Salam semanis ukhwah

Monday, October 31, 2011

Kelembutan dakwah adalah terbaik

MENGAJAK orang berbuat kebaikan, melarang melakukan kemungkaran, menyebarkan ilmu, memberi nasihat, teguran dan ceramah adalah hal lazim dalam dakwah Islam. Berdakwah menjadi kewajipan dan tanggungjawab harus dipenuhi setiap umat Islam.

Firman Allah bermaksud: “Serulah (manusia) ke jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara baik.” (Surah An-Nahl, ayat 125).
Kita sebagai umat terbaik dan bermaruah, perlu bangkit berganding bahu menegakkan dakwah supaya semua sentiasa mengingati Allah serta mematuhi perintah-Nya. Dengan ini, umat Islam dapat hidup tenang, bahagia dan harmoni.


Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat ialah sikap membiarkan kemungkaran disebabkan rasa malu mencegahnya atau takut menegur perbuatan itu. Lebih malang lagi, ada yang menganggap atau tidak kuasa dengan membiarkan seseorang berbuat kemungkaran.


Semua tindakan ini menyimpang daripada ajaran Islam yang menghendaki umatnya mencegah apabila melihat kemungkaran mengikut kemampuan.


Abu Said al Khudri berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa dalam ka-
langan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Jika kemungkaran dibiarkan tanpa usaha mencegahnya, akibatnya maksiat akan berleluasa. Hal ini boleh mengundang kemurkaan Allah SWT seperti kisah Bani Israel yang dilaknat Allah disebabkan membiarkan maksiat berlaku.


Al-Quran menceritakan: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israel dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak melarang (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Dan sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 78-79)


Dakwah yang berjaya dilakukan dengan penuh keikhlasan, tidak memaksa atau menakut-nakutkan, secara bijaksana, sabar, lemah-lembut dan penuh kasih sayang.

Rasulullah SAW selalu menampilkan sifat kasih sayang dan kelembutan dalam usaha dakwah Baginda.


Betapa dinginnya sambutan orang Taif terhadap dakwah Nabi SAW, Baginda dicaci, diejek, dilontar dengan batu berdarah berdarah tubuhnya. Akibat peristiwa menyedihkan itu, datang malaikat menawarkan diri untuk menghempap bukit Al-Akhsyabin ke atas mereka.


Bagaimanapun, tawaran itu ditolak Baginda sebaliknya berkata: “Tetapi apa aku mahu biar Allah melahirkan daripada sulbi mereka suatu golongan yang menyembah-Nya tanpa mensyirikkan-Nya.”


Rasulullah SAW berlembut dengan orang yang memang jelas menentang dakwahnya. Kerana sikap lembah-lembut itu dakwah Baginda berjaya.


Firman Allah bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Jika kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)


Sebagai Muslim yang mahu agama Islam berkembang dan dihayati masyarakat, marilah mencontohi sikap ditunjukkan Rasulullah SAW.


Ibu bapa perlu mendidik dan mengajar anak dengan penuh tanggungjawab, kelembutan dan kasih sayang. Lantaran bimbingan dan nasihat yang lemah-lembut tetapi tegas boleh meninggalkan kesan mendalam dan keinsafan yang membuahkan kepatuhan.


Bentuk hukuman masih sesuai sebagai langkah terakhir apabila nasihat dan kasih sayang tidak mampu lagi digunakan, namun dikenakan kepada anak biarlah sekadar perlu bukan memudaratkan.


Begitu juga dengan guru di sekolah, perlu menjauhi sikap kasar yang hanya membuatkan murid semakin jauh minatnya terhadap pelajaran. Patinya, usaha ini memerlukan kesabaran serta kesungguhan guru.


Benarlah seperti diungkapkan Prof Dr Hamka bahawa andai kata sasaran dakwah (mad’u) itu menjauhkan diri daripada pendakwah (da’i), maka bukanlah mad’u itu yang patut disalahkan sebaliknya da’i itulah yang silap dan perlu bermuhasabah diri.

Generasi muda penyambung kekuatan dan keutuhan.

Pemuda perlu jadikan Rasulullah idola, ikutan

ANAK muda adalah generasi pelapis kepada sesuatu bangsa kerana masa depan bangsa itu bergantung kepada mereka. Jika pemudanya baik maka baiklah bangsa, sebaliknya jika mereka rosak maka rosaklah bangsa itu.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan hidayah untuk mereka.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)


Allah mengakui dan mengiktiraf sekumpulan pemuda yang beriman kepada-Nya iaitu tujuh pemuda yang beriman (ashabul kahfi), mereka beribadah dan berjihad menyeru manusia beriman kepada Allah, sehingga melarikan diri dalam gua untuk menyelamatkan aqidah mereka.


Pada zaman ashabul kahfi, ada seorang raja yang zalim memerintahkan rakyatnya menyembah berhala dan mensyirikkan Allah. Disebabkan keimanan serta keyakinan, sekumpulan pemuda ini menjalankan aktiviti dakwah mengajak kaum mereka menyembah Allah.


Jika dibandingkan kesungguhan ashabul kahfi ini menjalankan kegiatan dakwah biarpun berdepan pelbagai rintangan, sebahagian besar pemuda kita hari ini kurang memahami agama yang dianuti kerana kurangnya didikan dalam diri menyebabkan berlakunya hubungan haram antara lelaki dan perempuan, pembuangan bayi, tidak hormati ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah.


Sedangkan ramai sahabat Nabi Muhamad SAW yang boleh dijadikan contoh dan idola oleh pemuda kita seperti Usamah bin Zaid, Saidina Ali Abu Talib, dari segi keimanan, keilmuan, keterampilan dan keberanian mereka.
Malah, tokoh ini sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Rasulullah SAW di zaman muda mereka.


Apabila kita mempunyai ramai pemuda contoh daripada kalangan sahabat dan tabiin, alangkah malangnya pemuda kita hari kerana tidak menjadikan mereka sebagai idola. Sebaliknya generasi muda kita lebih menyanjung, suka meniru dan menjadikan artis barat yang bukan beragama Islam sebagai idola dan ikutan biarpun kadang-kala kelakuan dan akhlak bintang pujaan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.



Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ada di antara manusia memilih membelanjakan hartanya kepada perkara hiburan yang melalaikan dirinya dan orang lain, dengan tidak berdasarkan pengetahuan, dan ada pula menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan, merekalah orang yang akan beroleh azab pedih.” (Surah Lukman, ayat 6)


Kesimpulannya, pemuda yang beriman kepada Allah sanggup mempertahankan akidah dalam apa juga keadaan sekali pun kerana mereka sedar keutuhan sesuatu bangsa bergantung pada kekuatan generasi muda.


Pemuda kita perlu jadikan generasi sahabat Nabi SAW sebagai idola dan ikutan dalam semua aspek dan cara hidup.


Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang orang beriman itu ialah apabila di sebut nama Allah, jadi gementar hati mereka dan apabila dibaca pada mereka ayat Allah menjadikan mereka bertambah percaya (iman), dan kepada Tuhan mereka jugalah mereka berserah.” (Surah Al-Anfal, ayat 2)

Tuesday, October 25, 2011

HASAD DENGKI ROSAK POTENSI DIRI UMMAH

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qada dan qadar." (Hadis riwayat Abu Naim)

Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga ada kalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah SWT.
Hasad dengki adalah antara sifat mazmumah. Oleh itu, awasilah diri daripadanya kerana ia dosa pertama sekali dilakukan iblis laknatullah yang menolak perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Begitu juga Qabil yang membunuh Habil disebabkan dengki.

Sifat dengki itu apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya.

Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan oleh Islam.

Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana’ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), reda serta bersyukur dengan pemberian Allah SWT bukan melakukan perkara yang membawa kekufuran.

Takdir yang ditentukan Allah SWT terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan enak.
Ada pula hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun, Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-Nya.

Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah dengan reda, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentu setiap takdir itu akan menguntungkan.

Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang susah, anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah, mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah SWT seterusnya ialah meyakini segala-galanya adalah menjadi milik Allah.

Hal ini mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dengan nikmat yang ada padanya.

Justeru, selalu mengucapkan alhamdulillah, memuji Allah dalam segala keadaan ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan tahu membalas budi serta berterima kasih dengan kebaikan diberikan oleh seseorang.

Tuesday, October 18, 2011

Hindari sifat tamak serta megah memiliki Harta

ISLAM tidak menghalang umatnya mencari dan memiliki harta benda yang banyak, malah amat digalakkan demi mencukupi keperluan hidup asalkan halal di sisi agama.

Usaha melengkapi keperluan hidup yang halalsatu kewajiban setiap individu Muslim seperti mana pernah diingatkan oleh Rasulullah yang bermaksud: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa, dan lain-lain).” (Ath-Thabrani dan Al-Baihaqi)
Pada zaman serba canggih ini masih ada yang enggan bekerja dan lebih suka hidup menganggur serta hanya mengharapkan belas kasihan orang lain. Golongan ini biasanya mencetuskan kekeruhan dalam masyarakat seperti kes penagihan dadah, mencuri dan meragut. Di samping itu terdapat juga manusia yang bekerja namun tidak menitikberatkan sumber rezeki sehingga sanggup menempuh jalan yang jelas diharamkan agama lantaran mementingkan gemerlap kemewahan duniawi.
Orang seperti ini sebenarnya dihinggapi penyakit hati yang berupa tamak dan paling malang lalai daripada mengingati Allah, pada hal kita sedia maklum Islam telah menetapkan garis panduan yang harus dipatuhi dalam mencari dan mengurus harta benda. Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya) dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah Al-Munafiqun, ayat 9)

Tidak dinafikan sesetengah orang memandang harta benda itu sebagai lambang kemewahan dan kemegahan. Pada hal sifat tersebut mampu menjerumuskan kita ke cerun kelalaian (daripada ketaatan kepada Allah) sepanjang hayat. Firman Allah SWT bermaksud: “Bermegah-megahan melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” (Surah at-Takatsur, ayat 1-2)

Lantaran itu golongan yang tidak berada selalu tersisih daripada masyarakat. Demikianlah sebagaimana yang sering terjadi dalam masyarakat kita.

Anggapan yang salah ini bukan saja perlu diperbetul, tetapi hanya akan mencipta jurang antara orang kaya dengan golongan tidak bernasib baik yang seterusnya mewujudkan perpecahan dan putusnya tali silaturahim. Bukankah persaudaraan dalam Islam itu diajar oleh Nabi Muhammad SAW?
“Seorang Muslim adalah saudara bagi seorang Muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya.




Ketakwaan itu di sini sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali - Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim. Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Seharusnya kekayaan yang dimiliki disalurkan ke jalan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat mengikut syariat, diiringi dengan keyakinan bahawa sesuatu yang dikeluarkan itu tetap tidak berkurangan bahkan bertambah.

Keinsafan dapat menghindarkan seseorang daripada sifat sombong, tamak dan bakhil. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah saw: “Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

MANFAAT SEPULUH MALAM AWAL BULAN ZULHIJJAH

Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat

KINI kita berada di pertengahan bulan Zulqaedah. Insya-Allah jika dipanjangkan umur, kita bakal bersua dengan bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.





Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”
Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”
Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

  • Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

  • Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.
    Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

  • Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”

  • Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

  • Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

  • Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
    Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

  • Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

  • Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya: “Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.
  • Saturday, October 15, 2011

    Niat Penanda Aras dorong usaha capai Kejayaan

    Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) tidak akan membiarkan segala usaha yang telah dilakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

    Usaha, semangat dan komitmen berteraskan penentuan hala tuju amat ditekankan Baginda SAW dalam peristiwa hijrah. Usaha Baginda SAW dan kaum Muhajirin berhijrah dari Makkah ke Madinah berasaskan niat memperoleh kejayaan yang diredai Allah SWT.

    Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan Saidina Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Segala amal hanya dengan niat dan hanya bagi setiap seseorang itu apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Menurut Imam Syafie, hadis ini mengandungi satu pertiga Islam kerana usaha seseorang itu ada kala dengan hatinya, lidahnya dan anggotanya. Maka, niat yang maksud tujuan dan kehendak hati adalah satu dari usaha yang tiga.

    Imam al-Ghazali dalam kitabnya menyatakan, hati itu ibarat raja dan seluruh anggota adalah tenteranya. Oleh itu, hati yang tetap dengan niat atau hala tuju yang baik dan betul akan mudah menggerakkan usaha oleh anggota.

    Justeru, untuk mencapai kejayaan, hadis ini menekankan kepentingan meletakkan niat sebagai pemandu arah kepada setiap usaha atau amal yang akan dilaksanakan, manakala ganjaran pahala yang akan diperoleh adalah sesuai dengan niat ditetapkan.

    Niat atau hala tuju yang baik akan memberi nilai terhadap fokus usaha seperti kata-kata ulama tasauf, Fadil bin ‘Iyad: “Meninggalkan amal kerana manusia adalah riak; beramal kerana manusia adalah syirik. Niat yang ikhlas itu ialah Allah SWT menyelamatkan kamu daripada keduanya-duanya.”

    Usaha berasaskan hala tuju yang baik akan mengelakkan seseorang daripada niat buruk seperti sombong dan bangga diri. Oleh itu, perlu ditekankan bahawa niat dalam Islam bukan saja penentu matlamat, juga penentu kepada nilai kerja dan nilai diri pelakunya.

    AKAL FIKIRAN JADI PENENTU KEBENARAN SERTA KEBATILAN MANUSIA


    AKAL fikiran adalah naluri serta cahaya kekuatan yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya bagi membezakan kebenaran dan kebatilan. Akal juga dapat mencerna maklumat diterima sama ada benar-benar menepati cita rasa syariat yang menjurus kepada natijah pahala dan dosa.

    Oleh sebab itulah syariat Islam diturunkan dengan misi untuk menyelamatkan beberapa perkara asas dalam kehidupan manusia antaranya menyelamatkan akal dengan melarang umat mengambil minuman memabukkan.
    Menyelamat keturunan manusia dengan melarang mereka berzina seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu hampiri zina kerana ia adalah perkara buruk dan keji.” (Surah Al-Israk, ayat 32)
    Menyelamatkan harta benda dengan larangan mencuri, menyelamatkan kehidupan manusia dengan larangan membunuh tanpa sebab munasabah, menyelamatkan keharmonian masyarakat dengan larangan mengumpat dan menyelamatkan kehormatan dengan mengharamkan tuduhan palsu terhadap seseorang.


    Akal yang bertapak di hati manusia akan sentiasa diberi pilihan oleh Allah SWT dalam menentukan hala tuju serta keputusan dibuat sama ada dapat memberi manfaat atau mudarat kepada seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak pernahkah mereka berjalan di bumi sehingga hati mereka memahami, telinga mereka dapat mendengar. Sebenarnya bukan buta di mata tetapi yang buta ialah hati di dalam dada.” (Surah Alhaj, ayat 46) Mereka yang tidak menggunakan akal dengan sebaiknya akan menerima kehinaan Allah SWT sehingga disamakan kedudukan mereka seperti binatang.



    Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami isikan neraka dengan jin dan manusia kerana tidak menggunakan akal sebaiknya. Mereka mempunyai mata dan telinga tetapi tidak menggunakannya dengan baik. Mereka diumpamakan seperti binatang bahkan lebih dahsyat dari itu lagi.” (Surah Al-A’raf, ayat 179) Akal, pendengaran, pandangan mata dan hati adalah neraca penimbang kepada ilmu dan makrifah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah melahirkan kamu dalam keadaan bingung dan tidak mengerti apa-apa.



    Lalu dikurniakan pendengaran, penglihatan dan hati nurani semoga kamu bersyukur kerananya.” (Surah An-Nahl, ayat 78) Pancaindera dikurniakan kepada manusia bermula dari pendengaran sebelum penglihatan dan perasaan. Kita melihat anak dilahirkan akan menggunakan pancaindera ini sebelum mata mereka dapat melihat sesuatu dan seterusnya akan melalui proses mengenal mengikut turutan kurniaan Allah. Mereka juga dapat membezakan antara petunjuk Ilahi dan kesesatan dicetuskan oleh syaitan.



    Mereka yang mendapat petunjuk akan meraih dua keuntungan iaitu di dunia dan akhirat. Begitu juga balasan sebaliknya bagi mereka yang sesat. Firman Allah SWT bermaksud: “Bagi mereka yang menyahut seruan Allah SWT, mereka disediakan balasan baik. Dan bagi mereka yang ingkar, jika mereka memiliki segala khazanah alam ini sekalipun dan ditambah lagi satu lagi kekayaan, nescaya tidak dapat menebus segala keingkaran itu di akhirat kelak.” (Surah Ar-Ra’du, ayat 18) Mereka yang gagal menggunakan fungsi akal akan menerima padah di dunia dan melahirkan penyesalan di akhirat.


    Peristiwa sedih di Arab Saudi baru-baru ini mencabar kewibawaan akal kita di mana seorang bernama Muhammad bin Hasan al-Askari mendakwa beliau Imam Mahdi dan salah seorang dari Khalifah Abbasiyah muncul kembali. Beliau mendakwa dari keturunan Baginda SAW dan al-Quran pada hari ini bertentangan dengan yang dibawa sahabat Baginda Nabi SAW.


    Beliau juga mendakwa melihat perkara ghaib serta dapat menunaikan hajat seseorang. Malangnya masih ramai percaya dakwaan ini dan akhirnya menjadikan beliau sembahan yang jelas menyengutukan Allah SWT. Kini mereka pencetus kepada kacau bilau serta huru-hara dalam masyarakat Islam di sana. Marilah bersama menghayati firman Allah SWT: “Siapakah yang lebih sesat daripada orang yang menyembah selain dari Allah SWT yang tidak dapat memberi apa-apa kepadanya di hari kiamat dan mereka lalai dari perkara itu semasa di dunia. Segala sembahan mereka akan menjadi musuh pada ketika itu walaupun mereka mengingkarinya.” (Surah Al-Ahqaf, ayat 5-6)

    Friday, October 14, 2011

    GANJARAN ORANG YANG BERSABAR DARI MENAHAN MARAH

    ASSALAMUALAIKUM

    Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa ada seorang lelaki ( Abu Darda ) telah berkata kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam: “ Berikanlah aku nasihat,”. Baginda bersabda : “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “ Jangan marah”.
    ( Hadith riwayat al-Bukhari)

    Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam adalah role model yang terbaik apabila memperkatakan sifat sabar yang mulia ini. Baginda berpesan kepada umatnya supaya bersabar apabila kita diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai cubaan, dugaan dan masalah yang membuktikan bahawa Allah SWT sayang kepada hambaNya. Manusia apabila ditimpa musibah dan jatuh sakit maka pada ketika itu baru dia akan ingat pada Allah SWT, merintih memohon keampunan dan berhajatkan pertolongan Allah SWT.

    Selain itu, Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam mendidik dan membimbing manusia supaya meninggalkan sifat marah kerana itu adalah tabiat syaitan. Justeru, kita haruslah cuba belajar untuk menjadi orang yang sabar, kerana Allah SWT bersama-sama dengan orang yang sabar. Para hukama’ berkata bahawa sesungguhnya sifat marah itu adalah punca kepada penyesalan yang tidak berguna kerana marah membawa kepada banyak keburukan kepada semua.


    Menurut seorang ulama, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan bahawa sifat sabar itu boleh dibahagikan kepada tiga jenis pembahagian sabar. Jenis sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Jenis yang kedua ialah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga ialah sabar tatkala ditimpa ujian ( musibah ). Kesemua jenis sabar ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT kerana ganjarannya adalah syurga sebaik-baik tempat buat orang yang beriman dan orang yang beramal soleh.

    Bagi mereka yang masih tidak dapat untuk menahan sifat marah, di sini ada beberapa panduan yang digariskan oleh para ulama seperti membaca ta’wudz (“A’udzu billahi minas-syaitannir rajim”),kemudian ingat kepada manfaat menahan sifat marah, bersegera pergi mengambil wuduk kerana marah itu sifat syaitan yang dijadikan dari api, apabila berwuduk insya Allah hati akan beransur menjadi sejuk. Selain itu, cuba merubah posisi tubuh dari berdiri kepada duduk atau dari duduk kepada berbaring dan ingatlah kepada kemarahan Allah SWT kerana kemarahan Allah SWT lebih dari kemarahan kita.

    Perlu diingatkan di sini, apabila seseorang itu marah dan bergaduh dengan saudaranya sehingga tidak mahu bertegur sapa selama lebih dari 3 hari maka dia akan berdosa. Marah juga boleh membawa kepada permusuhan yang berpanjangan, berlaku kes perceraian antara suami isteri yang sanagt dibenci oleh Allah SWT. Kajian yang dibuat mendapati antara punca utama berlakunya kes penceraian, kes jenayah, kes pembunuhan dan kes pergaduhan adalah disebabkan sifat marah yang tidak dapat dikawal. Apabila sifat syaitan ini telah menguasai diri, maka pada ketika itu manusia sanggup melakukan apa sahaja.

    Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam adalah contoh tauladan yang terbaik apabila memperkatakan tentang sifat sabar. Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam memiliki semulia-mulia akhlak dan peribadi sehinggakan orang kafir sendiri kagum dengan kehebatannya. Dalam menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat arab jahiliyah sudah tentu Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam telah berhadapan dengan pelbagai tentangan, rintangan, dugaan dan cabaran, tetapi Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam tetap bersabar membawa risalah yang suci ini.

    Kalau tidak disebabkan sifat sabar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sudah tentu kita semua tidak dapat merasai manisnya berada dalam nikmat Iman dan Islam. Antara cabaran yang paling hebat ialah apabila Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam ditentang oleh bapa saudaranya sendiri Abu Talib yang mengasuh dan membesarkannya sewaktu masih kecil. Walaupun mati dalam keadaan kafir, tetapi beliau mendapat seringan-ringan seksaan dalam api nereka jika dibandingkan dengan orang-orang kafir yang lain. Sesungguhnya sifat mazmumah ini lebih banyak membawa kemudharatan dan keburukan berbanding kebaikan yang diperolehi.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...