Salam semanis ukhwah

Friday, March 4, 2011

CIRI CIRI BUDAYA KERJA IKUT KEHENDAK ISLAM

Berakhlak baik, disiplin, semangat muafakat mekanisme penting tingkat prestasi organisasi

MEMANTAPKAN budaya kerja Islam menyentuh sikap amanah serta pencapaian dalam kerja, sangat relevan untuk pekerja Muslim berperanan dalam arus perdana ekonomi negara, menepati tuntutan Model Baru Ekonomi (MBE).

Islam sebagai agama yang memandu kehidupan Muslim sudah pasti mengemukakan budaya kerja tersendiri yang menepati falsafah dan nilai etika untuk menyusun dan menjalani kerja dalam sebuah masyarakat.
Pertama, membabitkan diri dalam sesuatu pekerjaan adalah wajib bagi setiap orang Islam kerana berkecimpung dalam urusan pekerjaan dianggap sebagai tuntutan keagamaan, kerja itu ibadat.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Menepati kehendak agama, pekerja Muslim seharusnya berusaha meningkatkan prestasi kerja dan ini memerlukan usaha mewujudkan satu budaya mempertingkatkan mutu kerja yang berterusan.

Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu menghubungkan usaha dan melaksana pekerjaan sebagai tuntutan agama. Tahap keimanan dan prestasi kerja mempunyai hubung kait yang rapat.

Usaha ke arah matlamat itu adalah jihad kerana membina kekuatan ekonomi oleh masyarakat Islam melalui peningkatan mutu kerja tuntutan yang utama dalam dunia hari ini. Tanpa kekuatan ekonomi, umat Islam akan terus dijajah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu apabila melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Mekanisme dalaman akan merangsang pekerja Muslim tetapi malangnya, pekerja Muslim tidak memahami Islam secara sempurna dan melihat usaha meningkat mutu prestasi kerja sebagai sesuatu yang berpisah daripada paksi agama.

Ada yang berpendapat ia urusan kebendaan dan melalaikan umat Islam kepada tuntutan akhirat. Fahaman ini perlu diperbetulkan.

Kedua, Islam turut menyarankan pekerja menghayati tuntutan akhlak dalam pekerjaan. Akhlak menuntut pekerja beramanah dan berintegriti dalam menyusun serta melaksana urusan pekerjaan. Menghayati akhlak luhur membolehkan pekerja Muslim berprestasi dengan baik.

Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak positif kepada kemajuan pekerja dari pelbagai segi. Oleh itu agama menuntut umatnya supaya kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa budaya akhlak yang tinggi, prestasi kerja akan menghadapi kemelesetan.

Ketiga, budaya kerja Islam memberi tekanan tinggi kepada amalan disiplin. Umat Islam sepatutnya, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki disiplin yang tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan mundur. Kemunduran ekonomi membuka ruang pelbagai masalah lain kepada umat.

Islam memberi perhatian khusus mengenai pengurusan masa dan sumber pembuatan. Islam mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang tidak mengguna kuasa dengan berkesan dan menghormati masa.

Keempat, Islam turut mendidik pekerja Muslim bekerja secara muafakat dan berpasukan. Semangat ini jika dihayati sepenuhnya akan mampu meningkat prestasi kerja keseluruhan warga organisasi. Memandangkan kebanyakan kerja dilaksana melalui organisasi, budaya kerja berpasukan sangat dituntut oleh setiap organisasi.

Jika sesebuah organisasi itu besar dari segi saiz pekerjanya sudah pasti kemajuan organisasi bergantung kepada kerja bermuafakat. Matlamat ini bukan terhad kepada perhubungan individu pekerja tetapi membabitkan bagaimana proses sistem kerja dibentuk.

Kesemua aspek yang membolehkan tugasan dilaksana secara harmoni memerlukan kebijaksanaan merancang kerja dan kesediaanbekerja dengan semangat muafakat.

Pembudayaan budaya kerja cemerlang seperti dikehendaki Islam, pekerja dan organisasi Muslim akan mampu berada di arus perdana ekonomi negara. Dengan tercapainya kejayaan itu, ia adalah permulaan kepada pekerja dan organisasi Muslim untuk berperanan di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...