Soalan: Bagaimanakah caranya menghilangkan riak? Ketika mahu ke masjid untuk solat, kadangkala terdetik di hati saya untuk orang lain melihat saya. Begitu juga ketika saya mahu memasukkan duit ke tabung masjid, terasa dalam diri agar orang lain melihat. Saya sangat risau semua ibadat yang dilakukan tidak diterima Allah SWT.
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah waba’d. Sebagaimana diketahui bahawa penyakit riak atau berbuat sesuatu kerana mengharapkan agar dilihat dan dipuji manusia, bukan mengharapkan keredaan Allah adalah penyakit berbahaya yang boleh menimpa sesiapa saja, sama ada di kalangan ulama mahupun orang awam. Riak adalah syirik kecil, tapi termasuk antara dosa besar. Seseorang yang melakukan kebaikan diiringi perasaan riak, maka amalan itu gugur dan tiada pahala, bahkan akan mendapat dosa akibat perbuatan riak itu.
Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini sehingga seorang ulama pernah berkata: “Aku tidak pernah susah payah melebihi kemampuanku untuk sentiasa ikhlas.” Walaupun demikian, bukanlah bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh mana-mana orang Islam yang mahu bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara perlu diperhatikan agar dapat meraih keikhlasan berkenaan;
Pertama – memahami dan sentiasa berusaha mengingati kedudukan ikhlas bagi sahnya sesuatu amal. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang diusahakan menjadi sia-sia. Perkara ini hendaklah diperhatikan ketika, sedang, bahkan sesudah melakukan kebaikan, lebih-lebih lagi berkaitan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.
Kedua – berusaha untuk sentiasa memahami serta mengingati besar dan bahayanya dosa riak. Riak juga sangat hampir dengan bangga pada diri sendiri (ujub) serta sombong dan kesombongan itu sangat dekat dengan kekufuran. Lihatlah iblis yang enggan sujud hormat kepada Nabi Adam, akhirnya kufur dan dimurkai Allah SWT. Dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.”
Ketiga – bergaul dengan rakan yang salih. Suasana dan kumpulan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan dan malu melakukan keburukan, kemungkaran serta maksiat. Selain itu, dia juga dapat belajar mengenai makna keikhlasan.
Keempat – keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan sebagaimana pepatah ‘alah bisa tegal biasa.’ Orang yang ikhlas dalam beramal, meskipun dalam keadaan sukar akan mendapat ketenteraman dan ketenangan hati. Mungkin dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman orang lain, mungkin juga orang lain akan mencemuh dan meremehkan dirinya, namun kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga iman makin kukuh dan yakin kepada Allah Rabbulalamin.
Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala macam bentuk. Semoga Allah SWT mengurniakan kita keikhlasan baik dalam bentuk lisan serta perbuatan. Amin.
No comments:
Post a Comment