Salam semanis ukhwah

Monday, February 28, 2011

NEGARA BARAT MAHU SERANG LIBYA



Tindakan ketenteraan berikutan ada ancaman pembunuhan beramai-ramai

PARIS: Negara Barat dikatakan menimbangkan untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya berikutan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan prospek ratusan ribu rakyat negara Arab utara itu menjadi pelarian di Eropah.
Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak akan dilancar tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pegawai kanan, termasuk perdana menteri Perancis Francois Fillon tidak mengetepikan kemungkinan pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Udara (NATO) digunakan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya bagi menghalang pemimpin kuku besi Muammar Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap rakyatnya sendiri. Sabtu lalu, Majlis Keselamatan PBB mengenakan beberapa sekatan ke atas rejim Gaddafi dan mendesak tindakan ganas bagi menangani bantahan rakyat dihentikan segera.

>>>>>>>>>>>>>>>>TENTERA Tunisia cuba menenangkan rakyat Mesir yang mengadakan protes di khemah pelarian di sempadan Libya–Tunisia, semalam.
TENTERA Tunisia cuba menenangkan rakyat Mesir yang mengadakan protes di khemah pelarian di sempadan Libya–Tunisia
Bagaimanapun badan dunia itu tidak memberi sebarang kelulusan bagi masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya.

“Kami sedang menimbang semua pilihan agar Kolonel Gaddafi benar-benar faham apa yang mungkin dihadapinya. Saya tahu ada yang menyebut penyelesaian ketenteraan dan penyelesaian ini memang sedang diteliti kerajaan Perancis,” kata Fillon.

Bagaimanapun, Fillon berkata Perancis tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penyertaan sekutu NATOnya dan tanpa kebenaran PBB.
NATO pula berkata ia menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB itu.
“Kami juga menyedari resolusi itu tidak menyebut keperluan zon larangan terbang,” kata jurucakap NATO Oana Lungescu .

Timbalan Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa dan Strategik di Paris, Jean-Pierre Maulny berkata jika pembunuhan beramai-ramai berlaku di Libya, masyarakat antarabangsa tidak akan boleh berdiam diri.

NATO, katanya, adalah badan paling sesuai untuk menguatkuasakan zon larangan terbang itu tetapi langkah ketenteraan lain perlu kebenaran PBB.

Sementara itu di BENGHAZI, seorang sukarelawan kesihatan berkata wilayah timur Libya yang sudah dikuasai pemberontak akan mula mengalami masalah kekurangan makanan dan perubatan serius dalam masa tiga minggu.

Timur Libya jatuh ke tangan penunjuk perasaan yang menentang Gaddafi yang enggan meletak jawatan walaupun berhadapan dengan bantahan yang berterusan.

Pergolakan yang tercetus sebaik saja rakyat Mesir berhasil menjatuhkan pemimpin mereka Hosni Mubarak 11 Februari lalu, menjejaskan import dan bekalan makanan segar tempatan dengan kebanyakan kedai dan kilang masih lagi ditutup sejak bandar raya itu berhadapan dengan tunjuk perasaan seminggu lalu.

“Kita akan mengalami kekurangan makanan, minuman, perubatan dan peralatan perubatan serius dalam masa dua hingga tiga minggu. Kita perlukan bantuan luar,” kata Khalifa el-Faituri, seorang sukarelawan yang berkelayakan dalam kesihatan umum dan farmakologi.



AKHLAK MULIA CERMIN PERIBADI




SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sudah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?”

Akhlak mulia adalah perhiasan diri selain daripada cerminan agama dianuti. Islam memerintahkan penganutnya supaya sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat buruk sehingga menjadi fitnah pada agama.
Contohnya, banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan pelbagai perbuatan buruk serta zalim yang didakwa dilakukan atas nama Islam.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>


Allah mengetahui segala yang tersirat dalam hati manusia. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu supaya tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

ISLAM GALAK UMAT TAMPIL KEMAS, CANTIK

Berfesyen tidak salah tetapi jangan melampaui batas, langgar hukum

ISLAM tidak mengharamkan apa yang dinamakan fesyen sebaliknya meraikan sesiapa yang menghendaki gaya penampilan kemas dan cantik dan imej seseorang juga terletak pada cara berpakaian.

Islam juga tidak menggalakkan umatnya kelihatan selekeh daripada pandangan mata umum kerana ia seolah-olah menggambarkan sikap umat Islam tidak mementingkan keterampilan yang kemas dan cantik.
Malah, Allah lebih menyukai hamba-Nya yang bijak menggunakan nikmat kurniaan-Nya sebagai tanda bersyukur. Tetapi, pada masa sama, kekemasan dan kecantikan itu tetap didasari oleh peraturan serta ketetapan disediakan oleh Allah SWT.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Kecantikan itu mestilah tidak dituruti bersama dengan sifat riak mahupun takbur. Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi.”

Lalu bertanya seorang lelaki: “Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur? Baginda menjawab: “Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia.”

Selain penjagaan aurat, Allah menjadikan pakaian sebagai perhiasan bagi si pemakai yang juga fitrah seorang insan.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (libaasa) pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk (wariisya) perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, ayat 26)
Menurut Tafsir Jalalain’, ‘Libaasa’ dalam ayat itu ialah pakaian bertujuan untuk menutup aurat. Adapun ‘Wariisya’ ialah apa yang diambil atau dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu bertujuan untuk perhiasan.

Menutup aurat adalah keperluan asas sementara perhiasan hanya sampingan kepada tujuan pakaian.

Fungsi pakaian dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang.” (Surah an-Nahl, ayat 81)
Seluar kebiasaannya pakaian bagi lelaki tetapi turut mula dipakai golongan wanita sehinggakan ada sebahagian pendapat dari ulama yang mengharamkan secara terus pemakaian segala jenis seluar bagi wanita.

Bagaimanapun, ramai juga di kalangan ulama yang membenarkan pemakaian seluar kepada wanita berdasarkan jenis seluar dipakai. Hingga ada segelintir yang menyalahgunakan hadis Nabi SAW dengan pendapat wanita lebih mulia jika memakai seluar.
Ini disebabkan salah faham kepada maksud hadis diriwayatkan oleh Al-Uqayli, Dar al-Qutni dan kitab Kanzul Ummal iaitu: “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang.”

Hadis ini berikutan kejadian seorang wanita yang jatuh dari kenderaan sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya. Maka sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu Rasulullah SAW memuji dan menyebut hadis berkenaan.

Diriwayatkan juga dari Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermakaud: “Sesiapa yang tidak ada sarung, hendaklah memakai seluar panjang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hukum ini umum, bagi membolehkan perempuan dan lelaki memakai seluar, asalkan seluar perempuan berbeza dengan seluar lelaki kerana mereka tidak boleh sama dalam bentuk penampilan diri berasaskan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah melaknat ke atas lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bekas Pengerusi Lajnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Atiyyah Saqqar, dalam kitab Mausuah al-Usrah berkata: “Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib celanya seluar panjang dipakai mereka sekarang ini.”

Cuma bagi perempuan pula ia menonjolkan dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang mengundang perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi dipakaikan pula di luarnya kain yang menutupi anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping tidak kelihatan rupa bentuknya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa.

Ini bermaksud wanita dibenarkan memakai seluar dengan menepati syarat penutupan aurat yang sebenar. Permasalahan yang muncul adalah aliran masa kini yang mana anak muda semakin ramai mengenakan seluar yang terlalu ketat sehinggakan menampakkan tubuh badan mereka.

Seluar ketat termasuk ‘legging’ ini terkadang dilihat dipakai oleh wanita bertudung dan ia jelas menampakkan bentuk aurat wajib ditutup sehingga menonjolkan bentuk tubuh seperti betis, peha dan kemaluan dengan ketara.
Dalam isu pemakaian seluar ketat, ia turut menjadi perbincangan ulama. Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan dalam kitabnya Al-Qaul Al-Mubin fi Akhtha’ Al-Mushallin berkata: “Majoriti pemuda yang menamakan dirinya remaja Muslim, mereka mengingkari wanita yang berpakaian ketat kerana membentuk tubuhnya. Sementara pemuda ini sendiri lupa dirinya turut sama melakukan perbuatan itu. Tidak ada perbezaan antara seorang wanita berpakaian ketat dan seorang lelaki memakai seluar yang membentuk tubuh, kerana keduanya sama-sama membentuk kedua punggungnya. Sedangkan punggung lelaki dan punggung perempuan adalah aurat, kedua-duanya sama hukumnya.”

Sebahagian pandangan dari Mazhab Syafie berpendapat harus lelaki memakai seluar asalkan tidak menampakkan bentuk kemaluan kerana jika ternampak bentuk kemaluan maka jatuh kepada hukum haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala mereka umpama bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian jauh.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Justeru, fesyen itu tidak salah tetapi salah memilih cara berfesyen itulah membuatkan diri dimurkai. Jangan kerana fesyen, maruah tergadai.

PERTAHANAN PERUNDANGAN ISLAM DI TEMPAT TERTINGGI

Kedudukan dalam perlembagaan tidak wajar diperlekeh

RAKYAT Malaysia lebih peka kepada hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang berkaitan.

Perkembangan ini adalah baik kerana rakyat yang celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperguna oleh orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.
Prof Datuk Shad Saleem Faruqi mengkategorikan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada beberapa kategori, antaranya:


  • Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka warga negara Malaysia atau tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, perkara 11 (kebebasan beragama) dan perkara 13 (hak terhadap harta).

  • Hak yang hanya diberikan kepada warga negara saja seperti hak bersuara dan berhimpun dalam perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12. Hak ini hanya dinikmati oleh warga negara Malaysia saja.

  • Hak yang dilindungi walaupun ketika darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak itu berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

  • Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7, hak untuk mendapat ganti rugi jika tanah diambil dan Perkara 13, hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain hak termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara saja. Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi.
  • Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh itu walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan sendiri.


Sebenarnya kategori itu mempunyai implikasi tersendiri menurut undang-undang. Perlembagaan adalah dokumen unik dan perlu diberi tafsiran supaya Perlembagaan itu ‘hidup’ dan sesuai diaplikasikan.

Kaedah tafsiran Perlembagaan juga tidak sama seperti tafsiran undang-undang lain. Ia harus ditafsirkan secara harmoni dan tidak bertentangan antara satu sama lain.

Namun, yang menarik perhatian penulis ialah kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat dan tidak aman.

Secara tersiratnya sudah tentu Perlembagaan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain.

Undang-Undang itu termasuklah undang-undang pentadbiran hukum syarak, undang-undang jenayah syariah, undang-undang keluarga Islam, undang-undang tatacara dan undang-undang keterangan Mahkamah Syariah.

Oleh itu, tiada sesiapapun boleh mempertikaikan atau memandang rendah undang-undang ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya.

Natijah, sewajarnyalah jika ada pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi dari undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Keabsahan undang-undang Islam yang sejak kebelakangan ini sering dipertikai, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir landskap perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan kerangka Perlembagaan yang meletakkan undang-undang Islam di tempat yang tinggi.

Suara mempertikaikan undang-undang Islam ini semakin nyaring kedengaran sehingga memberi gambaran suara itulah yang benar dan perlu dipatuhi. Undang-undang Islam seharusnya menjadi penambat undang-undang lain daripada dihakis.

Jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk undang-undang keluarga Islam masih berkuat kuasa.

Seharusnya pendekatan diambil ialah meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Adalah penting bagi rakyat Malaysia bukan saja mengetahui hak yang tersurat tetapi juga memahami falsafah dan semangat Perlembagaan. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Dalam perspektif lain, kita terlalu banyak memperkatakan mengenai hak, tetapi jarang bercakap mengenai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Kita terlalu mementingkan diri menuntut hak tanpa mahu membuat pengorbanan melaksanakan tanggungjawab.

RASULULLAH JADIKAN DUGAAN, MOTIVASI BAKAR SEMANGAT PERJUANGAN


RASULULLAH SAW diutuskan membawa rahmat ke atas sekalian alam seperti difirmankan Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’ : 107)



Baginda kasih kepada umatnya, tidak mahu mereka teraba-raba dalam kesesatan mencari Tuhan sebenar. Baginda juga tidak mahu umatnya melakukan penderhakaan kepada Allah SWT yang kelak mengakibatkan mereka memperoleh azab yang dahsyat di akhirat.
Justeru, Rasulullah SAW tidak jemu-jemu mengajak umatnya mentauhidkan Allah SWT. Dalam menyebarkan ajaran yang suci ini, Rasulullah SAW berdepan dengan pelbagai cabaran daripada kalangan Musyrikin Makkah dan kaum munafik di Madinah, selain orang Yahudi yang bersifat degil serta Nasrani yang menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan.
Pelbagai dugaan, ancaman dan penderitaan yang baginda alami, semuanya dihadapi dengan sabar dan tabah kerana baginda sedar apa yang disampaikan olehnya ialah sesuatu yang hak. Rasulullah SAW menginsafi bahawa rasul terdahulu sebelum baginda juga berdepan dengan pelbagai fitnah dan kerenah daripada kaumnya.

Ada rasul yang dibunuh dengan kejam seperti Nabi Zakaria dan ada rasul yang dicampak ke dalam api seperti Nabi Ibrahim dan ada juga rasul yang hampir disalib seperti Nabi Isa. Semuanya menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada Rasulullah SAW untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang maha suci.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.” (At-Taubah : 128)
Walaupun ditawarkan dengan pangkat, harta dan gadis jelita, Rasulullah SAW tidak pernah berganjak, apatah lagi berundur sejengkal dalam perjuangan menyebarkan ajaran tauhid kepada umatnya. Sifat Rasulullah SAW yang mulia ini memberi isyarat kepada musuh-musuh Islam bahawa baginda bukanlah seorang yang gilakan kuasa, apatah lagi tamakkan harta serta kaki perempuan.
Sifat kasih Rasulullah SAW tidak terbatas kepada umat yang hidup sezaman dengan baginda saja. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani daripada Abi Jum’ah Al-Ansari yang bermaksud: “Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya: Ya Rasulullah! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda SAW: Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedangkan Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang disebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.”

Jika dilihat kepada kesungguhan baginda dalam membasmi syirik sekali gus menyebarkan tauhid, sebenarnya ia adalah pemakbulan doa moyang baginda Nabi Ibrahim as seperti yang dirakam dalam al-Quran.

“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-kitab (al-Quran) dan al-hikmah (As-Sunnah) serta menyucikan mereka (daripada syirik). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah : 129)

Oleh kerana terlalu besar jasa baginda SAW, maka wajib bagi umatnya menyintai Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap yang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah jika bapa kamu dan anak kamu dan saudara kamu dan isteri kamu dan kaum keluarga kamu dan harta kekayaan yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang fasik.” (At-Taubah : 24)

Thursday, February 24, 2011

MUKMIN PERLU SEGERA MANFAAT PELUANG PERBANYAK AMAL SOLEH

Mukmin perlu segera manfaat peluang perbanyak amal salih


FIRMAN Allah bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik bagi mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa,” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Masa adalah kehidupan dan ladang amalan. Perlu diinsafi masa adalah nikmat yang sepatutnya dimanfaatkan sebagai modal penting menjejak keredaan Ilahi. Kedudukan seseorang di sisi Allah selain ditentukan keimanan dan amal salihnya, kerana faktor kesegeraan dan semangat dalam melaksanakan amal salihnya.
Bersegera melakukan amalan salih kerana ia antara inti utama ajaran Islam. Rasulullah SAW menasihati para sahabat bersegera melakukan amal salih sebagaimana sabda Baginda bermaksud; “Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir. Dan begitu juga sebaliknya seorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit,” (hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Ini kerana, akan datang suatu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan.

Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.

Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kepada Allah SWT.
Imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia yang bersifat sementara.

Neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik.

Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tu buh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan para sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.

Pintu fitnah ini boleh ditutup dengan amal salih. Apa saja dilakukan dalam hidup seorang Muslim akan menjadi amal kebaikan.

Bercakap benar dan tidak bohong itu amalan mulia. Mendoakan kesejahteraan untuk saudaranya seislam tanpa pengetahuan mereka, juga amal salih dan lain-lain amalan kebaikan yang berlangsung dalam setiap sendi kehidupan umat sejagat. Allah SWT adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, masing-masing memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Lebih daripada itu, sesuatu amal tidak dilihat dari sudut kuantiti, tetapi dilihat dari sudut motivasi dan niatnya. Pendek kata, kualiti amal seseorang itu amat bergantung kepada motivasi dan niatnya.

MALU PENANDA ARAS KETAKWAAN MUSLIM

Sifat takut kepada tuhan benteng halang dosa, dorong umat Islam lakukan kebaikan

BANYAK kejadian yang melemahkan umat Islam mutakhir ini berpunca daripada hilangnya sifat malu. Ada segelintir tidak segan silu melanggar perintah agama malah berasa bangga kerana berani melakukan maksiat kepada Allah.

Mereka seolah-olah mencabar kekuasaan Allah dengan mematuhi maksiat dan memerangi syariat. Ada juga lupa sifat tidak malu melakukan kejahatan berpunca daripada hilangnya rasa perhambaan kepada Dia Yang Maha Melihat.
Justeru, mereka hanya malu kepada manusia dan apabila tiada yang melihat, mereka melakukan maksiat.


Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis itu menunjukkan tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut seksaan Allah. Mereka berbuat apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada diri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Manusia memilih menjadi malu berasaskan dua keadaan iaitu kerana memang pemalu atau cuba menanam sifat malu. Sama ada kita memang seorang pemalu kerana mewarisinya daripada ibu bapa atau mengupayakan malu melalui latihan bukan persoalannya.

Sifat malu perlu ada kerana ia membawa kebaikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Malah, malu seiring iman. Jika seseorang itu tiada sifat malu, sudah tentu ia jauh daripada keimanan kerana malu adalah benteng yang menghalang melakukan dosa.

Abu Sa’id Al-Khudri menggambarkan sifat malu Baginda SAW sebagai lebih pemalu daripada seorang gadis, bahkan apabila tidak menyukai sesuatu, sahabat boleh mengetahuinya daripada wajah Baginda.

Namun, perlu diingat sifat malu dalam Islam ialah malu melakukan perbuatan jahat dan maksiat, bukannya malu membuat kebaikan atau menyeru kepada kebenaran. Justeru, malu menghadapi yang hak bukanlah sifat malu dibawa Rasulullah SAW, sebaliknya sifat lemah yang boleh menjahanamkan agama serta membelenggu Islam terus gah di persada dunia.

Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, malu yang dipuji dalam ucapan Rasulullah SAW adalah akhlak yang mendorong seseorang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, rasa lemah menyebabkan seseorang mengurangi hak Allah SWT ataupun hak hamba-Nya.

Sifat lemah merujuk keadaan tidak positif, tiada iltizam, kesungguhan mencapai sesuatu disebabkan kekangan peribadi, iaitu tiada keyakinan, kekuatan fizikal serta takut kemungkinan gagal.

Jangan pula kita jadikan sikap malu sebagai penyebab kelemahan umat Islam hari ini dalam urusan ilmu, pentadbiran atau kepentingan umat. Malu bertoleransi dalam urusan agama untuk menjulang kebenaran sebenarnya menunjukkan kelemahan yang nyata.

Begitu juga jangan malu mengaku salah, jika akur pada hakikat Allah mem buka seluruh keaiban semata-mata kerana perhitungan di Padang Mahsyar (melainkan kita tidak membuka keaiban orang lain).

Maka, akui kesalahan semoga ia menjadikan kita manusia yang dihargai. Tetapi jika terus menegakkan benang yang basah kerana malu, ketahuilah kita akan menjadi manusia paling lemah akhirnya.

Betapa jauh amalan kita dengan Rasulullah SAW dan sahabat. Mereka berhias dengan rasa malu yang hakiki, menahan diri daripada perbuatan keji, bukan supaya disanjung tinggi, tetapi kerana takutkan Rabbul Izzati.

Monday, February 21, 2011

DUNIA LUAR

awas sungai penuh darah

  • Foto

    PENDUDUK Libya menuntut pembaharuan berhimpun di Kota Benghazi.

  • Foto

    SAIF memberi amaran di televisyen kesan buruk jika protes anti Gaddafi berterusan.

Anak Gaddafi beri amaran padah penunjuk perasaan terus cabar bapa

KAHERAH: Anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tampil di televisyen bagi menegaskan bapanya akan terus berkuasa dengan sokongan tentera dan terus
‘berjuang sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir’ selepas protes anti pemerintah merebak ke ibu negara itu apabila pembantah memasuki pangkalan tentera dan merampas senjata api. “Libya berada di persimpangan jalan. Jika kita tidak setuju dengan pembaharuan yang ditawarkan hari ini, Libya akan melihat sungai penuh darah,” kata Saif al-Islam, semalam, mengenai protes yang sudah berterusan enam hari.

Saif juga memberi amaran bahawa tunjuk perasan boleh mencetuskan perang saudara hingga kekayaan minyak Libya musnah.

Ucapan itu diikuti tindakan keras pasukan keselamatan yang menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi. Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital.

Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang.
Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih
pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lag penduduk.

Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras
antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.

Tetapi, Saif berkata, bapanya akan terus menang. “Kami bukan Tunisia dan Mesir. Gaddafi adalah pemimpin kami yang mengetuai peperangan di Tripoli dan kami bersamanya.

“Pasukan keselamatan bersama beliau. Ratusan ribu akan berada di sini bersama beliau. Kami akan bertarung sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir. Ini adalah komplot menghancurkan Libya,” katanya dalam ucapan 40 minit.

Saif yang dipercayai pewaris kuasa selepas Gaddafi menuduh anasir luar cuba mengkucar-kacirkan negara itu, turut menawarkan dialog bagi pembaharuan politik dan perlembagaan baru.

Dalam ucapannya, Saif turut mengakui pihak tentera membuat kesilapan semasa tunjuk perasaan berlangsung kerana pasukan keselamatan itu tidak dilatih berdepan dengan pembantah, tetapi tambahnya jumlah mangsa yang terbunuh dibesar-besarkan walaupun hanya 84 terbunuh. – Agen

PERLU DI CONTOHI

Tukang rumah cemerlang STPM

  • Foto

    SYIVERO berkongsi kegembiraan bersama bapanya, Patrick Jimmy (kiri) dan ibunya Lompah Kinson, pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM di Kuala Lumpur, semalam.

  • Foto

    SEBAHAGIAN pelajar SMK Tengku Bariah di Kuala Terengganu, meraikan kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam STPM, semalam.

  • Foto

    PELAJAR SM Bukit Jawa, M Hanif Hafizuddin Mohd Azmi (tengah) diumum Pelajar Terbaik OKU Kelantan, semalam.

Pelajar gigih bekerja sambilan pada hujung minggu bayar yuran periksa

KUALA LUMPUR: Kesibukan memenuhi jadual pembelajaran dan aktiviti kokurikulum yang padat tidak melemahkan semangat Syivero Patrick, gigih bekerja sambilan sebagai tukang rumah bagi mengumpul duit membeli keperluan persekolahan dan membayar yuran peperiksaan.
Pengorbanan Syivero untuk meringankan beban ibu bapanya yang menyara hidup dengan bersawah, tidak sia-sia apabila anak kelima daripada tujuh beradik itu dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Luar Bandar dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan, semalam.
Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu, Sabah, bercita-cita menjadi akauntan atau pendidik mencatat Gred A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Geografi, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan serta B+ bagi Sejarah.

“Lazimnya saya melakukan kerja sebagai tukang rumah dan membantu ibu bapa bertani ketika hujung minggu atau cuti persekolahan kerana saya berazam bekerja keras bagi mengubah nasib keluarga supaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, di sini.

Penerima Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang (Kategori Spastik), Low Hong Ping dari SMK St John di sini, pula berkata antara dugaan getir dihadapinya ialah apabila terlantar dua bulan di hospital akibat radang paru-paru, menjelang STPM 2010.

“Selepas sembuh, saya tidak berputus asa mengejar semula pelajaran yang tertinggal kerana tidak mengambil tuisyen,” katanya yang mendapat A bagi subjek Ekonomi dan Pengajian Perniagaan serta A- Pengajian Am dan Matematik S.
Rakan sekolahnya, Mohd Rifaat Hussin, yang cacat penglihatan sejak berusia 15 tahun pula memperoleh 2A, 2A- dan 1B-, sekali gus merangkul anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang (Kategori Buta).

46,780 lulus penuh

KUALA LUMPUR: Seramai 46,780 atau 92.49 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, termasuk lapan pelajar mendapat keputusan cemerlang Gred A dalam semua lima mata pelajaran diambil.

Daripada jumlah itu, 2,995 atau 5.92 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran, 20,478 empat mata pelajaran, 10,082 tiga mata pelajaran, 7,221 dua mata pelajaran dan 6,004 satu mata pelajaran.

Walaupun jumlah kelulusan peringkat prinsipal kali ini menurun berbanding 48,481 atau 92.55 peratus pada 2009, termasuk 15 pelajar mencapai Gred A dalam lima mata pelajaran, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menyifatkan prestasi kedua-dua tahun itu hampir sama dengan minimum purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 2010 adalah 2.22, manakala minimum PNGK 2009 ialah 2.23.

Pengerusi MPM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata seramai 343 atau 0.68 peratus calon mencatat PNGK 4.00, meningkat 0.63 peratus yang meliputi 179 pelajar aliran sastera dan 164 lagi aliran sains dengan 180 daripadanya calon perempuan dan 163 lelaki.

“Prestasi bagi PNGK 3.50 hingga 3.99 juga baik sedikit pada kali ini, iaitu 7.18 peratus calon berbanding tujuh peratus pada 2009. Bagaimanapun, 23.19 peratus calon mendapat PNGK 3.00 hingga 4.00 pada 2010, menurun berbanding 23.47 peratus pada 2009,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar. Pada majlis itu, Dzulkifli menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2010, bernilai RM1,000, sijil penghargaan dan plak kepada empat calon aliran sains yang mencatat Gred A dalam semua 13 kertas peperiksaan diambil.

Mereka ialah kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya; Chow Jun Kang (SMK Cochrane, Kuala Lumpur) serta Ling Xiao Chun dari SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur.

PERKUBURAN TIDAK BOLEH DI AGUNG ATAU DIHORMATI SEPERTI MASJID

SUBHANALLAH ini adalah satu keajaiban yang terjadi sekitar 90 tahun yang lalu.
Diriwayatkan oleh Syeikh Zubaidi, ahli sejarah Madinah seperti berikut:
“Ada seseorang mencuba untuk menghancurkan kubah Nabi Muhammad SAW, kubah warna hijau di Masjid Nabawi di Madinah yang juga menjadi tanda tepat di bawahnya terdapat makam Rasulullah SAW. Ketika pelaku mencuba memanjat kubah itu untuk menghancurkannya, tiba-tiba petir kilat datang menghentamnya. Pendaki yang berniat jahat itu pun mati di tempat itu. Anehnya tidak seseorang pun yang mampu menghilangkan tubuhnya dari atas kubah itu. Ia juga menyatakan bahawa seseorang yang salih dari Madinah mendengar suara dalam mimpinya bahawa tidak ada yang dapat mengambil mayat dari atas kubah itu dan ia harus dikuburkan di atasnya sebagai peringatan dan pengajaran bagi orang yang mungkin memikirkan berusaha untuk menghancurkannya kubah itu pada masa depan. Akhirnya, mereka memutuskan untuk menguburkan orang itu di atas kubah dan menutup tubuhnya dengan kotak hijau sehingga tidak akan terlihat orang.”
Maklumat mengenai ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi, memang banyak dijelaskan melalui laman web (internet) yang boleh dilayari dengan judul ‘Ada mayat di atas kubah Masjid Nabawi’ dan adakah benar atau sebaliknya fakta ini?

Sesuatu maklumat atau khabar di dalam ilmu mantiq dan balaghah, mungkin boleh dipercayai ataupun tidak. Apa lagi maklumat itu tidak ada kaitan dengan ibadah atau akidah.

Kejadian itu bukan sekadar maklumat yang membuat kita terkejut mendengar dan melihatnya, bahkan ia fakta sejarah yang tidak dapat ditutupi selama ini kerana ditutupi oleh fahaman dan aliran atau golongan tertentu yang melakukan perbuatan provokasi itu.
Ramai jemaah haji, umrah, dan ziarah dari pelbagai negara seluruh dunia mengunjungi Masjid Nabawi dan melihat di atas kubah hijau itu, tetapi tidak perasan bahawa di sana ada sebungkah mayat terbujur.

Ada jemaah bertanya, mengapakah harus ada dua kubah berdekatan di atas mihrab raudah dan bekas rumah Nabi Muhammad SAW dan di bawah kubah hijau Masjid Nabawi terdapat pula makam Rasulullah SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab RA.

Setelah memandang lebih fokus ke arah puncak kubah hijau itu, kita melihat seperti ada suatu bongkahan sehingga kelihatan kubah itu seperti ada sesuatu yang tidak rata di atasnya. Jika diperhatikan secara saksama, memang jelas ada sesuatu yang menempel di atas kubah itu dan menyatu warnanya (hijau) dengan warna kubah.

Tanpa ada niat untuk menimbulkan sensasi, setelah mempelajari komen yang tertulis dalam bahasa Arab di samping gambar itu seperti yang disaksikan pada mulanya makam itu adalah bilik Aisyah, isteri Nabi SAW dan rumah kediaman Rasulullah SAW. Justeru, kerana kesalahan kerajaan Islam terdahulu, makam itu dibina sebahagian daripada masjid.

Dalam hadis pun ada melarang menjadikan makam nabi sebagai masjid. Diriwayatkan daripada Abbad RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah SWT melaknat orang Yahudi dan Nasrani menjadikan kuburan nabi mereka sebagai masjid.” (lihat Fathul Barri).

Dalam konteks ini, Ibnu Hajar al-Asqalani, menjelaskan makna hadis di atas adalah larangan untuk mengagungkan dan membesarkan (memuja) kuburan, bukan larangan membina masjid dekat kuburan atau kuburan berada di dalam masjid.

Di mana pun lokasinya, kuburan (makam) tetap tidak dibolehkan untuk diagungkan seperti orang menghormati masjid. Sama halnya makam Nabi SAW yang berada di dalam masjid. Orang datang ke makam Baginda bukan bermaksud untuk mengagung dan memujanya tetapi sekadar untuk berziarah dan berdoa seperti Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menziarahiku setelahku wafat, sama seperti menziarahiku ketika aku hidup.” (Hadis riwayat Tabarani).

Di sinilah kesalahan ulama besar Syeikh Muhammad Abdul Wahab (1115H/1703M), pengasas fahaman dan aliran Wahabiyah dalam membanteras khurafat yang terjadi di Makkah dan Madinah, sehingga makam Nabi SAW pun jika dipindahkan dan kubah yang menaunginya dihancurkan.

Justeru, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya dengan mengirimkan sambaran kilat maut kepada pelakunya yang berniat jahat dan khianat untuk menghancurkan kubah Masjid Nabawi itu. Sehingga tidak ada seseorang pun yang sanggup menurunkan mayat itu hingga sekarang walaupun peristiwa itu berlaku 90 tahun yang lalu.

Namun Allah SWT ingin memperlihatkan kekuasaan-Nya, bahawa yang benar itu tetap benar, dan yang salah tetap salah walaupun dipertikaikan kerana yang benar itu mengatasi yang batil. Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang mendustakan ayat (tanda) keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli di dalam gelap gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki, akan disesatkannya, dan sesiapa yang Dia kehendaki, akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.” (Surah al-An'am,ayat 39).

Menyuburkan keimanan pada usia muda

Kesibukan bekerja, bersukan serta berhibur buatkan remaja lupa merawat penyakit rohani

MANUSIA sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang suka menolong, melindungi dan suka mengambil berat. Atau dengan kata lain, manusia rela mengabdikan diri kepada sesiapa yang dicintainya.
Hakikatnya, cinta yang teratas adalah cinta antara makhluk dengan Pencipta-Nya. Usia muda tidak akan bertahan kerana ia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tiba masa tua. Setiap detik berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya tinggal kenangan.
Jika masa remaja tidak digunakan sebaiknya, pasti akan meninggalkan kenangan pahit pada hari tua. Masa tua segala-galanya tiada yang indah, kudrat tenaga sudah semakin lemah, selera makan kian menurun meskipun disajikan makanan lazat, sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal melawan penyakit menjadi semakin lemah dan keterbatasan tidak melingkungi dirinya.

Dalam keadaan sedemikian, mungkin seseorang baru menyedari betapa masa muda itu amat berharga. Oleh itu, mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah derita, menanggung penyesalan, menyesal kemudian hanya satu kesengsaraan.

Memandangkan usia manusia amat terbatas, masa diperlukan dengan berjimat dalam usaha membentuk nafsu dan jiwa untuk persediaan menjadi hamba Allah yang muttaqin.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih serta berwasiat (nasihat-menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.” (Surah Al-Asr, ayat 1-3)
Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Kami kisahkan kepada engkau perkhabaran mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan dan Kami tambahkan mereka itu dengan petunjuk.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)

Tingkah laku sosial sebahagian umat Islam ketika ini tanpa mengira kedudukan tua atau muda, berpendidikan atau tidak semacam tergambar betapa lemahnya akidah dan keimanan mereka. Kehidupan mereka semakin kalis dengan tuntutan agama.

Dalam situasi kekeluargaan, ibu bapa seperti hilang panduan, dalam institusi pendidikan, guru seperti buntu dari segi pendekatan dan dalam komuniti bernegara, masalah sosial makin sukar dibendung.

Walaupun masalah ini sering dikaitkan dengan remaja tetapi hakikatnya ia berlaku tanpa mengira umur dan latar belakang. Ulama Islam sepakat mengatakan akidah tauhid adalah dasar paling utama untuk mengenal Allah.

Ia juga menjadi pokok pemikiran membentuk kerangka perjuangan membina tauhid secara sepadu di samping mengandungi ajaran yang seimbang antara jasmani dan rohani, antara kebendaan serta kemanusiaan.

Selain mendasari pemikiran, akidah juga mendasari amalan. Sebaik mana sekalipun amalan seseorang, ia tidak akan diterima Allah kecuali dilakukan oleh orang beriman yang berpegang kepada akidah yang benar dan sah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Iman ada mempunyai 70 atau mempunyai 60 cabang, maka yang sebaik-baik ucapan perkataan Laa Ilaha Ilallah dan serendah-rendahnya membuang sesuatu benda yang menyakiti manusia di tengah jalan dan malu itu sebahagian daripada cabang iman.” (Hadis Muttafaqun Alaih)

Memandangkan iman boleh bertambah dan berkurang, marilah kita berusaha menambah serta menyuburkan keimanan kita melalui amal salih yang merangkumi ibadat umum dan khusus.

Membiasakan sunnah, akan dapat memelihara yang wajib, meninggalkan yang makruh akan dapat menghindari yang haram.

Sebagai manusia biasa, kita mudah untuk membuat rawatan penyakit jasmani tetapi bagaimana pula usaha mengesan dan merawat penyakit rohani jika sentiasa dilalaikan dengan kesibukan bekerja, keseronokan bersukan dan keasyikan berhibur?

Hanya iman saja dapat memandu dan menentukan jalan yang benar seperti kisah Saidina Umar bin Al-Khattab yang mengajak sahabatnya menambahkan iman mereka dengan memperbanyakkan zikrullah.

Diriwayatkan oleh Abu Jaafar daripada datuknya Amir Habib, seorang sahabat Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Iman itu bertambah dan berkurang, lalu sahabat bertanya: Bagaimana bertambah dan berkurang? Jawabnya: Apabila menyebut dan mengingati Allah dan memuji-Nya (mengucapkan Alhamdulillah) serta menyucikan-Nya (menyebut Subhanallah), maka itu menyebabkan iman bertambah.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...