ASSALAMUALAIKUM
Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawa ada seorang lelaki ( Abu Darda ) telah berkata kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam: “ Berikanlah aku nasihat,”. Baginda bersabda : “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam menjawab : “ Jangan marah”.
( Hadith riwayat al-Bukhari)
Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam adalah role model yang terbaik apabila memperkatakan sifat sabar yang mulia ini. Baginda berpesan kepada umatnya supaya bersabar apabila kita diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai cubaan, dugaan dan masalah yang membuktikan bahawa Allah SWT sayang kepada hambaNya. Manusia apabila ditimpa musibah dan jatuh sakit maka pada ketika itu baru dia akan ingat pada Allah SWT, merintih memohon keampunan dan berhajatkan pertolongan Allah SWT.
Selain itu, Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam mendidik dan membimbing manusia supaya meninggalkan sifat marah kerana itu adalah tabiat syaitan. Justeru, kita haruslah cuba belajar untuk menjadi orang yang sabar, kerana Allah SWT bersama-sama dengan orang yang sabar. Para hukama’ berkata bahawa sesungguhnya sifat marah itu adalah punca kepada penyesalan yang tidak berguna kerana marah membawa kepada banyak keburukan kepada semua.
Menurut seorang ulama, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah mengatakan bahawa sifat sabar itu boleh dibahagikan kepada tiga jenis pembahagian sabar. Jenis sabar yang pertama ialah sabar ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Jenis yang kedua ialah sabar daripada melakukan maksiat kepada Allah dan jenis yang ketiga ialah sabar tatkala ditimpa ujian ( musibah ). Kesemua jenis sabar ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT kerana ganjarannya adalah syurga sebaik-baik tempat buat orang yang beriman dan orang yang beramal soleh.
Bagi mereka yang masih tidak dapat untuk menahan sifat marah, di sini ada beberapa panduan yang digariskan oleh para ulama seperti membaca ta’wudz (“A’udzu billahi minas-syaitannir rajim”),kemudian ingat kepada manfaat menahan sifat marah, bersegera pergi mengambil wuduk kerana marah itu sifat syaitan yang dijadikan dari api, apabila berwuduk insya Allah hati akan beransur menjadi sejuk. Selain itu, cuba merubah posisi tubuh dari berdiri kepada duduk atau dari duduk kepada berbaring dan ingatlah kepada kemarahan Allah SWT kerana kemarahan Allah SWT lebih dari kemarahan kita.
Perlu diingatkan di sini, apabila seseorang itu marah dan bergaduh dengan saudaranya sehingga tidak mahu bertegur sapa selama lebih dari 3 hari maka dia akan berdosa. Marah juga boleh membawa kepada permusuhan yang berpanjangan, berlaku kes perceraian antara suami isteri yang sanagt dibenci oleh Allah SWT. Kajian yang dibuat mendapati antara punca utama berlakunya kes penceraian, kes jenayah, kes pembunuhan dan kes pergaduhan adalah disebabkan sifat marah yang tidak dapat dikawal. Apabila sifat syaitan ini telah menguasai diri, maka pada ketika itu manusia sanggup melakukan apa sahaja.
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam adalah contoh tauladan yang terbaik apabila memperkatakan tentang sifat sabar. Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam memiliki semulia-mulia akhlak dan peribadi sehinggakan orang kafir sendiri kagum dengan kehebatannya. Dalam menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat arab jahiliyah sudah tentu Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam telah berhadapan dengan pelbagai tentangan, rintangan, dugaan dan cabaran, tetapi Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam tetap bersabar membawa risalah yang suci ini.
Kalau tidak disebabkan sifat sabar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sudah tentu kita semua tidak dapat merasai manisnya berada dalam nikmat Iman dan Islam. Antara cabaran yang paling hebat ialah apabila Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam ditentang oleh bapa saudaranya sendiri Abu Talib yang mengasuh dan membesarkannya sewaktu masih kecil. Walaupun mati dalam keadaan kafir, tetapi beliau mendapat seringan-ringan seksaan dalam api nereka jika dibandingkan dengan orang-orang kafir yang lain. Sesungguhnya sifat mazmumah ini lebih banyak membawa kemudharatan dan keburukan berbanding kebaikan yang diperolehi.
No comments:
Post a Comment