Salam semanis ukhwah

Monday, February 21, 2011

PERLU DI CONTOHI

Tukang rumah cemerlang STPM

  • Foto

    SYIVERO berkongsi kegembiraan bersama bapanya, Patrick Jimmy (kiri) dan ibunya Lompah Kinson, pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM di Kuala Lumpur, semalam.

  • Foto

    SEBAHAGIAN pelajar SMK Tengku Bariah di Kuala Terengganu, meraikan kejayaan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam STPM, semalam.

  • Foto

    PELAJAR SM Bukit Jawa, M Hanif Hafizuddin Mohd Azmi (tengah) diumum Pelajar Terbaik OKU Kelantan, semalam.

Pelajar gigih bekerja sambilan pada hujung minggu bayar yuran periksa

KUALA LUMPUR: Kesibukan memenuhi jadual pembelajaran dan aktiviti kokurikulum yang padat tidak melemahkan semangat Syivero Patrick, gigih bekerja sambilan sebagai tukang rumah bagi mengumpul duit membeli keperluan persekolahan dan membayar yuran peperiksaan.
Pengorbanan Syivero untuk meringankan beban ibu bapanya yang menyara hidup dengan bersawah, tidak sia-sia apabila anak kelima daripada tujuh beradik itu dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Luar Bandar dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang diumumkan, semalam.
Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu, Sabah, bercita-cita menjadi akauntan atau pendidik mencatat Gred A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Geografi, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan serta B+ bagi Sejarah.

“Lazimnya saya melakukan kerja sebagai tukang rumah dan membantu ibu bapa bertani ketika hujung minggu atau cuti persekolahan kerana saya berazam bekerja keras bagi mengubah nasib keluarga supaya keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, di sini.

Penerima Anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang (Kategori Spastik), Low Hong Ping dari SMK St John di sini, pula berkata antara dugaan getir dihadapinya ialah apabila terlantar dua bulan di hospital akibat radang paru-paru, menjelang STPM 2010.

“Selepas sembuh, saya tidak berputus asa mengejar semula pelajaran yang tertinggal kerana tidak mengambil tuisyen,” katanya yang mendapat A bagi subjek Ekonomi dan Pengajian Perniagaan serta A- Pengajian Am dan Matematik S.
Rakan sekolahnya, Mohd Rifaat Hussin, yang cacat penglihatan sejak berusia 15 tahun pula memperoleh 2A, 2A- dan 1B-, sekali gus merangkul anugerah Pelajar Istimewa Cemerlang (Kategori Buta).

46,780 lulus penuh

KUALA LUMPUR: Seramai 46,780 atau 92.49 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, termasuk lapan pelajar mendapat keputusan cemerlang Gred A dalam semua lima mata pelajaran diambil.

Daripada jumlah itu, 2,995 atau 5.92 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran, 20,478 empat mata pelajaran, 10,082 tiga mata pelajaran, 7,221 dua mata pelajaran dan 6,004 satu mata pelajaran.

Walaupun jumlah kelulusan peringkat prinsipal kali ini menurun berbanding 48,481 atau 92.55 peratus pada 2009, termasuk 15 pelajar mencapai Gred A dalam lima mata pelajaran, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menyifatkan prestasi kedua-dua tahun itu hampir sama dengan minimum purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 2010 adalah 2.22, manakala minimum PNGK 2009 ialah 2.23.

Pengerusi MPM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata seramai 343 atau 0.68 peratus calon mencatat PNGK 4.00, meningkat 0.63 peratus yang meliputi 179 pelajar aliran sastera dan 164 lagi aliran sains dengan 180 daripadanya calon perempuan dan 163 lelaki.

“Prestasi bagi PNGK 3.50 hingga 3.99 juga baik sedikit pada kali ini, iaitu 7.18 peratus calon berbanding tujuh peratus pada 2009. Bagaimanapun, 23.19 peratus calon mendapat PNGK 3.00 hingga 4.00 pada 2010, menurun berbanding 23.47 peratus pada 2009,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif MPM, Omar Abu Bakar. Pada majlis itu, Dzulkifli menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2010, bernilai RM1,000, sijil penghargaan dan plak kepada empat calon aliran sains yang mencatat Gred A dalam semua 13 kertas peperiksaan diambil.

Mereka ialah kembar Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik, Petaling Jaya; Chow Jun Kang (SMK Cochrane, Kuala Lumpur) serta Ling Xiao Chun dari SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...