Salam semanis ukhwah

Saturday, September 17, 2011

Niat puasa qada Ramadan perlu didahulukan kerana wajib

AL-HAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Imam an-Nawawi RHM meletakkan satu bab dalam kitab Riadis Sholihin, iaitu bab mengenai sunat puasa enam hari pada Syawal. Hadis yang terkandung dalam bab ini yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Ayyub RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikutinya dengan puasa enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.
Begitulah tawaran besar yang diberikan kepada orang beriman bagi mereka yang melaksanakan puasa enam hari dalam bulan Syawal. Ini bererti bagi mereka yang tidak membuatnya, maka ia tidak akan memperoleh kelebihan itu.



Sekiranya seseorang itu belum menyelesaikan qada puasa Ramadan yang ditinggalkannya, lalu dia berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal, maka perkara itu harus dilakukan cuma tidak mengikut susunan. Kerana sepatutnya ia hendaklah menyelesaikan dulu qada puasa Ramadan, barulah diikuti dengan puasa sunat enam hari Syawal.



Ada juga ulama berpandangan sekiranya ia menyatukan niat puasa wajib dan puasa sunat seperti puasa qada Ramadan dan puasa enam Syawal, maka ia akan beroleh kedua-duanya. Sekiranya ia meniatkan satu daripada dua, maka ia akan memperoleh ganjaran puasa yang ia niatkan dan gugurlah ganjaran puasa yang satu lagi. Perkara itu dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatwanya, dalam kitab al-Fatwa al-Kubra.



Walaupun ada pandangan yang mengatakan bahawa afdalnya dikerjakan puasa enam itu hendaklah berturut-turut selepas Aidilfitri seperti ungkapan dalam hadis kemudian dia susulinya, namun ganjaran puasa enam ini tetap diperoleh sekalipun dia tidak mengerjakannya secara berturut-turut selepas hari raya.


Imam an-Nawawi menyebut dalam Syarah Sahih Muslim, iaitu yang lebih utama dilaksanakan puasa enam itu berturut-turut selepas hari raya. Sekiranya dilewatkan sehingga akhir Syawal, maka ia tetap mendapat ganjaran itu. Syeikh Atiyyah Saqr, iaitu bekas Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar apabila ditanya persoalan itu menjawab bahawa sudah cukup bagi orang yang melakukan puasa ganti (qada) dan puasa enam dengan berniat puasa qada pada Syawal.



Ia akan diberi dua ganjaran sekiranya dia bertujuan demikian dengan syarat dia hendaklah mendahulukan niat puasa qada terlebih dulu. Puasa qada adalah wajib manakala puasa enam adalah sunat. Demikianlah, wallahualam.

Putus silaturahim laluan ke neraka


ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang memutuskan hubungan silaturahim (ada yang menyebut silaturahmi). Antaranya adalah hadis Imam al-Bukhari daripada Jubair bin Muthim yang menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.


Kandungan hadis ini dibincangkan oleh pakar-pakar hadis dan mereka berkata bahawa yang tidak masuk syurga itu hanyalah orang yang mendustakan atau tidak percaya ajaran Nabi. Atas dasar itu, mereka memahami kalimah tidak masuk syurga di sini ertinya tidak masuk syurga dalam rombongan yang awal kerana orang yang memutuskan hubungan silaturahim akan diseksa ke dalam neraka terlebih dulu. Ada juga yang memahami hadis itu adalah ancaman agar setiap orang sentiasa menjalinkan hubungan harmoni dengan sesama manusia.



Begitu juga, antara ayat al-Quran yang melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim adalah ayat 25 surah ar-Rad yang bermaksud: Orang yang merosakkan janji Allah selepas diikrarkan dengan teguh, dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mengadakan kerosakan di bumi. Orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk. Dalam surah Muhammad ayat 22 dan 23 yang bermaksud: Maka apakah kiranya, jika kamu sekalian berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dipekakkan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka. Firman-Nya lagi dalam surah an-Nisa ayat 1 iaitu: Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan nama-Nya dan peliharalah hubungan silaturahim.



Berselisih yang membawa dua orang Muslim untuk tidak saling menyapa hanya dibenarkan selama tempoh tidak lebih tiga hari. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya (tidak mahu bercakap dengannya kerana benci) lebih tiga hari.



Dalam tempoh itu sudah cukup untuk meluruskan benang yang kusut, mencairkan yang beku dan menjalinkan kembali hubungan silaturahim. Orang yang memutuskan silaturahim boleh menjadikan ia menerima hukuman segera ketika berada di dunia lagi seperti dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Tarmizi daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada dosa yang layak disegerakan hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.




Elok anda berbuat baik kepada adik anda dan isterinya sekalipun mereka bersikap tidak baik dengan anda. Contohnya ketika mereka sakit, ziarahlah mereka, atau selalu memberi hadiah kepada mereka dan seumpamanya.




Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau bercerita: Ada seorang mengadu kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara di mana saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskan hubungan silaturahim dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya berlemah lembut dengan mereka tetapi mereka tidak tahu diri. Baginda SAW bersabda: Seandainya kamu benar-benar seperti yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah sentiasa memberi pertolongan kepada kamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian. Wallahualam.

Adik-beradik lelaki suami mahram sementara haram bersalaman

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad.
Hubungan antara seorang wanita dengan adik atau abang ipar adalah mahram yang sementara. Sekiranya suami wanita itu menceraikannya atau meninggal dunia, maka adik atau abang ipar boleh mengahwininya. Justeru, saudari tidak boleh bersalam dengan adik-beradik lelaki suami. Saudari hendaklah memelihara aurat depan mereka dan tidak boleh berjalan berdua-duaan bersama adik-beradik lelaki suami saudari.



Saudari tidak perlu menjaga hati mereka dengan melanggar syariat. Sekiranya mereka terasa, saudari boleh menjalinkan hubungan silaturahim dengan menziarahi mereka bersama suami, memberi hadiah dan seumpamanya. Saudari hendaklah menjadikan mereka mengikut saudari iaitu dengan mengikut syariat Allah, jangan jadikan diri saudari mengikut mereka dengan melanggar syariat Allah. Justeru, kita hendaklah lebih melihat kemurkaan Allah berbanding kemurkaan manusia.



Sebuah hadis riwayat Imam al-Tirmizi menyebut (yang bermaksud): Sesiapa yang berusaha mencari reda Allah dengan kemurkaan manusia, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan dengan manusia. Dan sesiapa yang berusaha mencari reda manusia dengan kemurkaan Allah, nescaya Allah akan menyerahkannya kepada manusia.



Oleh itu, saudari tidak perlu mengikuti mereka dengan alasan menghormati dan menjaga perasaan mereka pada perkara yang jelas bertentangan dengan syariat. Namun, hendaklah menjadikan mereka menghormati pendirian saudari dengan membawa mereka mengikut syariat Allah.


Untuk soalan kedua, sebelum itu saya hendak menjelaskan pengertian aurat. Aurat dari segi bahasa bererti kurang dan sesuatu yang dianggap buruk (an-Naqsu wassyaiul mustaqbahu). Dari segi istilah syarak bermaksud sesuatu yang wajib ditutup dalam sembahyang (ma yajibu satruhu fis solah) atau maksud kedua iaitu sesuatu yang haram dipandang (ma yahrumun nazru ilaih). Ada pembetulan pada pertanyaan saudari. Muhrim yang sebenarnya bermaksud orang yang berada dalam ihram haji atau umrah.



Sekiranya maksud saudari muhrim itu adalah orang yang haram untuk kita nikahi, sebutan yang sebenarnya adalah mahram.

Perlu diketahui bahawa ikatan mahram wujud dengan tiga sebab. Pertama kekeluargaan, kedua perkahwinan dan ketiga penyusuan. Allah SWT menyebut dalam surah an-Nisa ayat 23 dan 24 yang bermaksud: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita-wanita berikut iaitu) ibu-ibumu (dan nenek-nenekmu), anak-anak perempuan kamu, saudara-saudara perempuan kamu, saudara-saudara perempuan bapa kamu, saudara-saudara perempuan ibumu, anak-anak perempuan saudara lelaki, anak-anak perempuan saudara perempuan, ibu-ibu yang telah menyusukan kamu, saudara-saudara perempuan susuan, ibu-ibu isteri kamu, anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu (dan yang tidak dalam pemeliharaan kamu) dari isteri yang kamu telah campur, tetapi kalau kamu belum campur mereka, maka tiada salah kamu mengahwininya. Dan isteri-isteri anak-anak kamu yang berasal dari benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu.



Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Justeru, ibu tiri isteri tidak termasuk dalam senarai wanita yang haram dinikahi. Kerana itu ia termasuk dalam wanita ajnabi. Antara suami dengan ibu tiri isteri halal berkahwin, maka haram bersalaman dengannya.

Demikianlah, wallahualam

Pasar syurga tempat umat berkenalan, tiada jual beli

Alhamdulillah wassolatuwassalam ala rasulillah wa bad.
Memang ada keterangan daripada hadis menunjukkan bahawa syurga ada pasar. Akan tetapi pasar syurga itu bukanlah tempat berjual beli. Pasar syurga adalah tempat pertemuan dan perkenalan ahli syurga. Di sana mereka saling bercerita mengenai kehidupan semasa di dunia sehingga memperoleh kenikmatan syurga yang abadi.




Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Said bin Musayyab yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya ia (Ibnu Musayyab) bertemu dengan Abu Hurairah pada suatu hari.
Maka Abu Hurairah berkata kepadanya: Aku mohon kepada Allah untuk dikumpulkan-Nya antara aku dan engkau di pasar syurga. Maka berkatalah Said: Apakah di Syurga ada pasar? Jawabnya: Ya, ada.




Dalam riwayat yang lain pula menyebut (yang bermaksud): Sesungguhnya dalam syurga itu ada pasar yang tidak ada padanya jual beli. Akan tetapi apabila sampai ahli syurga di dalamnya, duduklah mereka bersandar di atas mutiara lembut dan tanah dari kasturi. Ketika itu mereka saling berkenalan dalam syurga seperti mereka di dunia. Mereka saling menyebut mengenai ibadat mereka terhadap Tuhan dan bagaimana keadaan mereka menghidupkan malam dengan sembahyang dan berpuasa pada siang hari.




Bagaimana kefakiran di dunia serta kekayaannya dan bagaimana keadaannya mati.
Begitulah keadaan pasar di syurga berbeza dengan pasar di dunia. Ahli syurga bertemu di pasar itu pada Jumaat dan keadaan penghuni syurga semakin hari semakin cantik. Hadis riwayat Muslim daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesungguhnya di syurga ada pasar yang dikunjungi penghuninya setiap Jumaat, lalu bertiuplah angin dari arah utara yang menerpa wajah dan pakaian mereka, sehingga mereka semakin tampan (cantik) itu, lalu keluarga mereka berkata: Demi Allah kamu semakin cantik. Mereka menjawab: Demi Allah kamu juga semakin bertambah cantik setelah kami tinggal pergi.



Hakikatnya syurga adalah tempat nikmat yang kekal. Penghuninya memperoleh kemuncak nikmat yang tidak dapat dibayangkan. Untuk memperoleh syurga Allah bukanlah suatu yang mudah sebagaimana yang disangka sebahagian orang dengan hanya semata-mata mengakui beriman seperti yang diwarisi oleh datuk nenek.



Juga semata-mata mengerjakan amal ibadat seperti gerak geri sembahyang, menahan dari makan dan minum pada Ramadan, boleh mendapat balasan baik. Padahal hatinya penuh dengan hasad dengki, perasaan dendam, riak, takbur, mulutnya tidak putus-putus berdusta, mengumpat dan membuat fitnah, dan sikapnya memperhambakan diri kepada apa saja yang boleh memenuhi kemahuan nafsunya.



Sesiapa yang demikian keadaannya, jauh sekali memperoleh balasan baik untuk orang yang takut melanggar perintah Tuhan dengan iman yang sebenar-benarnya serta amal ibadat yang dilakukan dengan khusyuk, ikhlas dan bersih dari maksiat zahir dan batin.



Allah SWT berfirman dalam surah al-Bayyinah ayat 7 dan 8 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Demikianlah, Wallahualam.

Tuesday, September 6, 2011

Raya Aidilfitri sebagai tanda Kemenangan Umat islam





Assalamualaikum,
kaifahalukum ya sohabat?

Lama sudah rasanya tidak meng 'update' blog ana ni. Tidak sangka setelah sebulan berpuasa akhirnya berjaya juga kita menempuhi bulan ramadhan Al-mubarak yang mulia ini bagi semua umat islam seluruh dunia. Tahniah ana ucapkan di atas kemenangan kalian semua.

Kini telah lepas seminggu beraya Aidilfitri bagi semua umat islam. Terasa cuti raya tahun ni pendek je kan. ^_^
walaupun seminggu beraya dikampung ana di Pasir putih Kelantan belbagai coretan kenangan ana bersama sanak saudara walaupun tidak semua saudara mara pulang beraya di kampung.

Sebelum sampai di kampung pasir putih kelantan, ana sekeluarga sempat berhenti di kuantan pahang untuk berbuka puasa. sekadar behenti di pondok yang usang, namun keceriaan ahli keluarga ana jelas menunjukkan ia adalah satu kenangan yang sukar untuk kami lupakan. Huhu, sebab nya kami berbuka dalam keadaan yang gelap gelita..hehe. main sumbat je lauk yang ada yang di masak oleh ummi kesayangan kami iaitu Puan Rosmah Bt. Ahmad. Terima kasih ummi sebab masakan ummi tetap sedap ye.

Hurm, ketika berada di kuantan teringat pula ana kepada seseorang yang ingin ana kenalinya dengan rapat. Tapi apakan daya jika takdir belum menemukan kami. ucapan selamat hari raya ini khas buat insan pilihan yang bernama (iyi). maaf jika ana sudah banyak melakukan kesilapan, tetapi ana mahu enti tahu bahawa ana akan sentiasa memegang erat persahabatan kita walaupun terasa jauh. ingatan serta kata janji tidak akan ana lupakan jua. insyallah.

Dan setelah itu, ana sekeluarga berada di kampung kami, banyak pengalaman suka dan duka ditempuhi bersama. Yang pelik nya ana masih tak faham lagi bahasa orang kelantan ni. lain yang disuruh lain yang dibuatnya, sampaikan nenek sendiri yang mentertawakan cucunya. Tidak mengapalah bagi ana, asalkan boleh lihat wajah kegembiraan di muka nenek ana itu merupakan suatu perkara yang menggembirakan juga.

banyak lagi perkara yang berlaku tetapi tidak semua yang mampu ana ceritakan, dan gambar di bawah serba sedikit mampu memberi gambaran kepada sahabat ana semua ye ^_^



Dimulai dengan menziarahi kubur moyang kami

Hope one day i will find you iyi, and i know im just clap in one hand...

perjalanan ke rumah sanak saudara nenek ana

belbagai telatah ketika hendak menuju ke kubur dan setelah itu pergi kerumah sanak saudara nenek kami

setelah pulang dari kubur

anak saudara mara ana, hurm nasib baik ana x kne minta duit raya

bertemu dengan ahli keluarga yang lain, sepupu kepada ayah ana

arnab ana juga turut berada dikampung dan telah menetap di sana :)

sempat haiwan peliharaan ana posing ketika photo diambil

saudara mara ana melawati kubur nenek moyang mereka

Nenek kesayangan ana serta cucunya yang lain.

Asyik ambil gambar org sampai gambar sendiri pun sempat posing, baju putih tu bukan nak duit raya ya tapi nak meminta maaf sesama keluarga sendiri. semoga pertalian persaudaraan kami akan terus berkekalan hingga tercabut nya nyawa kami. insyallah.

Gambar keseluruhan ahli keluarga yang balik dikampung. picture yang bermakna bagi diri ana.

Ahli keluarga ana yang disayangi, semoga berjaya kehidupan diakhirat dan juga di dunia. insyallah. semoga dipermudahkan dan begitu juga dengan saudara mara ana.

anak saudara mara ana gembira ketika bemandi manda sampai basah cermin kamera dibuatnya


promote jari sendiri depan kamera ^_^

kenduri aqiqah juga sempat dijalankan ketika berada dikampung halaman

kusyuk makan kuih raya semuanya

sauadara ana yang di sayangi.

kusyuk ayah ana memotong kambing aqiqah ^_^

Diakhiri dengan gambar kubur, kerana setiap kali kita melihat gambar sebegini pasti kita akan mengigati mati. Daripada itu, terdetik di hati sanubari ini agar sentiasa mengikuti perintah allah dan meninggalkan segala laranagannya. kerana hidup didunia kita ini adalah sementara dan kehidupan diakhirat adalah kekal untuk selama-lamanya. subhanallah. perbanyakkan lah amal ibadat kita agar kita tidak akan menyesal waktu tibanya kita dihisab dihadapan Allah s.w.t.

akhir kata, maafkan diri ana jika ada silap yang tidak ana sedari. yang baik itu semuanya datang dari Allah s.w.t. dan yang buruk itu adalah kesilapan dari diri ana yang lemah ini. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakaatu pada semua sahabat ana sekali lagi. semoga menjalani kehidupan enta semua dengan baik dan diberkati oleh Allah s.w.t AMIN




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...