Salam semanis ukhwah

Monday, October 31, 2011

Generasi muda penyambung kekuatan dan keutuhan.

Pemuda perlu jadikan Rasulullah idola, ikutan

ANAK muda adalah generasi pelapis kepada sesuatu bangsa kerana masa depan bangsa itu bergantung kepada mereka. Jika pemudanya baik maka baiklah bangsa, sebaliknya jika mereka rosak maka rosaklah bangsa itu.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan hidayah untuk mereka.” (Surah Al-Kahfi, ayat 13)


Allah mengakui dan mengiktiraf sekumpulan pemuda yang beriman kepada-Nya iaitu tujuh pemuda yang beriman (ashabul kahfi), mereka beribadah dan berjihad menyeru manusia beriman kepada Allah, sehingga melarikan diri dalam gua untuk menyelamatkan aqidah mereka.


Pada zaman ashabul kahfi, ada seorang raja yang zalim memerintahkan rakyatnya menyembah berhala dan mensyirikkan Allah. Disebabkan keimanan serta keyakinan, sekumpulan pemuda ini menjalankan aktiviti dakwah mengajak kaum mereka menyembah Allah.


Jika dibandingkan kesungguhan ashabul kahfi ini menjalankan kegiatan dakwah biarpun berdepan pelbagai rintangan, sebahagian besar pemuda kita hari ini kurang memahami agama yang dianuti kerana kurangnya didikan dalam diri menyebabkan berlakunya hubungan haram antara lelaki dan perempuan, pembuangan bayi, tidak hormati ibu bapa, mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan menghabiskan masa dengan perkara tidak berfaedah.


Sedangkan ramai sahabat Nabi Muhamad SAW yang boleh dijadikan contoh dan idola oleh pemuda kita seperti Usamah bin Zaid, Saidina Ali Abu Talib, dari segi keimanan, keilmuan, keterampilan dan keberanian mereka.
Malah, tokoh ini sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Rasulullah SAW di zaman muda mereka.


Apabila kita mempunyai ramai pemuda contoh daripada kalangan sahabat dan tabiin, alangkah malangnya pemuda kita hari kerana tidak menjadikan mereka sebagai idola. Sebaliknya generasi muda kita lebih menyanjung, suka meniru dan menjadikan artis barat yang bukan beragama Islam sebagai idola dan ikutan biarpun kadang-kala kelakuan dan akhlak bintang pujaan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.



Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ada di antara manusia memilih membelanjakan hartanya kepada perkara hiburan yang melalaikan dirinya dan orang lain, dengan tidak berdasarkan pengetahuan, dan ada pula menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan, merekalah orang yang akan beroleh azab pedih.” (Surah Lukman, ayat 6)


Kesimpulannya, pemuda yang beriman kepada Allah sanggup mempertahankan akidah dalam apa juga keadaan sekali pun kerana mereka sedar keutuhan sesuatu bangsa bergantung pada kekuatan generasi muda.


Pemuda kita perlu jadikan generasi sahabat Nabi SAW sebagai idola dan ikutan dalam semua aspek dan cara hidup.


Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang orang beriman itu ialah apabila di sebut nama Allah, jadi gementar hati mereka dan apabila dibaca pada mereka ayat Allah menjadikan mereka bertambah percaya (iman), dan kepada Tuhan mereka jugalah mereka berserah.” (Surah Al-Anfal, ayat 2)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...