Salam semanis ukhwah

Sunday, May 15, 2011

Wuduk, solat diringan jika sakit

BAGAIMANAKAH orang sakit, terutama yang berbalut pada tempat yang luka boleh mengerjakan solat?


........................................

HAMBA ALLAH,
Batu Pahat, Johor.


Alhamdulillah wassolatuwassalam ‘ala rasulillah waba’d.

Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: “Kemudian apabila kamu telah selesai solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingat Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu sudah merasa tenteram (aman), maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti biasa). Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”



Dalam satu hadis diriwayat oleh Imran bin Husain r.a, beliau berkata (yang bermaksud): “Saya menghidap penyakit buasir. Saya bertanya Nabi SAW mengenai kewajipan melaksanakan solat? Baginda SAW bersabda: Tunaikanlah solat dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu, hendaklah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu hendaklah dilakukan di atas lambung anda.”



Cara menunaikan solat dalam keadaan duduk ialah antaranya dengan cara bersila, kerana ia sabit dalam sebuah hadis yang diriwayatkan menerusi Aisyah r.ha katanya (yang bermaksud): “Saya melihat Nabi SAW menunaikan solat dalam keadaan duduk bersila.”



Boleh juga menunaikan solat dalam keadaan duduk tasyahhud. Bagi pesakit yang tidak mampu menunaikan solat dalam keadaan berdiri dan duduk, boleh menunaikan dalam keadaan mengiring di atas lambung. Jika tidak mampu juga, hendaklah menunaikannya dalam keadaan terlentang, dengan kedua kaki menghadap kiblat.



Begitu juga ketika mana hendak mengangkat hadas atau berwuduk, ada juga pesakit tidak dapat membasuh bahagian wuduk dengan air kerana bahagian itu berbalut. Oleh itu, hendaklah disapu saja di atas pembalut itu. Caranya iaitu dengan melalukan tangan yang dibasahkan dengan air di atas pembalut itu.



Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Jabir r.a, beliau berkata: Kami pernah keluar dalam satu perjalanan, seorang daripada kami terkena batu dan mengalami luka di bahagian kepalanya. Kemudian dia bermimpi, lalu bertanya kepada para sahabatnya, “Adakah tuan-tuan berpendapat, saya berhak diberi kelonggaran bertayammum (kerana kecederaan yang dialami). Para sahabat menjawab: Kami tidak mendapati kelonggaran kepada kamu kerana kamu mampu mendapatkan air. Lalu lelaki tersebut mandi. Akibatnya ia meninggal dunia.”



Apabila kami pulang menemui Rasulullah SAW, peristiwa itu dikhabarkan kepada Baginda, lalu Baginda menjawab: “Mereka semua sudah membunuhnya. Moga-moga Allah membunuh mereka. Kenapa mereka tidak bertanya ketika mereka tidak tahu. Sesungguhnya kesembuhan kejahilan iaitu dengan bertanya. Sebenarnya memadailah lelaki itu bertayamum dan memerah air ke atas tempat luka atau membalut tempat luka dengan satu pembalut kain dan kemudian menyapu di atasnya dan seterusnya membasuh ke semua bahagian badan yang lain.



Sekiranya seseorang pesakit itu tidak dapat menggunakan air, diharuskan untuknya bertayamum. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ammar bin Yassar r.a, beliau berkata (yang bermaksud): “Saya dalam keadaan junub dan kebetulan tidak tidak mendapati air. Lalu saya berguling di atas tanah dan kemudian saya menunaikan solat. Lalu saya khabarkan kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda: Sesungguhnya memadailah kepada kamu melakukan begini. Baginda menepuk kedua tangan Baginda ke atas tanah dan meniup kedua tangan itu kemudian menyapu muka dan dua pergelangan tangannya.”



Namun dalam mazhab Syafie, kita digalakkan untuk menyapu kedua tangan hingga ke dua siku.

Sekiranya pesakit itu mengalami sakit yang biasa yang tidak memudaratkan sekalipun lukanya terkena air, maka ia dikehendaki mengambil wuduk seperti biasa dan dia hendaklah mengerjakan solat seperti biasa.



Sekiranya pesakit itu berbalut lukanya, maka hendaklah dibuka agar air sampai di bahagian luka. Tetapi jika luka itu memudaratkan apabila terkena air, maka cukup sapu saja di atas pembalut. Ini adalah pandangan mazhab Hanafi.
Manakala menurut mazhab as-Syafie, seseorang yang sakit perlu membasuh kawasan yang sihat, kemudian menyapu di atas pembalut dan akhir sekali hendaklah bertayamum menggantikan tempat yang disapu itu.



Menurut pandangan mazhab Syafie lagi satu tayamum hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu. Tetapi bagi solat sunat, ia boleh ditunaikan mengikut yang dikehendaki sebelum atau selepas mengerjakan solat fardu kerana ia tiada had. Demikianlah, wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...