ORANG yang beriman dan beramal soleh dijanjikan kekuasaan oleh Allah SWT untuk mentadbir bumi dan seluruh isinya. Janji Allah ini memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa mereka mampu mengulangi kegemilangan Islam suatu waktu dulu melalui pelbagai cara. Antaranya, meluaskan wilayah pemerintahan pemimpin Islam seluruh dunia.
Dalam Surah An-Nur, ayat 55 Allah berfirman maksudnya: “Allah telah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia benar-benar akan memberikan kekuasaan daripada mereka di muka bumi. Seperti yang telah Dia berikan kepada orang sebelum mereka (khalifah terdahulu). Dia juga (berjanji) akan benar menguatkan untuk mereka agama mereka, yang diredhai. Serta (berjanji) akan benar-benar menukar ketakutan mereka dengan kedamaian. Mereka (adalah orang yang sentiasa) menyembahKu, tidak menyekutukan Aku dengan apa-apa jua. Dan sesiapa saja yang masih ingkar setelah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik.”
>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Pemimpin Islam harus mengambil peluang daripada keretakan kuasa sekular untuk menguasai dunia dengan ekonomi seperti yang pernah dilakukan pemimpin Islam terdahulu. Kuasa Barat hari ini yang gagal bersatu di bawah satu pemerintahan dan berperang sesama sendiri menunjukkan kelemahan yang akhirnya tidak langsung membawa kecemerlangan kepada sesuatu bangsa. Hakikat ini sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam bahawa perpecahan kerana ideologi hanya memberi kepuasan hati, bukan manfaat kepada duniawi.
Umat Islam banyak menerokai pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi sebelum Eropah yang ketika itu berada pada zaman ortodoks. Seluruh dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan kebijaksanaan orang Islam yang merintis segala kepakaran yang memanfaatkan kehidupan insan. Teori kemanusiaan dan undang-undang yang dirangka bersumberkan al-Quran dan hadis tersebar melangkaui benua sehingga menjadi ikutan manusia seantero alam. Hari ini, tiada sebab umat Islam tidak melakukan perkara sama, apatah lagi mereka mendapat panduan daripada generasi yang lebih awal.
Islam menyediakan garis panduan untuk melahirkan ilmuwan hebat, pendakwah cekal, pedagang amanah, pentadbir yang gerun pembalasan akhirat, petani yang ikhlas kepada alam dan pengguna yang tidak membazir. Kurikulum yang dirangka bagi mentarbiyah umatnya amat sempurna dan tidak sukar, cuma terlalu banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuh. Jika beriltizam tinggi dan tekun, tiada sesiapa yang gagal.
Dalam bidang akademik contohnya, al-Khawarizmi adalah seorang ahli astronomi dan orang pertama menentukan ukuran dan bentuk bulatan bumi. Ibnu Sina pula pakar perubatan yang mahir dan penulis buku Al-Qanun fit-Tib yang mengandungi sejuta perkataan mengenai perubatan dan menjadi rujukan universiti seluruh dunia selama 600 tahun. Ibnu Sina juga pakar astronomi, fizik, kimia dan matematik.
Dari segi pembangunan fizikal, bangunan yang didirikan umat Islam, sistem jalan raya, saliran air dan sebagainya amat mengagumkan. Ini membuktikan kemajuan pesat telah bermula sejak dulu bahkan tiada kemajuan setanding dengannya pada ketika itu. Ini menunjukkan umat Islam mampu menjadi perintis kepakaran serta pemangkin kemajuan yang masih bertunjangkan syariat.
Selain itu, akhlak dan moral yang tinggi menyebabkan tidak banyak kes jenayah berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Tambahan pula perundangan Islam yang bersifat mendidik dan mencegah mampu mentarbiyah umatnya menjauhi kemungkaran dan kezaliman. Sifat takwa dan kekuatan akidah mereka juga jawapan kepada pembinaan sahsiah luar biasa, yang sepatutnya dilakukan generasi masa kini. Tambahan pula peluang sentiasa tersedia kepada umat Islam terus cemerlang. Cuma malangnya tidak ramai menghargainya malah lupa kehidupan yang kekal sesudah mati.
Itulah umat Islam apabila mendapat kuasa daripada Allah untuk memimpin diri sendiri dan umat. Mereka harus menjadi orang yang terkehadapan, sentiasa memberi daripada menerima, sentiasa memimpin daripada dipimpin, sentiasa membantu daripada dibantu dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain, bukan sebaliknya. Janji Allah untuk memberi kekuasaan di bumi kepada orang beriman dan beramal soleh adalah benar seperti diberikan kepada khalifah terdahulu. Cuma rakyat yang dipimpin oleh khulafa’ adalah mereka yang benar-benar menyembah Allah, beriman dan bertakwa yang menjadikan pemimpin mereka tidak sukar menjalankan tanggungjawab dan amanah.
No comments:
Post a Comment