Salam semanis ukhwah

Friday, March 4, 2011

CONTOHI KETOKOHAN SYIFA` MENINGKATKAN MARTABAT WANITA

ISLAM datang membawa sinar baru buat wanita dan menghapuskan amalan jahiliah yang diamalkan sebelum itu. Sebelum Islam, masyarakat Arab memandang hina dan rendah terhadap peranan wanita.

Dalam Islam, kedudukan seseorang sama ada lelaki mahupun wanita tidak dipandang kepada status jantina atau keturunannya. Sebaliknya Allah menilainya dari perspektif takwa dan kekuatan iman. Inilah yang dididik oleh Nabi SAW ke atas umatnya.
Kekukuhan takwa dan iman akan melonjakkan kekuatan dalaman seseorang mukmin yang akan membawanya ke arah kehidupan dunia yang sejahtera. Segala tumpuan dan perhatiannya ditujukan kepada usaha meningkatkan seruan jihad di jalan Allah dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar dengan penuh komitmen.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Hasil pentarbiahan Rasulullah SAW, umat Islam terdahulu termasuklah wanita bersemangat untuk membuat kebajikan. Masing-masing tidak mahu ketinggalan dalam aspek ini dan sentiasa berlumba-lumba melakukannya dengan ikhlas mengharapkan pahala di sisi Allah.

Kemantapan ukhuwah sangat erat berpadu dengan kehidupan bersosial yang saling membantu tanpa mengira kedudukan dan taraf. Kaum wanita pada zaman itu juga memberikan khidmat masyarakat dan khidmat untuk negara khususnya dalam hal ehwal kejururawatan.

Mereka ternyata amat menghayati pesanan Allah dalam firman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 7)

Kita sebagai makhluk sosial yang memiliki kewajipan bersama seharusnya sentiasa mengambil tahu akan keadaan nasib mukmin lain. Keadaan saling mengambil berat sesama umat akan memantapkan kekayaan persaudaraan dalam kalangan ummah.
Berikut diriwayatkan satu kisah membabitkan seorang tokoh wanita hebat sekali gus boleh diangkat sebagai ‘Muhajir Ideal’. Keupayaan wanita melakukan kerja amal bakti dalam Islam wajar kita teliti buat diteladani.

Tokoh dimaksudkan ialah Syifa’ binti Abdullah bin Syams bin Khalafal-Qurasyiyah. Beliau memeluk Islam sebelum peristiwa hijrah lagi dan bersama kaum Muhajirin lain berhijrah ke Madinah dalam kelompok pertama.

Rasulullah SAW sangat menghormati wanita ini sehingga Baginda sering mengunjungi rumahnya. Diceritakan, suatu hari, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Syifa’, ajarkanlah kepada Hafshah menjampi (mengubati dengan doa) penyakit bisul seperti mana engkau mengajarnya menulis.”

Sikap prihatin Rasulullah SAW kepada Syifa’ sehingga dikatakan Baginda telah menyediakan sebuah rumah khusus untuk dia tinggal bersama anaknya.

Syifa’ seorang wanita yang mempunyai kewibawaan unggul, berfikiran cerdas dan berintegriti. Umar al-Khattab juga sangat menghormatinya dan sentiasa mengutamakan buah fikirannya dalam pelbagai bidang.

Umar dikatakan pernah menyerahkan tanggungjawab mengelolakan urusan pasar kepada Syifa’. Selain itu, Syifa’ juga seorang perawi hadis malah dia meriwayatkan hadis terus daripada Rasulullah SAW sendiri.

Selain itu, ada juga hadis diambilnya daripada Umar al-Khattab. Seseorang yang rajin menekuni sejarah hadis, pasti akan berjumpa dengan banyak hadis diriwayatkannya. Imam Abu Daud adalah orang yang banyak mengambil hadis direkodkan oleh Syifa’ yang mahir dalam penulisan sejak zaman jahiliah lagi.

Kemudian, selepas memeluk Islam beliau menjadi seorang guru mengajar membaca dan menulis kepada kaum Muslimin. Antara pernah mendapat didikannya menulis itu ialah Ummul al-Mukminin Hafshah.

Beliau pernah bertanya Rasulullah mengenai amalan yang paling utama, lalu Baginda mengatakan: “Beriman kepada Allah dengan sepenuh hati, berjihad di jalan Allah, dan haji yang mabrur.” Inilah salah satu hadis diriwayatkan dan direkodkan dalam Kitab Al-Ishabah dan Kitab Al-Musnad.

Begitulah hebat dan unggul seorang tokoh wanita Muslim yang pernah diangkat martabatnya oleh Rasulullah SAW dan dilimpahi kurniaan sebagai seorang yang mahir dalam bidang perawatan juga akademik iaitu penulisan.

Dia guru pertama yang mengajar umat Islam menulis dan ini membuktikan kaum wanita mempunyai peranan besar terhadap bangsa, negara dan agama seperti dibuktikan oleh Syifa’.

Inilah satu contoh bagaimana umat Islam pada zaman Rasulullah termasuk golongan wanita bersama memainkan peranan dan bertanggungjawab melakukan kerja amal bakti dalam menegak syiar agama serta mengukuhkan kesepaduan ukhuwah.

Kisah itu juga membongkar satu usaha komitmen jitu golongan wanita yang ingin membantu Nabi SAW serta berusaha mewujudkan kehidupan sosial yang dinamik khasnya dalam bidang pendidikan dan perubatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...