Salam semanis ukhwah

Saturday, June 18, 2011

Makmurkan masjid tanggungjawab orang beriman

Melihat beberapa masjid yang besar, namun jemaahnya sangat menyedihkan. Persoalannya bagaimana cara menghidupkan masjid? kedua, apakah adab yang perlu diketahui oleh orang Islam mengenai masjid?

..................................



Allah SWT berfirman dalam surah at-Taubah ayat 19 yang bermaksud: “Dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim”.

Ayat itu jelas menunjukkan bahawa usaha memakmurkan masjid mempunyai kedudukan di sisi Allah. Allah SWT dengan tegas menyatakan bahawa tugas memakmurkan masjid Allah hanya dilaksanakan oleh orang yang beriman. Maka orang yang tidak memakmurkan masjid bererti bukanlah orang yang benar-benar beriman.



Satu hadis yang menjelaskan mengenai keutamaan membangun masjid iaitu diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Usman, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang membangun sebuah masjid untuk mencari keredaan Allah SWT, nescaya Allah SWT membangun untuknya sebuah rumah dalam syurga.



Bagaimanapun bagi setiap Muslim perlulah memelihara adab yang disyariatkan mengenai masjid, antaranya:



  • Pertama: Masuk ke dalam masjid hendaklah mendahulukan kaki kanan dan keluar dengan mendahulukan kaki kiri. Sebelum ke masjid hendaklah membaca doa ke masjid seperti diajar Nabi SAW, antaranya: Allahummaj’al fi qalbi nuran, wafi bashari nuran, wafi sam’i nuran, wa’an yamini nuran, wa’an syimali nuran, wa’an amami nuran, wa’an khalfi nuran, wafi ‘ashabi nuran wafi lahmi nuran, wafi sya’ri nuran wafi basyari nuran (yang bermaksud: Wahai Tuhanku, jadikanlah cahaya pada hatiku, cahaya pada penglihatanku, cahaya pada pendengaranku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya di sebelah mukaku, cahaya di sebelah belakangku, cahaya pada uratku, cahaya pada dagingku, cahaya pada darahku, cahaya pada rambutku, dan cahaya pada kulitku.)




  • Kedua: Mengerjakan solat dua rakaat solat tahiyyatul masjid apabila masuk masjid.

  • Ketiga: Duduk dalam masjid dengan menghadap kiblat.

  • Keempat: Berniat iktikaf selama duduk di dalamnya.

  • Kelima: Memelihara kebersihan masjid dan tidak mengotorinya.

  • Keenam: Tidak melakukan perkara tidak disukai syarak seperti bernyanyi, bertanyakan barang-barang yang hilang dan seumpamanya.

    Bagi persoalan bagaimana cara untuk kita memakmurkan masjid, ada banyak sebenarnya. Ini termasuk:


  • Pertama: mendirikan masjid di tempat dirasakan perlu untuk memudahkan umat Islam mendirikan jamaah. Hukum melaksanakan perkara ini adalah fardu kifayah.

    Kedua: membantu dan menyokong masjid yang sudah didirikan.

    Ketiga: memuliakan masjid dengan tetap melakukan ibadat di dalamnya, menyebut Allah di dalamnya, sentiasa tetap didirikan solat berjemaah, mengadakan program ilmu seperti tazkirah, kuliah ilmu dan seumpamanya.

    Keempat: menjaga adab dalam masjid seperti yang sudah diterangkan di atas.

    Bagi mereka yang dilantik menguruskan masjid, hendaklah melakukan perkara yang memberi kebaikan kepada masjid seperti memperbaiki masjid, memastikan azan sentiasa dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memastikan solat berjemaah sentiasa didirikan, ‘mewangikan’ masjid dan memasang lampu sekadar perlu lebih-lebih lagi setiap kali hari raya, menambah pendapatan wakaf masjid dengan berlaku jujur dan ikhlas dalam menjaga harta itu.

  • Pada masa sama, hendaklah menjaga kebersihan dan keselamatan perkakas masjid, manakala pegawai masjid, imam, muazzin, tukang bersih dan seumpamanya hendaklah menjalankan tugas yang telah ditetapkan untuk mereka. Demikianlah, wallahua’lam.
  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...