Salam semanis ukhwah

Monday, December 26, 2011

Bersungguh-sungguh mencari keikhlasan mampu kikis perasaan riak

Soalan: Bagaimanakah caranya menghilangkan riak? Ketika mahu ke masjid untuk solat, kadangkala terdetik di hati saya untuk orang lain melihat saya. Begitu juga ketika saya mahu memasukkan duit ke tabung masjid, terasa dalam diri agar orang lain melihat. Saya sangat risau semua ibadat yang dilakukan tidak diterima Allah SWT.


ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Sebagaimana diketahui bahawa penyakit riak atau berbuat sesuatu kerana mengharapkan agar dilihat dan dipuji manusia, bukan mengharapkan keredaan Allah adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa saja, sama ada di kalangan ulama mahupun orang awam. Riak adalah syirik kecil, tapi termasuk antara dosa besar. Seseorang yang melakukan kebaikan diiringi perasaan riak, maka amalan itu gugur dan tiada pahala, bahkan akan mendapat dosa akibat perbuatan riak itu.

Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;

Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.

Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”
Ketiga – bergaul dengan rakan yang salih. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan.

Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala macam bentuk. Semoga Allah SWT mengurniakan kita keikhlasan baik dalam bentuk lisan serta perbuatan. Amin.

Saturday, December 10, 2011

Sah Haji Kanak-kanak tetapi wajib semula laksana apabila dewasa

ALHAMDULILLAH. Anak yang belum baligh lagi bila melakukan haji, adalah sah hajinya tetapi tidak wajib. Haji anak kecil atau orang yang belum baligh tidak tergolong wajib. Ini disebabkan syarat-syarat wajibnya haji iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkuasa (mampu).

Oleh itu apabila dia dewasa, wajib baginya mengerjakan haji sekali lagi sekiranya dia berkemampuan. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi Muhammad SAW bertemu dengan kafilah di Rauha, iaitu suatu tempat dekat dengan Madinah. Baginda bertanya: “Siapakah kaum ini? Mereka menjawab: Muslimin. Mereka bertanya lagi: Siapakah kamu? Baginda menjawab: Rasulullah. Maka seorang wanita memperlihatkan seorang anak kepada Rasulullah SAW dan berkata: Apakah bagi anak ini ada haji? Baginda menjawab: Ya dan bagimu ada ganjarannya.”

Justeru, anak kecil boleh (sah) melakukan ibadat haji, namun tidak tergolong wajib. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis riwayat Abu Syaibah dan al-Baihaqi yang bermaksud: “Apabila anak-anak mengerjakan haji, maka ia hendaklah mengerjakannya sekali lagi selepas ia baligh. Apabila hamba sahaya mengerjakan haji, kemudian dia dimerdekakan, maka dia hendaklah mengerjakannya sekali lagi.”

Dikalangan Kalangan Ulama berbeza pendapat mengenai adab pegang al-Quran

Kalangan ulama berbeza pandangan mengenai maksud firman Allah SWT dalam surah al Waqiah ayat 79 yang bermaksud: Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan).” Hal ini disebabkan adanya pelbagai kemungkinan maksud kalimah yang digunakan pada ayat berkenaan.



Pendapat menyatakan boleh memegang mushaf al-Quran walaupun dalam keadaan tidak berwuduk ataupun dalam haid dan nifas, samaada muslim, yahudi atau nasrani. pendapat ini dianut oleh Daud bin 'Ali.

Contohnya kalimah ‘Yamassuhu (menyentuhnya)’ adakah ia pengertian hakiki (kata sebenar) atau majazi (kata pinjaman). Kalau hakiki, bererti menyentuh atau memegang al-Quran. Manakala kalau majazi ertinya memahami dengan baik atau memperoleh berkatnya atau merasakan kelazatannya.

Seterusnya dibincangkan pula Yamassuhu (menyentuh) itu, adakah menyentuh al-Quran atau Lauh Mahfuz sebagaimana yang disebut pada ayat sebelumnya iaitu “Sesungguhnya al-Quran itu sangat mulia, dalam kitab yang terpelihara (Lauh Mahfuz).” Atas pandangan ini, timbullah perbezaan pendapat mengenai erti al-Mutahharun (yang disucikan). Ada yang berpandangan maksud al-Mutahharun adalah malaikat dan ada juga yang berpandang ertinya manusia.


Majoriti ulama berpandangan bahawa objek yamassuhu adalah al-Quran dan al-Mutahharun adalah manusia yang suci. Sekiranya kata yamassuhu diertikan ‘memahami dengan baik al-Quran’, maka al-Mutahharun adalah Rasulullah SAW dan manusia-manusia suci pilihan Allah SWT. Begitu juga sekiranya yamassuhu difahami dengan erti menyentuh atau memegang, maka al-Mutahharun boleh jadi beberapa maksud, antaranya bererti yang suci dari syirik, atau suci dari hadas besar (haid dan nifas) atau yang suci dari hadas kecil (dalam keadaan berwuduk).

Pendapat pertama, menyatakan boleh memegang mushaf al-Quran walaupun dalam keadaan tidak berwuduk atau dalam keadaan haid dan nifas, sama ada Muslim, Yahudi atau Nasrani. Pendapat ini dianut oleh Daud bin ‘Ali.

Pendapat kedua, mengatakan bahawa boleh seorang Muslim yang tidak berwuduk memegang al-Quran. Pendapat ini dianut oleh Imam Abu Hanifah.

Pendapat ketiga pula dianut oleh majoriti ulama, antaranya Imam Malik dan Syafi’i.

Hujah mereka bukan saja penafsiran ayat di atas, tetapi juga beberapa hadis Nabi SAW. Di antara ulama yang memegang pendapat ini ada yang membolehkan memegang al-Quran tanpa berwuduk selama tidak memegangnya secara langsung seperti dengan alas atau dibungkus.

Mereka juga membenarkan wanita yang sedang haid membaca wirid atau doa yang bentuk ayat al-Quran kerana ketika itu beliau dinilai membaca doa atau wirid bukan membaca al-Quran.

Atas dasar inilah, ada pandangan yang mengatakan bahawa seseorang yang membaca al-Quran atau menulis ayat-ayat dalam ujian peperiksaan boleh dibenarkan.

Rasulullah SAW pernah menulis kepada Kaisar yang mengandungi ayat-ayat al-Quran.

Sudah tentu surat berkenaan dibaca atau dipegang oleh Kaisar atau pembantunya yang bukan Islam.

Ini satu bukti bahawa dalam keadaan tertentu, boleh membaca atau memegang al-Quran walaupun tidak dalam keadaan suci.

Memang semua pendapat yang dikemukakan di atas tujuannya adalah memberi penghormatan terhadap kitab suci al-Quran.

Bilamana penghormatan sudah dipenuhi, maka syarat utama telah dipenuhi juga. Demikianlah, wallahua’lam.

Bukan Islam Turut dihisab lalui Titian Sirat di akhirat

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (iaitu) mereka beriman kepada perkara ghaib.” (Surah al-Baqarah, ayat 2 dan 3)




Mizan dan sirat adalah antara perkara ghaib yang wajib diyakini. Mizan adalah timbangan amal manusia di akhirat bagi menentukan kedudukan seseorang, sama ada ahli neraka atau ahli syurga.


Sirat pula ialah titian atau jambatan merentangi pintu neraka untuk sampai ke surga. Sesiapa yang tidak dapat melepasi titian akan jatuh ke dalam neraka. Bagaimana keadaan seseorang melaluinya berdasarkan amalan masing-masing.


Pandangan mengatakan mizan tiada untuk orang kafir tidak benar. Sesiapa yang hidup di dunia ini, tidak kira Muslim atau kufur tetap dihisab dan ditimbang serta akan melalui sirat di akhirat kelak.
Justeru, jika mereka tidak ditimbang, ini menunjukkan ketidakadilan. Sifat tidak adil dan kejam adalah mustahil bagi Allah SWT. Segala perbicaraan dan penentuan kesudahan seseorang itu akan berlaku seadil-adilnya.


Tiada sesiapa terlepas daripada perbicaraan dan timbangan ini. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya kepada Kamilah mereka akan kembali dan sesungguhnya kewajipan Kamilah menghitung mereka.” (Surah al-Ghasyiah, ayat 25 dan 26)


Umumnya semua puak dan golongan dalam aliran ilmu al-Kalam mempercayai adanya sirat dan mizan di akhirat kelak. Namun ada segelintir berbeza pendapat dengan pendapat ramai seperti golongan Salimiyyah di Basrah mengingkari adanya mizan dan hisab untuk orang kafir. Pada pandangan mereka, orang kafir akan terus dicampak ke dalam neraka tanpa perlu ditimbang dan dihisab lagi.


Imam Ahamd Hambal ada menjelaskan sememangnya ada timbangan atau mizan menimbang amalan manusia di akhirat nanti, baik amalan itu berupa kebaikan atau kejahatan. Ia disokong oleh Imam al-Qurtubi yang mengatakan timbangan amalan di akhirat adalah benar. Selain itu, Imam Ahmad juga menyatakan wujudnya titian atau sirat, di mana ia dibentangkan di akhirat nanti. Ia mesti dilalui setiap manusia sama ada beriman atau sebaliknya.


Ibnu Kathir rhm ada menyebut hadis mengenai benarnya sirat dan mizan. Mu’tazilah juga mempercayai adanya mizan dan sirat di akhirat nanti bagi mengadili dan menimbang amalan manusia. Mereka mempercayai sirat adalah jalan merentangi pintu neraka. Ia akan dilalui semua orang selepas dihisab amalan mereka. Ibnu Kathir rhm menjelaskan semua itu dengan berdalilkan beberapa hadis sahih, antaranya, “as-sirat itu hamparan (titian) di atas neraka jahanam. Demikianlah, wallahua’lam.

Friday, December 9, 2011

Rebut Peluang Solat Sunat Gerhana.

FENOMENA gerhana bulan penuh yang akan disaksikan malam ini bermula jam 7.30 malam pasti ada kelebihan padanya dan kita disarankan merebut peluang yang datang untuk meningkatkan ketakwaan serta mendekatkan diri kepada Allah.


Seperti kebiasaan, Masjid Negara dan masjid serta surau di kebanyakan tempat menganjurkan solat sunat gerhana bulan yang diikuti dengan khutbah untuk mengajak umat Islam menghargai kesempatan diberi Allah melihat akan kekuasaan-Nya.

solat sunat gerhana bulan adalah sunat muakad, amalan sunat yang sangat dituntut sempena berlakunya peristiwa yang jarang-jarang sekali terjadi.

kesempatan melihat sendiri fenomena yang boleh melahirkan rasa takjub terhadap kekuasaan Allah itu dihidupkan dengan menunaikan solat sunat secara berjemaah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak dinafikan jika dulu apabila berlaku gerhana bulan, ada yang melakukan perkara khurafat atau amalan bertentangan syarak tetapi kini fahaman itu tidak ada lagi. Oleh itu, sebaiknya apabila melihat fenomena yang jarang berlaku ini kita mengambil hikmah serta pengajaran daripadanya.

Apabila dikatakan bulan gerhana, bermakna bulan sakit dan sepatutnya keadaan itu mengingatkan kita kedudukan dunia yang semakin tua atau menghampiri kiamat. Walaupun kita tidak tahu bila berlakunya kiamat, persediaan mesti dibuat secara berterusan.

peluang yang diberikan kepada manusia termasuk melihat perubahan atau pergerakan cakerawala boleh mendorong mereka memikirkan keajaiban yang berlaku serta kepentingannya dalam kehidupan di dunia ini.

Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik saja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Jika gerhana yang lalu berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.

Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Bulan akan berada dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Friday, December 2, 2011

Memastikan diri sentiasa dalam amal kebajikan dan juga beramal salih

MEMASTIKAN diri sentiasa dalam kebajikan dan amal salih sesuatu yang sukar buat seseorang individu kerana kekangan nafsu akan mendorong ke arah dosa walaupun pilihan ada di depan mata.



Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi jiwa serta kesempurnaan ciptaannya. Maka diilhamkan padanya jalan kejahatan dan ketakwaan. Beruntunglah orang yang menyucikannya.” (Surah As-Syams, ayat 7-9)


Mujahadah dalam ibadat memerlukan kesabaran serta komitmen tinggi untuk meneruskan amalan kebajikan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Mujahid yang sebenar ialah mereka yang sentiasa memastikan dirinya berada dalam kebajikan pada setiap waktu.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Berterusan melakukan ketaatan adalah semulia-mulia pekerjaan di sisi Allah SWT apatah lagi mereka yang baru saja pulang menunaikan rukun Islam kelima. Mujahadah dimaksudkan merangkumi semua perkara ketaatan termasuk memelihara solat lima waktu.

Berlumbalah dalam melakukan kebajikan, Surah al-Baqarah: ayat 148


Datang seorang lelaki kepada sahabat Nabi SAW dan berkata: “Aku berkeinginan untuk berperang di jalan Allah swt. Jawab sahabat: Pastikan kamu berjaya memerangi dirimu sendiri dalam kesabaran melakukan kebajikan.”
Kita juga hendaklah sentiasa memelihara lisan serta anggota lain daripada melakukan dosa khususnya ketika berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling kerana pahala akan terjejas apabila berlaku konflik membabitkan hak antara sesama makhluk. Akhirnya kita akan menempah kerugian pada hari kiamat.


Seorang sahabat bernama Sufyan ketika meminta nasihat daripada Baginda SAW terkejut apabila Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjaga ini (sambil menunjukkan kepada lidah Baginda SAW).” (Hadis riwayat Tirmizi)
Rasulullah SAW mengingatkan mengenai golongan yang rugi pada hari kiamat kelak dalam sabda yang bermaksud: “Wahai sahabat sekalian, tahukan kamu siapakah orang yang muflis? Jawab sahabat: Mereka yang tiada mempunyai apa-apa dari segi kewangan. Sabda Baginda SAW: Sesungguhnya mereka yang muflis ialah orang yang datang bertemu Allah SWT dengan amalan yang banyak dari ibadat solat, haji , zakat, puasa dan lain-lain. Namun demikian, semua amalannya menjadi sia-sia belaka kerana beliau pernah menyakiti orang lain dan merampas harta mereka dengan cara yang salah. Maka semua amalannya dipindahkan kepada akaun orang teraniaya.


Jika semua amalannya sudah habis dipindahkan, maka kejahatan orang tadi akan dipindahkan ke akaunnya dan dicampakkan orang itu ke dalam neraka.”
Kita melihat maklum balas yang baik daripada sahabat setelah Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: “Berlumbalah dalam melakukan kebajikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)


Saidina Abu Bakar yang membantu seorang tua buta dan uzur dengan menghantar makanan serta bantuan pada setiap hari dan meminta supaya dirahsiakan bantuan itu akhirnya terbongkar apabila Saidina Umar membuat intipan selama beberapa hari.


Akhirnya Saidina Umar mengakui kehebatan Abu Bakar lalu berkata: “Kami tidak dapat bersaing dengan Saidina Abu Bakar dalam melakukan kebajikan.”


Sesungguhnya Islam sentiasa berdiri di atas prinsip pahala dan dosa dalam setiap amalan. Jika semuanya hilang dengan amalan buruk yang dilakukan seseorang, mereka akan menerima akibat buruk di akhirat kelak. Segala kebaikan dan keburukan akan kembali kepada diri sendiri.


Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih atau sebaliknya, semuanya akan kembali kepada mereka sendiri.” (Surah Fussilat, ayat 46)
Keseimbangan antara pahala dan dosa membezakan umat Islam dan yang lain. Dengan menggalakkan kebajikan, umat Islam sentiasa mendapat kemuliaan Allah SWT dan mereka akan mendapat kehinaan jika berlaku sebaliknya.


Ini kelebihan yang dirakamkan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang didatangkan kepada manusia seluruhnya kerana menyeru kepada pahala kebajikan dan mencegah dosa kemungkaran.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)


Kecemerlangan sesebuah organisasi atau kelompok masyarakat serta kestabilan kedudukannya akan dapat dinilai dari sudut kebajikan atau keburukan dilakukan supaya mereka sentiasa cemerlang dalam mendepani dunia masa kini.


Mereka akan sentiasa menilai segala amalan dilakukan dalam segenap sudut kebajikan sama ada dari segi ibadat, muamalat pergaulan, tarbiah kekeluargaan, pemikiran, ekonomi, media massa dan hak kemanusiaan.

Kukuhkan Niat menghadapi Tahun Baru 1433 Hijrah

10 langkah capai mujahadah dalam kehidupan seharian

ALHAMDULILLAH, dengan kalimah tahmid kita panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang dan memakbulkan doa untuk bertemu serta meneruskan perjuangan kehidupan bersama tekad di tahun baru 1433 hijrah.


Apabila menyedari sudah berada di lembaran baru dalam catatan diari hijrah ini, ada kala kita terasa ibarat dikejutkan daripada tidur yang lena. Begitulah pantasnya masa setahun berlalu meninggalkan kita. Masih teringat cita-cita tahun lalu yang tidak dapat ditunaikan sebahagian atau kesemuanya.

Pada ketika ini, timbullah sesalan sedangkan masa telah berlalu meninggalkan kita. Pepatah Melayu menyebut, ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.’ Kedatangan tahun baru bukan untuk dikesali tetapi diinsafi dan membangkitkan semangat mengorak langkah lebih bererti.



Kisah Abu Darda’, menanam pohon kurma walaupun sudah lanjut tuanya boleh dijadikan iktibar tekad dan usaha strategik. Apabila ditanya kepadanya: “Kamu menanamnya sedangkan kamu telah berusia dan ia mengambil masa bertahun untuk berbuah? Abu Darda’ menjawab: Apa salahnya jika dengan menanamnya aku mendapat pahala dan orang lain mendapat buahnya?”


Usaha Abu Darda’ diteruskan dengan strategi untuk memberi faedah kepada yang lain dan beroleh pahala walaupun dia menyedari berkemungkinan tidak sempat menjamah buah kurma itu.


Itulah yang dimaksudkan Baginda SAW mengenai dua strategi utama selepas hijrah dalam sabda yang bermaksud: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Niat adalah matlamat yang jelas dan ikhlas. Manakala jihad menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab adalah usaha gigih dan bersungguh-sungguh. Daripada perkataan jihad juga lahir mujahadah atau bekerja secara strategik untuk memastikan yang susah menjadi mudah, berat menjadi ringan, lambat menjadi cepat, mustahil menjadi realiti.


Seperti mana Rasulullah SAW mengatur langkah hijrah Baginda dan sahabat sehingga berjaya di Madinah. Ia diatur dengan penuh bijaksana supaya matlamat yang murni dicapai dengan cara selamat dan betul.


Antaranya menghantar Mas’ab bin Amir sebagai utusan ke Madinah, berada dalam Gua Tsur dan membentuk janji taat setia dengan wakil Madinah melalui Perjanjian Aqabah.


Begitulah kita dalam merealisasikan hijrah tahun baru, memerlukan strategi atau gerak kerja yang tersusun rapi dengan mengambil kira pelbagai kepentingan, keperluan, kehendak dan kesesuaian semasa.


Tindakan strategik membolehkan kita bertahan apabila berdepan kemungkinan sama ada persaingan atau kekangan yang boleh menggagalkan pencapaian tekad.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)


Justeru, dalam mujahadah melunaskan tekad dan azam pada tahun ini, beberapa strategi pentadbiran boleh dijadikan panduan. Pertama, tentukan niat atau matlamat yang jelas dan mampu untuk dicapai dalam tempoh setahun ini.


Bagi tujuan itu, kita boleh mewujudkan senarai semak matlamat dan tugas harian. Ia ibarat menyediakan ‘Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja’ bagi diri sendiri.
Kedua, utamakan tindakan berdasarkan keutamaan yang ditentukan mengikut status kerja seperti mengutamakan yang penting atau mendesak keperluannya, diikuti yang lebih mudah atau segera.


Ketiga, utamakan kerja secara berjemaah. Keempat, utamakan kerja yang telah ditetapkan tempohnya. Kelima, wujudkan sistem untuk mengemas kini, memantau perkembangan dan pencapaian tugasan dari masa ke semasa.


Keenam, kerjakan ia secara berterusan walaupun sedikit untuk mengelakkan momentum kerja menurun, terlupa atau terbengkalai. Ketujuh, mendapatkan sokongan dan galakan dari keluarga, rakan dan pekerja.


Kelapan, beri masa untuk berehat walaupun hanya dengan secawan minuman panas, berjalan daripada meja sendiri untuk melihat suasana lain atau beriadah walaupun seketika kerana ia mampu mengembalikan mood positif, semangat dan kesegaran fizikal.


Kesembilan, meraikan pencapaian yang diperoleh bersama-sama dan kesepuluh, mengekalkan ibadat dan munajat kepada Allah SWT untuk meraih keberkatan.


Langkah beribu ke hadapan bermula dari langkah pertama. Justeru, mari kita bermujahadah dengan mengorak langkah berusaha secara strategik untuk merealisasikan tekad tahun baru supaya manfaatnya dirasai bersama.


Seperti mana kata-kata Nabi Syuaib: “Aku tidak bermaksud kecuali untuk mendatangkan kebaikan selama aku masih berkesanggupan.” (Surah Hud, ayat 88)

Tuesday, November 22, 2011

Perkasa Pendidikan Ke Arah Pemantapan Iman

Muslim perlu berhijrah dengan positif agar masa depan generasi lebih cemerlang

BULAN Zulhijjah 1432 Hijrah kian menghampiri penghujungnya dan tahun baru bakal menjengah tiba. Pelbagai usaha dan cara dilakukan umat Islam dalam menyambut kedatangan Maal Hijrah yang mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda.

Hijrah ialah langkah strategik diambil Rasulullah SAW untuk menegakkan dakwah Islamiah. Kejayaan hijrah menjadi jambatan tertegaknya Daulah Islamiah kerana hijrah dipandu dan didukung keimanan serta ketakwaan yang padu.

Kejayaan hijrah ini juga mengubah landskap akidah, ibadah, akhlak dan gaya hidup ummah ketika itu.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya sudah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’, ayat 100)


Kejayaan Nabi SAW tiba di Madinah al-Munawwarah diteruskan dengan agenda membangun negara berteraskan petunjuk al-Quran. Dalam masa 10 tahun saja, Madinah berjaya mengalahkan kuasa besar seperti Rom timur dan Parsi.

Pengajaran penting kepada kita daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini ialah mengikuti jejak langkah Baginda yang menjadikan tuntutan iman dan takwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.
Justeru, kita perlu berusaha menyuburkan iman dan takwa supaya menjadi panduan kehidupan. Pemantapan iman berkait rapat dengan ilmu dan pendidikan. Maka, Islam memberi penekanan terhadap penguasaan ilmu dan pendidikan.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Pendidikan ialah matlamat utama melahirkan individu Muslim yang berilmu dan membina masa depan ummah contoh. Peredaran zaman memberi kesan kepada perubahan gaya hidup manusia termasuklah cara bertindak dan berfikir.


Bagi menjana ummah berkualiti, pendidikan bersepadu dan menyeluruh membabitkan fardu ain, fardhu kifayah dan teknologi maklumat perlu dititikberatkan.

Umat Islam dituntut memperkukuh ilmu fardu ain dengan mendalami pengetahuan agama seperti dalam bidang tafsir al-Quran, hadis, fiqh, akidah dan sebagainya sebagai benteng kepada keutuhan, kekuatan iman serta pegangan agama Islam.


Berdasarkan pemerhatian dalam bidang tertentu seperti ilmu matematik, sains fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, perubatan dan bidang sains lain, didapati bahawa umat Islam ketinggalan jauh berbanding pencapaian bangsa lain. Ini cabaran hebat kepada umat Islam di negara ini dalam usaha membina masa depan cemerlang.

Memperkasa umat Islam sebagai umat yang unggul menuntut kebijaksanaan tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan mestilah ada perubahan iaitu tajdid. Pembaharuan ilmu dan pendidikan bersifat semasa mampu melepaskan seseorang itu daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi.


Cara ini akan melahirkan ilmuwan selari dan senafas dengan zaman serta cabaran lingkungan terkini.

Memperkasa umat Islam haruslah bermula dengan contoh dan teladan supaya menjadi sumber ikutan baik dalam kalangan umat lain. Umat Islam mestilah diberikan suasana kebebasan membuat pandangan supaya setiap pihak merasa selesa bahawa kritikan membina untuk kebaikan semua.


Kita semua sedia maklum pendidikan berkesan tidak akan terlaksana jika tidak dijayakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat kerjasama dan sokongan semua pihak terutama institusi keluarga.

Bersempena kedatangan tahun baru hijrah, marilah bersama bertindak secara proaktif bagi memastikan masa depan generasi umat Islam lebih cemerlang dengan memperkasa sektor pendidikan yang menjadi teras membina masa depan keluarga, generasi dan negara.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...