Salam semanis ukhwah

Friday, March 11, 2011

PENDEKATAN WASATIYAH BINA JATI DIRI UMMAH

Masyarakat perlu utamakan kesederhanaan dalam hidup sejajar tuntutan agama Islam

PENDEKATAN wasatiyah dari segi istilah sebagai suatu pendekatan pembangunan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh berdasarkan ajaran Islam diamalkan secara sederhana serta berimbang bagi melahirkan individu dan masyarakat cemerlang.
Istilah ‘wasatiyah’ diperkenalkan untuk membezakan dengan konsep pendekatan Islam lain seperti pendekatan ‘ifrat’ iaitu pendekatan kaku dan ekstrem. Begitu juga pendekatan ‘tafrit’ iaitu pendekatan longgar dan terlalu liberal.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Oleh itu ‘wasatiyah’ atau pertengahan adalah baik dan sangat digalakkan Islam kerana melakukan perbuatan lebih daripada sepatutnya adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari sepatutnya dianggap suatu kecuaian.

Justeru, orang Islam tidak boleh kaku dan ekstrem, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa ikatan dan sempadan. Umat Islam disebut sebagai ummatan wasata atau umat pertengahan. Islam mengajar umatnya supaya berimbang dalam segala hal, tidak berlebihan dan tidak berkurangan.

Potensi berimbang (tawazun) dalam Islam boleh dikategorikan dalam tiga perkara iaitu keperluan fizikal/jasmani (jasadiyah); spiritual/keruhanian (ruhiyah) dan akal/minda (aqliyah).

Dari segi jasmani, mukmin yang kuat dan sihat lebih disukai Allah SWT daripada mukmin yang lemah. Oleh itu, tubuh badan ada hak yang perlu dipenuhi seperti makanan berzat, minuman berkhasiat, beristirahat, keperluan biologi dan perkara lain yang boleh menjadikan jasmani kuat.
Aspek spiritual, hati manusia juga harus diisi keimanan kepada Allah SWT, zikrullah dan kebaikan lain. Ketenangan spiritual akan melahirkan ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan rahmat (rahmah).

Seterusnya, akal adalah anugerah Ilahi kepada manusia yang membezakannya dengan haiwan. Akal menjadikan manusia lebih mulia dari makhluk lain. Keperluan akal adalah ilmu untuk kehidupan manusia. Inilah konsep berimbang yang ada dalam Islam.

Ramai pemikir Islam berpendapat antara punca kemunduran umat Islam ialah salah faham terhadap ajaran Islam. Bukan ajaran Islam itu yang salah, tetapi cara mereka memahami ajaran Islam itu yang salah.

Antara fenomena dapat dilihat ialah tidak ada keseimbangan dalam cara berfikir dan bertindak sehingga terdedah kepada ifrat, ghuluw, terlalu kaku, ekstrem atau sebaliknya sangat longgar, cuai dan mempermudah.

Kesederhanaan dan keseimbangan adalah satu pendekatan yang diamalkan oleh generasi awal Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Mereka mencipta sejarah dan membina tamadun hebat serta membawa kecemerlangan kepada umat Islam.

Apabila ciri-ciri kesederhanaan dan keseimbangan hilang, maka umat Islam terdedah kepada penambahan atau pengurangan yang akan menjadi salah satu punca utama berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam.

Jika umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri bagaimana mereka akan maju ke hadapan. Begitu juga, jika mereka bermusuhan sesama sendiri, maka setiap golongan akan fanatik dan taksub kepada ajaran serta pegangan masing-masing.

Keadaan akan menjadi bertambah rumit apabila ada orang mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan membawa ajaran salah dan sesat supaya mereka menjadi pemimpin kepada sesuatu golongan atau pertubuhan.

Kecemerlangan masyarakat Madinah yang diperkenalkan Rasulullah SAW dan sahabat diakui Allah seperti disebut dalam firman yang bermaksud: “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (kerana kamu menyuruh berbuat) makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Dalam surah al-Baqarah, ada menjelaskan umat cemerlang adalah umat pertengahan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan demikian pula kami menjadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan supaya Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Ulama tafsir menjelaskan, umat pertengahan ialah umat yang adil, tidak berat sebelah baik di dunia mahupun di akhirat, tetapi seimbang antara kedua-duanya.

Firman Allah dalam al-Quran juga menggesa umat Islam supaya jangan melampau dalam melakukan untuk akhirat dengan mengabaikan urusan dunia. Selain itu, Islam juga mengharuskan umatnya menggunakan kemewahan dunia dengan niat baik dalam batas yang dibenarkan.

Mengambil iktibar daripada ayat diturunkan, maka dapat ditegaskan bahawa wasatiyah adalah pendekatan bersifat komprehensif dan bersepadu yang mampu menyelesaikan tuntutan, permasalahan ummah serta memelihara perpaduan masyarakat.

Wasatiyah seharusnya menjadi amalan dalam segenap bidang kehidupan dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada dari segi pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi, kewangan, perpaduan, kenegaraan dan pertahanan.

Oleh itu, pendekatan wasatiyah perlu dikembangkan dalam sesebuah negara bagi membina masyarakat maju dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...