjadi tanggungjawab semua kerana ia menjurus kepada kebaikan yang bakal dikongsikan bersama.
 

Maka, dapatlah disimpulkan di sini bahawa bencana alam yang berlaku tidak pernah menjadi impian pada mana-mana individu. Namun, sesekali ia ‘menjengah’ mampu membawa kita untuk kembali lebih dekat dengan Pencipta yakni Allah s.w.t. Muhasabah diri dan pengampunan yang dituntut menunjukkan bahawa kita adalah hamba yang lemah, yang terkadang melakukan kesilapan tanpa sedar.
 

Semoga kita tergolong dalam hamba Allah yang sentiasa terbimbing akidah walaupun diuji dengan dugaan yang berat seperti bencana alam.

Tanamkan Sifat Jujur Dalam Kehidupan


Sejak kecil kita telah dididik oleh ibu bapa kita supaya sentiasa jujur dalam setiap perbuatan kita. Hal ini kerana kejujuran merupakan tangga teratas daripada keseluruhan amalan hati dan akan memimpin kita kearah kebaikan. 

                                                                                



Selain itu, kejujuran dan keimanan harus  berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.


Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “ Hendaklah kalian bersikap jujur kerana kebenaran dan kejujuran itu bakal memimpin seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan itu pula akan menyampaikan seseorang itu ke syurga. 


Seseorang itu sentiasa tetap degan kebenaran dan perilaku yang benar serta berusaha mencarinya sehingga ditulis di sisi Allah s.w.t sebagai orang yang suka berlaku benar. (Riwayat al-Bukhari)


Allah s.w.t telah memerintahkan kepada semua hambanya supaya menanam sifat jujur di dalam diri masing-masing dengan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai “role model”. 


Seperti mana yang kita sedia maklum, para nabi dan rasul sentiasa berlaku jujur dan berkata benar sesuai dengan tugas mereka untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia.

Bersifat jujur kepada Allah dan rasul merupakan perkara yang paling utama untuk memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Jujur kepada Allah dan Rasul bermaksud mereka beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar iman.Segala amal kebajikan dan ibadah mereka adalah ikhlas kerana Allah Taala. Orang yang jujur kepada Allah dan rasul lazimnya berasa malu untuk meninggalkan perintah Allah serta melakukan kemungkaran.



Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihatnya, Dia pasti melihat kamu.” (Riwayat Muslim)


Seterusnya, kita haruslah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Sama ada kita sedar atau tidak,  melaksanakan perintah Allah seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan sebagainya lebih mudah dilaksanakan berbanding bersikap jujur.

Kadangkala kita berasa amat sukar untuk mengakui kesalahan yang telah kita lakukan lebih-lebih lagi jika pengakuan tersebut akan mengakibatkan hukuman yang berat.


Kita juga sering mendengar orang di sekeliling kita berkata, manusia mungkin mampu membohongi orang lain,tetapi mereka tidak mampu untuk membohongi diri sendiri.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua anggota badan kita untuk berlaku jujur kecuali lidah. Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Oleh yang demikian kita haruslah mendidik lidah kita supaya sentiasa berkata benar.


Menurut Ustaz Muneer Mohamed Farid al-Hafiz yang merupakan seorang peguam yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah, ketika saksi menjawab pertanyaan peguam, jawapan tersebut bukan dinilai melalui percakapan semata-mata. Gerak-geri badan, tangan, kaki dan pandangan mata turut diambil kira. Kebiasaannya, saksi yang berbohong akan berasa kurang senang ketika menjawab soalan yang diajukan kepada mereka. 


Di mahkamah dunia, mungkin kita boleh bercakap bohong atau menghafal skrip jawapan untuk menegakkan benang yang basah menggunakan lidah. Namun, tidak semua jawapan akan “dipersetujui”  oleh anggota  badan kita yang lain. 


Tetapi di mahkamah Mahsyar kelak, bukan lidah kita yang akan menjawab segala persoalan yang diajukan. Bahkan semua anggota tangan dan kaki yang akan mengambil alih tugas menjawab semua soalan.


Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Maka pada hari ini kami tutupkan mulut mereka, dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu kami kesalahan masing-masing, dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka usahakan.”


Kemudian, kita mesti bersikap jujur kepada orang lain. Kejujuran memainkan peranan yang amat besar dalam pembangunan umat dan kebahagiaan sesebuah masyarakat. Cuba anda bayangkan jika kita berhadapan dengan orang-orang yang tidak jujur, apabila melakukan urus niaga kita ditipu, apabila bejanji acap kali dimungkiri dan apabila diamanahkan dengan sesuatu pasti dikhianati.


Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diamanahkan dia mengkhianatinya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Nauzubillah. Marilah kita sama-sama jauhi sifat orang munafik ini.


Tidak rugi jika bersikap jujur kerana orang yang jujur hatinya sentiasa tenang, mereka disenangi dan dipercayai oleh orang di sekeliling mereka dan yang paling penting kehidupan mereka dilimpahi rahmat serta keberkatan dari Allah s.w.t. Selain itu, darjat mereka tinggi di sisi Allah s.w.t. Manakala, orang yang sering berdusta hatinya sentiasa dihantui resah, gelisah dan bimbang sekiranya perkara sebenar terbongkar. 


Kelebihan orang yang jujur turut disebut dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.,  maksudnya: “Tetap berpegang eratlah pada kejujuran walaupun kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada kejujuran, tetapi yakinlah bahawa dalam kejujuran itu terdapat keselamatan.

Jelas, kejujuran amat penting dalam kehidupan individu muslim. 


Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa bersikap jujur dan menjauhi dusta dan tidak amanah kerana ia merupakan sifat yang tercela dan hanya membawa kepada perpecahan. Marilah bersama kita menanam sifat jujur dalam diri kita. 


Hakikatnya, tidak susah untuk jujur jika kita mempunyai keberanian yang tinggi di dalam diri. 
Memang berlaku jujur itu amat pahit pada permulaan, namun ia mampu membuahkan kemanisan untuk selamanya. Maka dengan itu, berkata benarlah walaupun ia pahit.


Monday, June 11, 2012

Dua Syarat Utama Ibadat Diberkati

Buat kebajikan dengan ikhlas, tidak menyekutukan Tuhan.Boleh dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).


Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. - Al-Khahfi, ayat 110.


Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain. 


Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. 


Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).


Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir). 


Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah. 


Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. 


Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).


Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis. 


Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. 



Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.
Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.

Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

PERANGI HAWA NAFSU SATU PENGORBANAN

Peperangan menentang hawa nafsu adalah merupakan satu bentuk pengorbanan yang paling besar untuk membentuk jati diri sendiri dan kemaslahatan umat. Perangi hawa nafsu menuntut kesabaran yang tinggi dan ketaqwaan yang teguh dalam mendidik jiwa sentiasa beristiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi segala bentuk kejahatan.




 Perkara ini jelas disebutkan di dalam ayat al-Quran, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’.


 Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157) Perangi hawa nafsu adalah merupakan perjuangan yang paling besar. Ia adalah utama dari peperangan mempertahankan diri. Hal ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda pulang dari peperangan Badr, "Kita baru saja kembali dari jihad kecil menuju jihad yang besar.


Para sahabat bertanya, "Apa jihad besar itu?, Nabi SAW menjawab, "Jihaad al-qalbi (jihad hati). Setiap orang juga berpotensi memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari syaitan. Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu dan kelemahan manusia adalah berpunca daripada godaannya.


Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti kita akan menempuh kebinasaan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat al-Quran, “Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam, 59) Kehidupan adalah satu bentuk perjuangan melawan hawa nafsu.


Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu, maka Allah akan memberikannya kemenangan dan dipermudahkan segala urusan. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah S.W.T. Abu Hamid Imam al- Ghazali menyebut terdapat tiga bentuk perlawanan manusia terhadap hawa nafsu, iaitu Nafs al-Muthmainnah, Nafs al-Lawwamah, dan Nafs al-Ammarah al-Suu’.


 Nafs al-Muthmainnah merupakan nafsu yang tenang yang mana ketika iman menang melawan hawa nafsu, sehingga perbuatan manusia tersebut lebih banyak yang baik daripada yang buruk. Dengan kata lain mereka yang mampu menguasai terhadap hawa nafsunya.


 Manakala Nafs al-Lawwamah ialah nafsu yang gelisah dan menyesali dirinya sendiri. Keadaannya adalah ketika iman kadangkala menang dan kadangkala kalah melawan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut perbuatan baiknya relatif seimbang dengan perbuatan buruknya. Mereka yang sentiasa dalam bertarik tali melawan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.


 Nafsu yang ketiga adalah Nafs al-Ammaarah al-Suu’ iaitu nafsu yang mengajak kepada keburukan. Keadaanya adalah Ketika iman kalah dibandingkan dengan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut lebih banyak berbuat yang buruk daripada yang baik. Mereka inilah yang hawa nafsu sepenuhnya telah dikuasai dan tidak dapat melawannya sama sekali.


 Namun, dewasa ini, seringkali kita mendengar berita-berita tentang gejala sosial. Penyakit ini sebenarnya telah menular dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kes dilaporkan setiap hari mengenai jenayah yang dilakukan, antaranya kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, samun, rogol, bunuh dan pelbagai kes yang melibatkan undang-undang negara. Namun persoalannya, mengapa kes seperti ini semakin menjadi-jadi?


Sudah tentu masyarakat terbiasa menjadikan hawa nafsu sebagai satu ikutan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh diri mereka sendiri. Perkara ini dinyatakan oleh sebahagian orang bijak "Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya." [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]


 Kehidupan yang berlandaskan syariat mampu menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Perangi hawa nafsu mampu memberi jaminan kebahagiaan kehidupan. Jaminan kebahagiaan ini adalah ditentukan oleh diri sendiri kerana diri sendiri berhak memilih jalan yang harus ditempuh.


 Jika jalan yang diambil adalah jalan kebahagiaan di akhirat, maka sudah pasti kebahagiaan dunia akan dapat dikecapi oleh setiap individu muslim. Perkara ini disebut oleh Allah s,w,t di dalam ayat al-Quran, “Barang siapa beramal soleh sama ada lelaki dan wania sedang dia mukmin, maka Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”(An-Nahl: 97)


 Cerminan hati juga diukur dari sudut ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Hati dilahirkan fitrah dan suci serta menjadi kewajipan kepada hamba-hambaNya mengisi kekosongan hati dengan beribadah kepadanya. Pengisian jiwa dengan syariat Islam serta keindahan akhlak Islam mampu mendidik hati melawan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah oleh Allah s.w.t. Setiap muslim harus melaksanakan tuntutan-tuntan Allah s.w.t..


 Kewajipan ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah al-Imran ayat 104, “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” Istiqamah dalam melakukan amalan-amalan kebaikan mampu menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah kebinasaan.


Diri mampu terdidik dengan kebiasaan melakukan kebaikan dan merasa akan sentiasa perlu menjaga hati daripada segala bentuk kemaksiatan. Istiqamah dalam penjagaan diri dan hati perlu diselaraskan dengan panduan pegangan agama agar kehidupan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah. Di dalam surah Hud ayat 12, Allah s.w.t berfirman, “Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”


 Kesimpulannya, peperangan melawan hawa nafsu merupakan peperangan yang paling utama kerana ia melibatkan penjagaan hati, diri dan iman. Setiap Muslim berkewajipan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dengan menjaga anugerah diri dan hati sebaik mungkin. Dengan memerangi hawa nafsu, kehidupan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah. Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Mereka bersukacita (bergirang hati) kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah. Dan (kerana) sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 171)

Saturday, June 9, 2012

sana helwa

SANA HELWA. I am will always in a distance. Just because you are really special for this heart. And I will always be your protector.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...