Salam semanis ukhwah

Saturday, October 13, 2012

Hanya Mampu berserah kepada Mu Ya Allah S.W.T.

Assalamulaikum, seringkali manusia lalai akan tujuan kejadian kehidupannya. Kita suka akan sesuatu kejayaan tapi pada siapa kita bersyukur? bila kita berjaya kita lupa padaNya. Bila kita dalam kesusahan terus kita meminta dan berdoa kepadaNya. Jika difikirkan kita seharusnya berasa malu akan diri kita sendiri, ukurlah sekarang..sejauh mana iman yang terbina dalam diri kita ini.

Adakah kita banyak meluangkan masa kepada aktiviti seperti mengaji Al-Quran, bersolat sunat, berzikir dan memunasabah diri kita terhadap pendekatan diri kita dengan agama Allah S.W.T. Atau kita banyak meluangkan masa dengan aktiviti membeli belah, bermain video game, melepak dengan rakan-rakan melakukan aktiviti yang tidak membawa sebarang faedah, menonton video, pergi cinema, dan sebagainya perkara yang membuat kita lalai terhadap agama kita. fikirkan lah sahabatku..?

Mari kita melihat sebanyak manakah orang islam yang menghadiri masjid, seramai manakah jemaah yang menunaikan solat bersama, sebanyak manakah orang islam yang memelihara solat 5 waktunya dengan baik, sebanyak manakah orang yang membaca Al-Quran sambil memahami maksud isi sesuatu ayat tersebut, sebanyak manakah orang yang berlumba-lumba mengejakan solat-solat sunat, dan bangun diwaktu malam semata-mata untuk meminta sesuatu pada Allah S.W.T.

Mungkin ada diantara kita langsung tidak mengendahkan lagi agamanya kerana terpengaruh lebih akan keseronokan dunia seperti alam pekerjaan, assignment, kerja sekolah, exam, sukan dan permainan serta sebagainya yang mampu memberi keseronokan kepada jiwa dan nafsu mereka. tidak salah seandai nya kita melakukan perkara tersebut tetapi dapatkah kita memasukan ruangan agama terhadap aktiviti tersebut. Ada diantara kita lebih mementingkan kerja mereka sehingga meninggalkan waktu solat wajib kerana taksub untuk menyiapkan kerja tersebut tepat pada waktunya.

kita lupa bahawa kita pernah berjanji pada Allah S.W.T. ketika kita berada di Luh Mahfuz dulu. bila kita berada didunia sekarang ? kita lupa pada janji kita. wahai sahabatku, adalah masih belum terlambat untuk kita bertaubat. jangan kita menyesal kelak dengan kelakuan kita yang sekarang ini. perkara utama yang perlu kita jaga adalah solat. maka peliharalah solat 5 waktu itu dengan baik dan sertakan lah niat yang kuat untuk memeliharanya. Amalkan lah zikir-zikir dan kalimahNya kerana itulah senjata bagi orang islam untuk berjaya dengan keredaan daripadaNya. Jangan mengalah jika kita tidak berjaya kerana itu mungkin ujian daripada Allah S.W.T sebelum melihat kita berjaya. Binalah semangat keislaman yang kuat dalam diri kita ini.

Wahai sahabatku, daku memohon maaf andai terkasar bahasa kerana daku bukanlah seorang manusia yang sempurna. mungkin diriku ini lebih teruk daripada kalian semua. moga apa yang dikongsikan ini dapat kita muhasabah diri bersama. terapkan ciri-ciri kehidupan islam dalam diri kita ini. syukran kerana sudi melawat blog ana. Assalamualaikum.

Friday, August 3, 2012

Penuhi Ramadhan Dengan Membaca Kitab suci Al-Quran Nur Qareem


Masa berlalu begitu pantas. Kini kita telah selesai melalui 10 hari fasa pertama Ramadan. Seterusnya kita akan melalui dua fasa lagi yang berbaki. Ramadan datang sebagai hadiah istimewa daripada Allah SWT buat hambaNya yang menginginkan perubahan dalam hidupnya.

Sejujurnya sering kali kita berasa terkilan apabila bercakap mengenai penambahbaikan diri terutama dalam soal melaksanakan amal ibadah. Pencapaian kita sentiasa berada di takuk lama dan tidak berubah untuk hari-hari mendatang.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang hari ini lebih baik dari hari semalam, dia orang yang beruntung. Sesiapa yang hari ini sama saja dengan semalam, dia orang yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam, dia orang yang zalim.”

Setiap individu Muslim perlu bermuhasabah terutama terhadap perkara besar dalam hidupnya bagi mengenal pasti kelemahan dan membuat penambahbaikan untuk lebih berjaya pada masa depan.

Justeru, di saat Allah SWT menganugerahkan kehadiran Ramadan sekali lagi dalam hidup, kita perlu bermuhasabah prestasi sepanjang Ramadan sebelum ini. Dengan muhasabah juga, seseorang akan lebih bijak mengolah agenda harian untuk memastikan Ramadan kali ini lebih baik dari tahun lepas.

Perkara utama yang perlu dimuhasabah adalah sejauh mana kita konsisten melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan yang mulia ini. Umpamanya, sekerap mana kita membaca al-Quran kerana kelebihan membaca al-Quran pada Ramadan amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, daripada Aishah katanya: “Aku tidak pernah mengetahui bahawa Rasulullah SAW membaca al-Quran semuanya pada satu malam dan berqiam semalaman sampai ke waktu pagi dan berpuasa sebulan genap selain pada Ramadan.” (Riwayat Nasaie’)

Sebagai umat Baginda, marilah kita memperbanyakkan membaca al-Quran sepanjang Ramadan dan sebaik-baik masa membaca al-Quran ialah pada waktu malam. Kita juga digalakkan banyak membaca al-Quran dan khatam dalam masa sesingkat mungkin.

Kita yang mempunyai iman tahap orang awam perlu merancang supaya sepanjang Ramadan dapat khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali. Maka beruntunglah bagi individu membaca dan beramal dengan al-Quran kerana mereka akan memperoleh syafaat.

Daripada Abdullah bin Amru bin ‘As, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran menjadi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa: Wahai Tuhanku! Aku menahannya tidur pada waktu malam maka (izinkanlah) aku memberi syafaat kepadanya dan berkata al-Quran: Wahai Tuhanku! Aku menahannya tidur pada waktu malam, (izinkanlah) memberi syafaat kepadanya. Sabda Rasulullah SAW: Lalu keduanya itu diberi izin Allah supaya memberi syafaat kepadanya.” (Riwayat Ahmad)

Seterusnya satu amalan yang sering dilakukan Baginda Rasulullah SAW ialah membaca al-Quran secara bertadarus. Baginda SAW membaca al-Quran secara bertadarus dengan Jibril.

Daripada Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan lalu bertadarus al-Quran dengan Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Hurairah, katanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berharap untuk menemui Allah SWT, maka hendaklah memuliakan ahli Allah. Maka disoal lagi: Wahai Rasulullah, adakah Allah mempunyai ahli? Jawab Rasulullah SAW: Ya.


Soal lagi: Siapa mereka itu? Jawab Rasulullah SAW: Ahli Allah di dunia ialah mereka yang selalu tadarus dan membaca al-Quran, adakah tidak ada orang yang menerima kemuliaan itu dimuliakan oleh Allah dan dimasukkan ke syurga, sebaliknya mereka yang dihina, maka sesungguhnya Allah akan menghina lalu dimasukkan ke neraka.

Wahai Abu Hurairah, tiadalah di sisi Allah seorang yang dimuliakan daripada orang yang bertadarus dan membaca al-Quran, tidak ada seorang itu membawa dan membaca di sisi Allah dimuliakan daripada salah seorang kamu kecuali para Nabi.”

Marilah kita mengisi masa sepanjang Ramadan mulia ini dengan amalan bermanfaat terutama membaca dan bertadarus al-Quran. Janganlah kita hanya berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga saja tanpa pengisian bermanfaat.

Abdullah bin Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang tidak ada sebahagian pun al-Quran dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggalkan (rumah kosong).”

Dugaan (DILEMA)


ASSALAMUALAIKUM,

MARHABAN YA RAMADHAN

Walaupun mengalami kesulitan dalam memperbaharui entry, saya masih berharap tidak terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut bulan yang barakah ini. yakni, bulan Ramadhan Al-Mubarak.

ya, banyak kesulitan dan juga dugaan yang dialami oleh diri saya di dalam bulan yang istimewa bagi semua umat yang beragama islam. Namun begitu, saya amat berharap agar Allah s.w.t. memberi saya petunjuk dan hidayah-Nya kepada diri saya. Apa yang begitu diharapkan adalah ketabahan yang kuat perlu ditanam di dalam diri saya sekarang ini.

seharusnya, musibah yang menimpa diri ini ada hikmahnya, insyallah. Diharap semua rakan taulan saya boleh memahaminya. Kadang-kala rasa amat menyesakan dan seolah-olah pergerakan masa itu terhenti begitu lama dan menyakiti diri ini tanpa henti.

Dengan ditambah masalah hati yang telah pun terkubur dan kadang-kala masih lagi membawa kesan parut yang mendalam. semoga insan tersebut senantiasa sehat. kesal dengan apa yang telah berlaku dan saya akan cuba memperbaiki diri saya yang lemah ini. My apologize. yup, semua manusia banyak melakukan kesilapan tetapi mereka masih berpeluang membaiki kesilapan itu. saya seorang yang tidak sempurna ~~

Taktala demikian, diri ini begitu sukar untuk berhadapan dengan orang yang dikenali kerana kepahitan ini sering kali mengores apabila menyapa mereka. Bukan bermaksud diriku ini sombong tetapi daku ingin mendapatkan kembali kekuatan untuk berhadapan dengan anda semua. Saya mohon anda semua janganlah buruk sangka terhadap saya. Jika ada kesilapan saya menyusun sepuluh jari ingin memohon maaf kepada anda semua.

Namun, saya masih lagi tercari-cari sumber kekuatan diri yang sebenar iaitu hanya Allah yang mengetahuiNya. Aku lemah Ya Allah tanpa pertolongan Mu, dan daku memohon agar ujian yang kulalui ini kian ada penyudahnya. Hari demi hari masa terus berlalu tanpa ada sesuatu hasrat yang tercapai, adakah ini penyudahnya dengan segala yang diriku lakukan,,,,,YA ALLAH :'(


Akhir kata, Mohon maaf kepada Para pembaca kerana entry ini tidak memberi sebarang faedah kepada kalian semua. entry ini hanyalah sekadar keperibadian yang menyeksa diri ini yang tidak mampu lagi dipendam. Kepada insan tersebut daku memohon maaf. IYI

Sunday, July 15, 2012

Tahukah kita Hobi Nabi Kesayangan Kita?

Kebanyakkan Masyarakat Islam apabila ditanyakan perkara mengenai peribadi Baginda Nabi Muhammad SAW tidak pernah diambil tahu. Tetapi mengatakan diri mereka mengikut apa yang diajarkan Baginda Nabi Muhammad SAW. Berlainan pula jika soalan yang ditujukan seperti soalan mengenai peribadi penyanyi-penyanyi terkenal, selebriti-selebriti tanah air, pemain-pemain bola sepak dan juga hiburan-hiburan semasa. Pantas sahaja mereka memberi jawapannya. 


Tidak salah untuk sekadar pengetahuan, tetapi adalah lebih baik jika kita benar-benar mengetahui semua peribadi mengenai baginda Nabi kita. Kemuadian barulah perkara-perkara sedemikian...fikir-fikirkanlah sahabat...




 Ketahuilah bahawa solat itu adalah Hobi Nabi junjungan Kita iaitu Nabi Muhammad SAW.


Junjungan besar Nabi Muhammad SAW menjadikan solat fardhu sebagai hobi. Taktala baginda keletihan, baginda bersolat untuk menghilangkan keletihan tersebut. Bukan sahaja dalam keadaan keletihan, malahan sibuk dengan belbagai urusan baginda masih lagi mengutamakan solat, wahai sahabat-sahabatku bahawasanya Solat fardhu itu merupakan tiang agama.


Maka, pada sesiapa yang tidak melakukan solat fardhu, ia seolah-olah telah merobohkan agama. Dan dia adalah penjenayah, melakukan jenayah kepada Allah SWT. Sedangkan apabila kita di padang Mahsyar,perkara utama yang dihitung adalah solat fardhu. Maka, sesiapa yang tidak melakukan solat fardhu, nescaya, masuklah mereka ke dalam api neraka.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga suka melakukan solat sunat Tasbih. Fadhilat solat sunat Tasbih ialah pada sesiapa yang melakukan solat sunat ini,dosa mereka diampunkan. Mereka seolah-olah seorang bayi yang baru dilahirkan.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak akan tidur selagi baginda tidak melakukan solat sunat Witir.Solat sunat Witir adalah solat sunat penutup.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW amat menyukai solat kerana solat terbahagi kepada tiga,iaitu :
- aspek perbuatan

- aspek percakapan
- aspek dalaman(hati)

Marilah kita menjadikan solat sebagai hobi kita. Ikuti sunnah Nabi Muhammad SAW, nescaya, kamu akan berjaya dunia dan akhirat dan ketahuilah setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya bagi hamba Allah yang mengikuti perintahNya. Insyallah, yang baik itu datang dari Allah s.w.t. dan yang lemah itu datang dari diri saya sendiri wahai sahabat. 



Mudah-mudahan kita sentiasa berada dijalan yang lurus dan Doa ini akan sentiasa tersemat di dalam setiap Solat Kita.

Sunday, June 24, 2012

Salam Syaaban

Selamat menyambut bulan Syaaban wahai saudara muslimku. Syukur Alhamdulillah, walau tidak bersemangat  kerana ujian yang diberikan oleh Maha Pencipta, daku bersyukur kerana Mengingatkan ku kembali kepada Mu ya Allah s.w.t.

Ku mohor agar kesihatanku ini akan pulih dengan baik. Insyallah. Alhamdulillah juga, kerana dapat mengucapkan salam Syaaban kepada saudara muslimku ini. Ketahuilah bahawa bulan Syaaban itu adalah bulan Nabi Kesayangan Kita Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan kita boleh tingkatkan semangat kita untuk menanti bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak.





Ya Ramadhan Al-Mubarak, bimbinglah jiwaku yang kotor ini suapaya dapat dibersihkan kembali.

p/s: Berharap kesihatanku ini akan pulih seperti sedia kala.

Insyallah

Thursday, June 14, 2012

Musibah membawa kita dekat dengan Pencipta

Dewasa kini, masyarakat dikejutkan oleh media massa dengan berita-berita tentang kejadian bencana alam yang sangat menakutkan dan menyedihkan seperti gempa bumi, banjir besar, taufan, tsunami, tanah runtuh dan banyak lagi. Bencana yang berlaku telah mengorbankan banyak nyawa tanpa mengira identiti mereka.
 



Ia memberi impak yang sangat besar sama ada kepada individu seperti kejadian tanah runtuh yang berlaku pada tahun 2011 di Rumah Anak Yatim At-Takwa, Hulu Langat atau atau kepada sesebuah negara seperti tsunami besar yang berlaku di Jepun. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada ahli keluarga ataupun pada pembangunan ekonomi negara.
 

Para kaji cuaca berusaha gigih bagi membantu mengkaji dan menyelidik tentang kemungkinan beberapa bencana alam yang dapat dikenalpasti bakal berlaku agar persiapan awal berpindah ke tempat yang lebih selamat dapat dilakukan. Ini dapat mengurangkan risikonya kehilangan banyak nyawa walaupun dari segi harta benda secara jelas tidak dapat diselamatkan.
 

Namun, sedarkah kita bahawa hakikat sebenarnya bencana alam yang berlaku di dunia ini adalah berpunca dari diri manusia itu sendiri. Kerosakan di atas muka bumi ini dilakukan sewenang-wenangnya tanpa berfikir akan kesan yang bakal diterima dari aktiviti yang  mereka lakukan.
 

Firman Allah dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali insaf.”
 

Sebagai contoh, sampah sarap yang di buang merata-rata akan menyebabkan banjir kerana sampah tersebut telah tersekat di kawasan aliran air dan air hujan yang turun tidak dapat dialirkan ke sungai-sungai berdekatan.  Pokok dan tumbuhan hijau yang ditebang secara haram telah menyebabkan hakisan tanah atau tanah runtuh.
 

Seperti yang kita sedia maklum, dunia dan juga seisinya merupakan nikmat dari Allah  yang disediakan kepada hambanya untuk hidup menjadi khalifah Allah di bumi. Selaku hamba yang serba kekurangan dan kelemahan, kita hendaklah menghargai setiap nikmat yang telah diberikan kepada kita sebaik mungkin sebagai satu tanda penghargaan atas pemberian tersebut.
 

Jika sebelum ini punca kepada berlakunya bencana adalah bermula dari manusia, maka kesannya juga akan terpalit kepada manusia itu kembali. Kesan yang diterima dapat dikategorikan kepada dua iaitu kesan dari sudut positif dan kesan dari sudut negatif.
 

Bencana alam yang diturunkan jika dipandang dari sudut positif sebenarnya memberi peluang untuk kita semakin mendekatkan diri kepada Allah. Kembali bermuhasabah atas kerosakan yang pernah dilakukan di atas muka bumi ini sama ada secara sedar atau tidak.
 

Kita memohon perlindungan Allah agar dijauhkan lagi apa jua bencana dari terus berlaku kerana ia membawa kepada kemusnahan yang teruk. Pengharapan yang tinggi diletakkan pada Allah agar menghindari diri serta ahli keluarga dari menjadi mangsa kepada bencana alam dan secara tidak langsung, kita sebenarnya telah menghampirkan diri kita sejengkal pada Allah.
 

Jika bencana alam dilihat dari sudut negatif, ia merupakan hasil dari kerja tangan manusia dalam mengubah sesuatu yang telah Allah ciptakan mengikut aturannya tersendiri. Manusia hanya mampu merancang untuk mengubah namun perancangan yang tidak jelas dan tidak terperinci akan bertukar menjadi musibah.
 

Musibah yang berlaku bakal merosakkan keharmonian negara yang telah terbina di dalam satu kelompok yang besar. Membina keharmonian tidak hanya tergalas di bahu pemimpin negara tetapi juga merupakan tanggungjawab rakyat dalam merealisasikannya agar kebahagian dapat dikecapi dan dirasai bersama.
 

Sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan”.


Jelaslah di sini bahawa memelihara keharmonian negara dengan menghindari bencana menjadi tanggungjawab semua kerana ia menjurus kepada kebaikan yang bakal dikongsikan bersama.
 

Maka, dapatlah disimpulkan di sini bahawa bencana alam yang berlaku tidak pernah menjadi impian pada mana-mana individu. Namun, sesekali ia ‘menjengah’ mampu membawa kita untuk kembali lebih dekat dengan Pencipta yakni Allah s.w.t. Muhasabah diri dan pengampunan yang dituntut menunjukkan bahawa kita adalah hamba yang lemah, yang terkadang melakukan kesilapan tanpa sedar.
 

Semoga kita tergolong dalam hamba Allah yang sentiasa terbimbing akidah walaupun diuji dengan dugaan yang berat seperti bencana alam.

Tanamkan Sifat Jujur Dalam Kehidupan


Sejak kecil kita telah dididik oleh ibu bapa kita supaya sentiasa jujur dalam setiap perbuatan kita. Hal ini kerana kejujuran merupakan tangga teratas daripada keseluruhan amalan hati dan akan memimpin kita kearah kebaikan. 

                                                                                



Selain itu, kejujuran dan keimanan harus  berjalan seiring. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.


Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “ Hendaklah kalian bersikap jujur kerana kebenaran dan kejujuran itu bakal memimpin seseorang ke arah kebaikan. Kebaikan itu pula akan menyampaikan seseorang itu ke syurga. 


Seseorang itu sentiasa tetap degan kebenaran dan perilaku yang benar serta berusaha mencarinya sehingga ditulis di sisi Allah s.w.t sebagai orang yang suka berlaku benar. (Riwayat al-Bukhari)


Allah s.w.t telah memerintahkan kepada semua hambanya supaya menanam sifat jujur di dalam diri masing-masing dengan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai “role model”. 


Seperti mana yang kita sedia maklum, para nabi dan rasul sentiasa berlaku jujur dan berkata benar sesuai dengan tugas mereka untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia.

Bersifat jujur kepada Allah dan rasul merupakan perkara yang paling utama untuk memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Jujur kepada Allah dan Rasul bermaksud mereka beriman kepada Allah dan Rasul dengan sebenar-benar iman.Segala amal kebajikan dan ibadah mereka adalah ikhlas kerana Allah Taala. Orang yang jujur kepada Allah dan rasul lazimnya berasa malu untuk meninggalkan perintah Allah serta melakukan kemungkaran.



Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Hendaklah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Dan ingatlah sekiranya kamu tidak melihatnya, Dia pasti melihat kamu.” (Riwayat Muslim)


Seterusnya, kita haruslah bersikap jujur kepada diri kita sendiri. Sama ada kita sedar atau tidak,  melaksanakan perintah Allah seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan sebagainya lebih mudah dilaksanakan berbanding bersikap jujur.

Kadangkala kita berasa amat sukar untuk mengakui kesalahan yang telah kita lakukan lebih-lebih lagi jika pengakuan tersebut akan mengakibatkan hukuman yang berat.


Kita juga sering mendengar orang di sekeliling kita berkata, manusia mungkin mampu membohongi orang lain,tetapi mereka tidak mampu untuk membohongi diri sendiri.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan semua anggota badan kita untuk berlaku jujur kecuali lidah. Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Oleh yang demikian kita haruslah mendidik lidah kita supaya sentiasa berkata benar.


Menurut Ustaz Muneer Mohamed Farid al-Hafiz yang merupakan seorang peguam yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah, ketika saksi menjawab pertanyaan peguam, jawapan tersebut bukan dinilai melalui percakapan semata-mata. Gerak-geri badan, tangan, kaki dan pandangan mata turut diambil kira. Kebiasaannya, saksi yang berbohong akan berasa kurang senang ketika menjawab soalan yang diajukan kepada mereka. 


Di mahkamah dunia, mungkin kita boleh bercakap bohong atau menghafal skrip jawapan untuk menegakkan benang yang basah menggunakan lidah. Namun, tidak semua jawapan akan “dipersetujui”  oleh anggota  badan kita yang lain. 


Tetapi di mahkamah Mahsyar kelak, bukan lidah kita yang akan menjawab segala persoalan yang diajukan. Bahkan semua anggota tangan dan kaki yang akan mengambil alih tugas menjawab semua soalan.


Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Maka pada hari ini kami tutupkan mulut mereka, dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberitahu kami kesalahan masing-masing, dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka usahakan.”


Kemudian, kita mesti bersikap jujur kepada orang lain. Kejujuran memainkan peranan yang amat besar dalam pembangunan umat dan kebahagiaan sesebuah masyarakat. Cuba anda bayangkan jika kita berhadapan dengan orang-orang yang tidak jujur, apabila melakukan urus niaga kita ditipu, apabila bejanji acap kali dimungkiri dan apabila diamanahkan dengan sesuatu pasti dikhianati.


Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada tiga tanda orang munafik; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diamanahkan dia mengkhianatinya.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim) Nauzubillah. Marilah kita sama-sama jauhi sifat orang munafik ini.


Tidak rugi jika bersikap jujur kerana orang yang jujur hatinya sentiasa tenang, mereka disenangi dan dipercayai oleh orang di sekeliling mereka dan yang paling penting kehidupan mereka dilimpahi rahmat serta keberkatan dari Allah s.w.t. Selain itu, darjat mereka tinggi di sisi Allah s.w.t. Manakala, orang yang sering berdusta hatinya sentiasa dihantui resah, gelisah dan bimbang sekiranya perkara sebenar terbongkar. 


Kelebihan orang yang jujur turut disebut dalam sebuah hadis Nabi s.a.w.,  maksudnya: “Tetap berpegang eratlah pada kejujuran walaupun kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada kejujuran, tetapi yakinlah bahawa dalam kejujuran itu terdapat keselamatan.

Jelas, kejujuran amat penting dalam kehidupan individu muslim. 


Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa bersikap jujur dan menjauhi dusta dan tidak amanah kerana ia merupakan sifat yang tercela dan hanya membawa kepada perpecahan. Marilah bersama kita menanam sifat jujur dalam diri kita. 


Hakikatnya, tidak susah untuk jujur jika kita mempunyai keberanian yang tinggi di dalam diri. 
Memang berlaku jujur itu amat pahit pada permulaan, namun ia mampu membuahkan kemanisan untuk selamanya. Maka dengan itu, berkata benarlah walaupun ia pahit.


Monday, June 11, 2012

Dua Syarat Utama Ibadat Diberkati

Buat kebajikan dengan ikhlas, tidak menyekutukan Tuhan.Boleh dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).


Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. - Al-Khahfi, ayat 110.


Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain. 


Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.


Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. 


Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).


Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir). 


Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah. 


Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. 


Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).


Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis. 


Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. 



Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.
Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.

Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

PERANGI HAWA NAFSU SATU PENGORBANAN

Peperangan menentang hawa nafsu adalah merupakan satu bentuk pengorbanan yang paling besar untuk membentuk jati diri sendiri dan kemaslahatan umat. Perangi hawa nafsu menuntut kesabaran yang tinggi dan ketaqwaan yang teguh dalam mendidik jiwa sentiasa beristiqamah melakukan kebaikan dan menjauhi segala bentuk kejahatan.




 Perkara ini jelas disebutkan di dalam ayat al-Quran, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’.


 Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah ayat 155-157) Perangi hawa nafsu adalah merupakan perjuangan yang paling besar. Ia adalah utama dari peperangan mempertahankan diri. Hal ini bersesuaian dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda pulang dari peperangan Badr, "Kita baru saja kembali dari jihad kecil menuju jihad yang besar.


Para sahabat bertanya, "Apa jihad besar itu?, Nabi SAW menjawab, "Jihaad al-qalbi (jihad hati). Setiap orang juga berpotensi memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari syaitan. Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu dan kelemahan manusia adalah berpunca daripada godaannya.


Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti kita akan menempuh kebinasaan. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam ayat al-Quran, “Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam, 59) Kehidupan adalah satu bentuk perjuangan melawan hawa nafsu.


Sesiapa yang mampu melawan hawa nafsu, maka Allah akan memberikannya kemenangan dan dipermudahkan segala urusan. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah S.W.T. Abu Hamid Imam al- Ghazali menyebut terdapat tiga bentuk perlawanan manusia terhadap hawa nafsu, iaitu Nafs al-Muthmainnah, Nafs al-Lawwamah, dan Nafs al-Ammarah al-Suu’.


 Nafs al-Muthmainnah merupakan nafsu yang tenang yang mana ketika iman menang melawan hawa nafsu, sehingga perbuatan manusia tersebut lebih banyak yang baik daripada yang buruk. Dengan kata lain mereka yang mampu menguasai terhadap hawa nafsunya.


 Manakala Nafs al-Lawwamah ialah nafsu yang gelisah dan menyesali dirinya sendiri. Keadaannya adalah ketika iman kadangkala menang dan kadangkala kalah melawan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut perbuatan baiknya relatif seimbang dengan perbuatan buruknya. Mereka yang sentiasa dalam bertarik tali melawan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah. inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: ”Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.


 Nafsu yang ketiga adalah Nafs al-Ammaarah al-Suu’ iaitu nafsu yang mengajak kepada keburukan. Keadaanya adalah Ketika iman kalah dibandingkan dengan hawa nafsu, sehingga manusia tersebut lebih banyak berbuat yang buruk daripada yang baik. Mereka inilah yang hawa nafsu sepenuhnya telah dikuasai dan tidak dapat melawannya sama sekali.


 Namun, dewasa ini, seringkali kita mendengar berita-berita tentang gejala sosial. Penyakit ini sebenarnya telah menular dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kes dilaporkan setiap hari mengenai jenayah yang dilakukan, antaranya kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, samun, rogol, bunuh dan pelbagai kes yang melibatkan undang-undang negara. Namun persoalannya, mengapa kes seperti ini semakin menjadi-jadi?


Sudah tentu masyarakat terbiasa menjadikan hawa nafsu sebagai satu ikutan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh diri mereka sendiri. Perkara ini dinyatakan oleh sebahagian orang bijak "Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya." [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]


 Kehidupan yang berlandaskan syariat mampu menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Perangi hawa nafsu mampu memberi jaminan kebahagiaan kehidupan. Jaminan kebahagiaan ini adalah ditentukan oleh diri sendiri kerana diri sendiri berhak memilih jalan yang harus ditempuh.


 Jika jalan yang diambil adalah jalan kebahagiaan di akhirat, maka sudah pasti kebahagiaan dunia akan dapat dikecapi oleh setiap individu muslim. Perkara ini disebut oleh Allah s,w,t di dalam ayat al-Quran, “Barang siapa beramal soleh sama ada lelaki dan wania sedang dia mukmin, maka Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik (bahagia) dan Kami akan tunaikan kepada mereka dengan ganjaran mereka yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.”(An-Nahl: 97)


 Cerminan hati juga diukur dari sudut ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Hati dilahirkan fitrah dan suci serta menjadi kewajipan kepada hamba-hambaNya mengisi kekosongan hati dengan beribadah kepadanya. Pengisian jiwa dengan syariat Islam serta keindahan akhlak Islam mampu mendidik hati melawan diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang ditegah oleh Allah s.w.t. Setiap muslim harus melaksanakan tuntutan-tuntan Allah s.w.t..


 Kewajipan ini dinyatakan oleh Allah Taala dalam surah al-Imran ayat 104, “Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” Istiqamah dalam melakukan amalan-amalan kebaikan mampu menghindarkan diri daripada terjerumus ke dalam kancah kebinasaan.


Diri mampu terdidik dengan kebiasaan melakukan kebaikan dan merasa akan sentiasa perlu menjaga hati daripada segala bentuk kemaksiatan. Istiqamah dalam penjagaan diri dan hati perlu diselaraskan dengan panduan pegangan agama agar kehidupan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah. Di dalam surah Hud ayat 12, Allah s.w.t berfirman, “Maka beristiqamahlah kamu sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”


 Kesimpulannya, peperangan melawan hawa nafsu merupakan peperangan yang paling utama kerana ia melibatkan penjagaan hati, diri dan iman. Setiap Muslim berkewajipan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dengan menjaga anugerah diri dan hati sebaik mungkin. Dengan memerangi hawa nafsu, kehidupan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah. Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Mereka bersukacita (bergirang hati) kerana memperoleh nikmat dan kurnia dari Allah. Dan (kerana) sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan ganjaran orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran: 171)

Saturday, June 9, 2012

sana helwa

SANA HELWA. I am will always in a distance. Just because you are really special for this heart. And I will always be your protector.

Monday, May 21, 2012

Kegembiraan Yang bakal ditempuhi Adalah Kurniaan Illahi.

Assalamualaikum, Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih. sabaul khair ^_^ Gembira untuk hari esok, kerana bulan yang ditunggu-tunggu bakal tiba. Ya Allah bulan milikmu bakal tiba. Hamba yang daif ini ingin meningkat kan amal sebagai penyejuk hati di samping mengekang nafsu yang sentiasa mendorong manusia untuk melakukan dosa-dosa. Ya Allah daku mohon agar bimbinglah diriku untuk menjalankan amal ibadat kepadamu dengan baik. banyak sudah silap dan dosa yang telah hambamu lakukan sama ada dosa yang disedari mahupun tidak. sebagai hambanya sudah semestinya kita merebut peluang untuk mendekatkan hati kita dengan Allah s.w.t. Kerana Hati jualah tempat Allah menurunkan nur kepada Hambanya, yakni cahaya.
Oleh itu saya menyeru agar kawan-kawan yang saya amat hormati. marilah sama-sama kita berpuasa dan marilah kita meningkatkan amal ibadah kita pada Allah. #p/s: amat-amat ditujukan sangat pada diri ini sendiri ^_^

Tuesday, May 15, 2012

Make me strong, this is only test

Keep telling myself that this is a test, la tahzan ~ that there's a reason ALLAH has ordained things to turn out this way. Probably ALLAH is testing me if I am amongst the grateful. Probably ALLAH knows I can take it and this test will just make me stronger. I'd been holding it in. I didn't wanna shed a tear. But...sometime, i'm too weak.. hepls me Ya ALLAH ~ show me the way i should choose to be a better person, please wipes my tears.

Monday, April 9, 2012

mensyukuri nikmat dengan perbuatan bukan dengan percakapan


PADA zaman Saidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Kaabah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa beliau didengar Saidina Umar yang melakukan tawaf di Baitullah.


Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda itu. Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa, apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”


Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur.”


Pemuda itu menjelaskan, beliau memohon supaya Allah memasukkannya dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: “Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu.”


Syukur adalah pengakuan hati terhadap sesuatu ganjaran dan nikmat dianugerahkan Allah SWT. Syukur bukan hanya meliputi perkara nikmat, kita juga perlu bersyukur apabila terlepas daripada bala, malapetaka dan bencana.


Pelbagai nikmat dianugerahkan Allah SWT terhadap hamba-Nya. Keseluruhan nikmat dikurniakan perlu ada bukti yang memperlihatkan kesyukuran. Bukti mensyukuri nikmat harta adalah apabila seseorang hamba itu membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT.


Bukti mensyukuri nikmat kekuasaan diperoleh oleh pemimpin adalah menjadi pemimpin yang adil dan berusaha sekuat tenaga memberikan kesejahteraan kepada orang dipimpinnya. Bukti mensyukuri nikmat ilmu adalah mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.


Begitulah bukti mensyukuri nikmat yang lain dengan menggunakannya kepada jalan Allah SWT. Banyak pengajaran ditunjukkan oleh Allah mengenai mereka yang diazab kerana tidak mensyukuri nikmat-Nya.


Antaranya, Firaun ditenggelamkan bersama bala tenteranya kerana kufur terhadap nikmat kekuasaan. Qarun ditenggelamkan ke dalam perut bumi bersama harta bendanya kerana kufur terhadap nikmat harta. Hamman diseksa kerana kufur nikmat kecerdikan Allah SWT berikan.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat itu kepada kaum yang lain pula.” (Hadis riwayat at-Thabrani)


Berdasarkan peristiwa dirakamkan dalam al-Quran, ia membuktikan nikmat Allah SWT yang tidak disyukuri akan dimusnahkan mengikut kadar kekufurannya. Sesungguhnya sangat banyak nikmat yang Allah kurniakan tanpa kita sedari.


Allah menyatakan, jika kita cuba menghitung nikmat dikurniakan kepada kita, nescaya tidak dapat dihitung dan terhitung. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (Surah an-Nahl, ayat 18)


Mereka yang tidak bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah, sedikit atau banyak, mereka itu masih jauh dengan rahmat Allah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)


Bersyukur hendaklah diterjemahkan dalam seluruh amalan kehidupan seharian. Orang yang bersyukur pasti ibadahnya bertambah, seluruh hidupnya mengarah kepada tuntutan ibadah diperintahkan Allah SWT.


Kerap kali kita memikirkan sesuatu yang telah hilang sehingga lupa mensyukuri apa yang ada di depan. Kita merasa sedih kerana kekurangan material padahal kita masih memiliki kunci kebahagiaan.


Oleh itu, renungkanlah supaya kita sentiasa bersyukur dan janganlah kita termasuk golongan mereka yang ingkar. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka mengetahui bahawa semua nikmat yang ada berasal dari Allah, tetapi mereka mengingkarinya.” (Surah an-Nahl, ayat 83)


Justeru, sentiasalah bersyukur kepada Allah SWT tanpa bertangguh-tangguh. Jika kita menerima nikmat Allah keseluruhannya wajiblah kita menerima Islam keseluruhannya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang menghayati dan bersyukur dengan pemberian Allah SWT.

Sentiasa takut kebesaran Tuhan


FIRMAN Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman yang bila disebut Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat Allah kepadanya, maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakal kepada Tuhannya." (Surah Al-Anfal, ayat 2)


Ayat ini sudah terang lagi bersuluh buat renungan kita bersama, betapa besarnya kegerunan yang ada dalam diri orang beriman apabila dibacakan ayat Allah kepada mereka. Mukmin sebenar apabila disebut nama Allah gementar hatinya kerana takutkan kebesaran Allah.


Bertambah keimanan mereka apabila membaca ayat al-Quran dan mereka juga sentiasa bertawakal kepada Allah dengan segala daya upaya. Kemanisan melakukan ibadah seperti solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas terhadap Allah SWT.


Dosa kecil dilakukan bagi mereka seperti gunung besar menunggu masa dan tikanya untuk menghempap. Manakala bagi orang yang tidak beriman, mereka tiada gentar dan takut dengan azab Allah serta beranggapan dosa dilakukan seperti berlalunya seekor lalat menghinggapi pipi.


Begitu enteng sekali persoalan dosa pada pandangan mereka padahal dosa dilakukan mereka akan dihumbankan ke neraka Allah SWT. Berlainan pula dengan sikap orang beriman, mereka terlalu takut berbuat dosa kepada Allah walaupun kecil.


Firman Allah bermaksud: “Mereka (para penjual jiwa raga dan harta) adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, rukuk dan sujud, menyuruh melakukan makruf dan melarang melakukan kemungkaran dan memelihara hukum Allah, dan sampaikan berita gembira kepada orang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 112)


Allah SWT memuji hamba-Nya yang rela menjual jiwa dan raganya serta hartanya kepada Allah SWT dengan balasan syurga. Orang yang melakukan jualan dan mengadakan urus niaga ini ialah golongan manusia terpilih yang mempunyai sifat istimewa.
Antaranya, sifat berkaitan diri sendiri dalam hubungan secara langsung dengan Allah SWT.


Mereka ini disifatkan orang bertaubat dari dosanya, beribadat kepada tuhannya dalam kata-kata dan perbuatan. Allah SWT memberikan khabar gembira bagi orang mukmin kerana iman itu menjangkau semua sifat baik.


Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya,


– Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka mereka orang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang yang berhak mewarisi - Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun ayat 1-11)


Kesempurnaan iman seseorang itu akan mewariskan dia syurga Allah SWT yang tertinggi. Mendapat kedudukan mulia bukan saja di dunia tetapi di akhirat. Kehidupannya dimuliakan bukan saja makhluk dunia, malah dihormati di kalangan makhluk di langit.


Bahkan kematiannya diratapi makhluk dunia serta ditunggu- tunggu makhluk langit lantaran keimanannya itu membuatkan makhluk langit tidak sabar-sabar mahu melihat roh mulianya.

Friday, March 30, 2012

Manusia berhati syaitan merosakkan keamanan

DALAM menghadapi kehidupan serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat cahaya hidayah, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau berduri, sebaliknya kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah dipenuhi bunga berwarna warni.


Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana dipengaruhi musuh Allah SWT iaitu syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis adalah makhluk pertama berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.



Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: “Syaitan menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”



Menurut ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya.



Walaupun demikian sifat syaitan, masih ada manusia yang termakan pujukan syaitan dan meninggalkan syariat Allah SWT serta petunjuk Nabi.

Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan serta perbuatan keji. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia terjebak mengikut telunjuknya.



Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.



Saidina Ali ra berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halang kebenaran.”



Mereka yang dikuasai syaitan, sebenarnya hati mereka dikuasai kebatilan dan menyangka bahawa syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.



Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga berbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.



Sayidina Muadz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)



Bagi menghindari syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat suci al-Quran, mencegah diri daripada berbicara berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan syaitan seperti ketawa berlebihan, berjalan pada waktu senja dan terakhirnya yang mesti lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya syaitan.



Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang berhati syaitan. Apabila syaitan menguasai diri manusia, mereka tidak merasa takut melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusiaan.



Lihatlah apa yang berlaku pada masa kini seperti pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa yang bukan setakat dibunuh tetapi didera, diseksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang tua menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.



Kita juga menyaksikan bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya.



Perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya dikuasai syaitan laknatullah. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman ke atas makhluk Allah adalah perbuatan dipengaruhi syaitan.



Mereka yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana diburu rasa bersalah, bukan saja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri.



Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. Justeru, marilah kita kembali ke jalan benar dengan melakukan amal salih, menutup segala pintu syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar hakikat kehidupan ini.



Renungilah firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21 bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

Thursday, March 29, 2012

‘JARAK’


ANDAI HATI MERINDUKAN SESEORANG , PEJAMKANLAH MATA dan UCAPKANLAH :

Ya Allah Aku rindukannya keranaMu Ya Allah , Jauhkanlah diriku dari perkara yang membuatkan aku lupa kepadaMu . Aku semakin mengerti, ‘JARAK’ ini bukan untuk menghukumku, tetapi ‘JARAK’ ini untuk MENJAGA aku dan dia..

~ Dengan ‘JARAK’ ini aku dan dia berjanji untuk BERUBAH menjadi yang lebih baik..

~ Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk MEMPERBAIKI cinta kepada Ilahi..

~ Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk MENCINTAI Pencipta kami lebih dari segalanya..

~ Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk MENDALAMI Islam hingga ke akar umbi..

~ Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan LEBIH BERSEDIA untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai..


Terima kasih ya Allah kerana memberi PELUANG kepadaku melalui jalanMu ini, terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.

Monday, March 26, 2012

Dua kelompok ilmuwan corakkan tamadun Islam


Prinsip perjuangan berasaskan duniawi, fikrah al-haq


PROSES pertumbuhan keintelektualan akademik sudah lama berlaku iaitu sejak lahirnya tamadun Islam di Andalusia dan Cordova. Pada masa sama, berlakunya zaman kegelapan di dunia Eropah. Selepas itu berlakulah kebangkitan rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman Renaissance.


Sejarah ringkas itu membuktikan bahawa setiap daripada tamadun itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan keintelektualan akademiknya. Pada ketika itu, timbullah beberapa tokoh terkenal seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya. Kesan daripada pertumbuhan itu berjaya mencorak masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras perkembangan politik semasa.


Sejarah keintelektualan ini mempamerkan betapa politik memainkan peranan dalam mencorak pemikiran ilmuwan negara. Namun, dengan keteguhan hati ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Syafie, mempamerkan karektor kedudukan sebenar prinsip keilmuan. Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Keteguhan prinsip itu mencerminkan betapa pentingnya pemerintah menghormati idea dan pemikiran keintelektualan.



Selaras perkembangan itu, muncullah dua kelompok intelektual Islam iaitu:
Pertama, intelek duniawi iaitu ilmuwan yang hanya memerhatikan pandangan dunia sama ada secara zahir atau rohani. Tertegaknya keintelektualan mereka hanyalah dengan bantuan pihak berkuasa atau pun dengan bantuan pihak-pihak tertentu.



Mereka bertindak sebagai badan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemegang jawatan selaras misi dan visi golongan tertentu tanpa menghiraukan al-haq dan al-batil dalam merencanakan sesuatu keputusan. Jelas di sini pendirian mereka hanyalah sekadar bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai kedudukan golongan tertentu.



Kedua, intelek spiritualisme yang lahir hasil daripada pemahaman benar terhadap tuntutan menjaga dunia ini daripada kejahilan. Mereka sedar dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi. Namun, mereka bukannya seorang kontraktor yang mampu membina sebuah bangunan pencakar langit yang tersergam indah sebagai mercu kemakmuran negara, tetapi mereka adalah arkitek yang sentiasa berfikir untuk membina jiwa yang kosong daripada hidayah Tuhan.


Dalam memperjuangkan dunia intelek ini, mereka tidak hiraukan sesiapa pun untuk terus menyebarkan fikrah al-haqq (pemikiran kebenaran). Kemuliaan diri mereka tidak terbina hasil daripada pengaruh orang atasan, tetapi datangnya dari Allah SWT. Ia adalah hasil keteguhan perjuangan mereka.



Integriti dalam dunia akademik perlu terus dipertahankan. Ia selaras dengan prinsip untuk memastikan objektiviti yakni sikap tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan terus dilestarikan. Perjuangan keilmuan hanya berpaksikan kebenaran, amanah wajib dilaksanakan dan kebenaran harus dijulang, walaupun pahit terpaksa ditelan. Oleh itu, sirah Rasulullah SAW sudah merakamkan kejayaan Baginda bersama sahabat merentas benua demi benua menjulang panji kebenaran. Seperti kata Hukama, “kebenaran yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”.



Ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau pernah berkata: “Pegawai mana saja yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan ia pun tercela”. Inilah kepemimpinan yang menegakkan kebenaran dan kepemimpinan sebegini selagi tidak bercanggah dengan kebenaran adalah harus didukung.



Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaz bin Yusuf al-Thaqafi.


soalan yang ditanya oleh Hajjaz kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaz menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaz! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaz berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.



Hajjaz begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaz berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaz memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.



Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.



Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaz dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.



Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaz. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaz hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaz ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.



Sebagai rumusannya, ambillah semangat Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus dipertikai oleh masyarakat sekeliling.

Kepentingan ilmu dalam kehidupan

ABU Rayhan al-Biruni, seorang ahli fizik terkenal yang hidup pada abad keempat Hijrah, adalah seorang ilmuwan yang amat rajin mempelajari pelbagai disiplin ilmu sehingga beliau pernah diiktiraf sebagai salah seorang ilmuwan Muslim yang tersohor.


Pada satu ketika, saat menjelangnya ajal di katil pembaringan, seorang sahabatnya ahli fikah datang menziarahinya. Bagi al-Biruni, ini adalah kesempatan terbaik untuknya bertanyakan mengenai pelbagai masalah dan hukum.


Ahli fikah itu terkejut dan berkata: “Saya fikir pada saat ini bukanlah waktu yang sesuai untuk tuan berbahas dan berbicara mengenai ilmu pengetahuan.” Jawab al-Biruni secara terus-terang: “Kamu silap, wahai sahabatku! Aku fikir adalah lebih baik sekiranya aku mengetahui masalah dan hukum ini, kemudian aku meninggal dunia, daripada aku tidak mengetahui sesuatu apa pun, lalu aku meninggal.”



Begitulah cara hidup orang yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu pada setiap masa dan ketika. Ilmu adalah hidangan rohani kita. Di samping kita memikirkan kepentingan fizikal dan keperluan jasmani, kita juga perlu memikirkan hidangan rohani dan keperluan spiritual.


Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein pernah berkata: “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”


Menyedari akan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia, Islam mewajibkan setiap Muslim untuk menuntutnya dan mencarinya sebanyak mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardu kepada setiap Muslim, lelaki mahu pun wanita.” (Riwayat Ibnu Majah)



Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud: “Kelebihan seorang yang berilmu berbanding dengan seorang yang abid adalah seumpama kelebihan bulan purnama yang terang benderang di sisi bintang yang bergemerlapan dan cakerawala yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)


Di dalam al-Quran juga terdapat banyak rangkaian ayat memberi kemuliaan dan keistimewaan penuntut ilmu dan pencintanya. Antaranya, firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu).”

Dalam al-Quran juga terdapat banyak perintah untuk mempelajari dan merenung rahsia penciptaan alam, watak manusia, sejarah umat silam dan hukum-hakam. Sejarah Islam juga merakamkan bahawa beberapa orang kafir ditawan dalam Peperangan Badar, diberikan peluang Rasulullah SAW untuk dibebaskan daripada tawanan dengan tebusan.



Namun, terdapat beberapa orang saja yang boleh membaca dan menulis yang mendapat peluang diberikan itu, iaitu mengajarkan ilmu kepada pemuda Islam.


Oleh sebab itu, ilmu pengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi Allah yang mana ia terbukti melalui pengiktirafan Allah terhadap ilmu melalui wahyu pertama Ilahi kepada junjungan besar Rasulullah yang memerintahkan baginda mempelajari ilmu dan menitikberatkan kepentingan pembelajaran dalam setiap aspek kehidupan manusia.



Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”



Yang lebih menariknya, Islam menganggap hanya manusia yang dihiasi dengan ilmu pengetahuan saja adalah golongan yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir, ayat 28)



Jelas di sini bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam mengandungi satu kefahaman ilmu yang menyeluruh dan bersepadu yang mana antara ilmu dan nilai-nilainya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Termasuk dalam konteks ini, ilmu sains dan teknologi juga antara cabang ilmu pengetahuan memberi manfaat dan faedah amat besar kepada kelangsungan tamadun manusia.



Malahan Islam menjulang ilmu pengetahuan sebagai mekanisme utama menjurus ke arah kecemerlangan ummah.

Friday, March 23, 2012

Kawal emosi elak terjerumus ke lembah kehinaan

GERUN, takut dan rasa marah yang amat sangat apabila kita menatap paparan laporan media saban hari mengenai pembunuhan insan tidak berdosa. seolah-olah nyawa manusia begitu murah.


Sejarah pembunuhan berlaku sejak kewujudan manusia di muka bumi apabila Qabil bertindak membunuh saudaranya, Habil kerana iri hati. Sejak itu, satu persatu insiden pembunuhan menempa manusia seolah-olah membawa karakter buruk Qabil dalam kehidupan.



Kini, masih ramai manusia mewarisi sikap Qabil hingga tergamak membunuh bagi mencapai sesuatu yang dihajati atau melepaskan dendam kesumat di hati. Malah lebih tragis lagi, manusia masa kini dikatakan berfikiran bijaksana, berintelektual tinggi dan berteknologi canggih, masih terdapat yang mengetepikan nilai kemanusiaan, sebaliknya termakan hasutan syaitan dan usapan nafsu sehingga menggunakan pelbagai kaedah amat kejam ke atas mangsa.



Akibat tidak berpegang kepada nilai agama yang kukuh, pastinya memudahkan syaitan dan nafsu menjerumuskan kita ke arah yang terpesong daripada acuan agama.



Membunuh adalah dosa besar yang seharusnya dijauhi oleh setiap mukmin yang mengaku beriman dan bertakwa. Perlu kita ingat bahawa membunuh seseorang dengan sengaja, baik atas alasan iri hati, dendam kesumat atau apa saja tanpa alas an yang dibenarkan agama termasuk dalam golongan orang melakukan dosa besar.



Allah amat benci dan melaknat mereka yang terbabit membunuh insan lain dan mengancam dengan azab seksa maha pedih di akhirat kelak. Ini seperti mana kata Allah, “Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab besar baginya.” (Maksud Surah An-Nisa’ ayat 93).



Sebenarnya orang sanggup membunuh orang lain tanpa hak adalah golongan yang tidak memiliki nilai keimanan dan berjiwa rapuh. Walhal, dalam Islam, nilai kasih sayang dan mencintai antara satu sama lain dijadikan tonggak dalam kehidupan bermasyarakat dalam satu ikatan ummah yang utuh berpadu.



Seharusnya kita sebagai umat Muhammad SAW menyerapkan amalan silaturahim yang kukuh kerana inilah saja jalur kehidupan yang dituntut ke atas kita. Amalan itu seandainya kita padukan sungguh-sungguh dalam kehidupan akan memberikan kesan sangat positif ke arah mewujudkan satu ummah aman dan sejahtera lagi dirahmati Allah.



Telitilah dengan fahaman dan penghayatan sebenar makna Asmaul Husna, Allah Ya Rahman Ya Rahim seandainya diterapkan dengan penuh sedar boleh menjadi ubat ajaib dalam membina perpaduan yang erat sesama ummah.



Ingatlah bahawa Allah menyatakan, “Orang beriman dan beramal salih kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” (Maksud Surah Maryam ayat 96).



Orang yang beriman dan bertakwa sebenar sangat menekankan hubungan baik sesama mukmin dengan memperkasakan nilai sahsiah mahmudah setiap masa dalam kehidupan.

Pada prinsipnya Islam masih membenarkan pembunuhan, tetapi bagi situasi yang diharuskan seperti dalam peperangan. Itupun masih tertakluk kepada etika juga. Dalam peperangan, Islam melarang keras membunuh dan menganiaya wanita, orang tua yang uzur dan kanak-kanak.



Ini selalu dipesan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat Baginda. Demikianlah keindahan Islam yang menjaga maruah manusia.



Dalam Islam, orang membunuh tanpa hak secara hukum syarak dikenakan hukuman qisas, iaitu balasan bunuh ke atas pelakunya. Allah mengatakan, “Wahai orang yang beriman, diperlukan atas kamu qisas dalam pembunuhan, merdeka dengan merdeka, sahaya dengan sahaya, perempuan dengan perempuan.



“Barang siapa mendapat maaf daripada saudaranya, maka hendaklah dia mengikut secara baik dan membayar (diyat) kepada saudaranya itu dengan baik. Demikian itu satu keringanan daripada Tuhanmu dan rahmat-Nya. Barang siapa yang bertindak zalim, sesudah itu, maka untuknya seksaan yang pedih.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 178)



Dalam satu kenyataan, Rasulullah SAW menyebut kafir bagi pembunuh sebagaimana kata Baginda, “Janganlah kamu menjadi kafir sepeninggalanku dengan cara kamu membunuh sebahagian yang lain.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi). Ini membayangkan bahawa kesalahan membunuh manusia tanpa hak yang diharuskan agama satu dosa besar yang nyata.



Malah pada satu ketika yang lain Rasulullah SAW meletakkan kedudukan membunuh itu dosa besar kedua terburuk selepas perbuatan menyekutukan Allah. Kata Rasulullah SAW, “Di antara dosa paling besar adalah menyekutukan Allah, membunuh orang lain dan bersumpah palsu.” (Hadis Muttafaq ‘Alaihi)



Begitulah bersungguhnya Rasulullah SAW melarang kita daripada terjebak dalam kesalahan membunuh sehingga perkataan ‘kafir’ diguna pakai dalam pernyataan hadis Baginda itu tadi. Ini seharusnya memberi isyarat bermakna buat kita agar berusaha keras mengawal diri dan emosi supaya syaitan dan nafsu liat tidak berjaya memerangkap kita ke lembah yang hina itu.

Tuesday, March 20, 2012

Alasan pinggir IbuBapa lebih didorong bisikan Syaitan

ADA tiga kes ibu bapa menjadi tajuk berita dalam akhbar iaitu 'Buang bapa, kebas wang', 'Tinggalkan ibu lumpuh di hotel' dan 'Buang ayah sebab ayah pengacau'. Ketiga-tiga tajuk berkenaan benar-benar menyentap perasaan. Lebih terhiris hati apabila membaca pengakuan anak yang menyebut "Saya mengaku dia bapa kandung saya tetapi kami tidak serasi hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga saya".


Cerita Alqamah dengan ibunya banyak memberi pengajaran kalau kita benar-benar menghayatinya. Peranan yang dimainkan Rasulullah SAW mendorong ibu Alqamah segera memaafkannya, berbeza dengan pendiriannya sebelum itu. Sifat pemaaf ibu memudahkan Alqamah menghembuskan nafas akhirnya.


Sebaik saja Alqamah dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: "Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya." (Hadis Riwayat Abu al-Laith)


Justeru, isteri perlu memahami hak ibu ke atas anaknya yang diberi keutamaan dalam Islam. Lantaran, anak-anak akan bertindak dengan apa yang terbiasa dilakukan pada ibu bapa kerana kesaksamaan Allah itu maha adil.


Perbuatan anak di dunia sebenarnya menjadi ukuran dalam melayani kedua-dua ibu bapanya. Perbuatan anak dikatakan menjadi bayangan kepada penerimaan dirinya sebagai ayah pada hari tua nanti. Setiap perbuatan kita terhadap orang tua akan diterima pembalasannya pada usia yang sama. Sebenarnya, alasan untuk meminggirkan kedua-dua ibu bapa kita lebih terdorong oleh bisikan nafsu.


Membiarkan nafsu menguasai diri akan merosakkan nilai sahsiah manusia. Banyak kerosakan yang berlaku hari ini berpunca daripada kehendak nafsu, sama ada nafsu ingin membalas dendam atau amarah yang tidak terkawal terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu amarah sangat mengheret kepada kejahatan.” (Ayat 53: Surah Yusuf).


Sebagai seorang anak yang baik, kita hendaklah memperbanyakkan perkataan yang lembut dengan rangkuman kasih sayang kepada ibu bapa. Rendahkan suara di hadapan keduanya dan usah bersikap menyombong diri seperti yang diperintahkan Allah dalam firman-Nya: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang...” (Surah Al-Isra, ayat 24)


Orang yang beriman akan memberi keutamaan kepada kedua-dua ibu bapanya sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan untuk berbakti kepada ibu bapa ketika hidupnya mengakibatkan kita menempuh laluan sukar di akhirat nanti.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah.


Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Hadis Riwayat Muslim)



Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada kedua orang tua apabila menyalahi perintah kedua-duanya, seperti bakti keduanya bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau salah seorang daripada mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya, jika perintah itu bukan maksiat.



Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun, bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembali mu.” (Surah Luqman, ayat 14)



Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan mendapat keberkatan hidupnya di dunia. Sesiapa yang derhaka kepada ibu bapa akan disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa selagi itulah kita hidup dalam kemurkaan Allah.



Rasulullah SAW bersabda: “Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua-dua ibu bapa” (Hadis riwayat Tirmizi).

Hikmah Berdakwah Secara Lemah-lembut

ADA seorang pemuda yang datang menghadap Rasulullah SAW untuk bertaubat dan bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa kecuali berzina. Pengakuan pemuda itu mendapat maklum balas penuh sinis dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tetap mengajak pemuda tadi untuk berdialog dengan penuh santun dan senyuman seorang pembawa khabar gembira untuk umatnya.


Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu suka kalau hal ini berlaku kepada ibu kamu? Jawab pemuda: Tidak, demi Allah! Aku sebagai jaminanmu. “Demikianlah pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi kepada ibu mereka,” jelas Rasulullah SAW kepada pemuda itu. Kemudian, Rasulullah SAW bertanyakan lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini terjadi kepada anak perempuan kamu?” Dia menjawab: Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu.


Rasulullah SAW menjelaskan: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada anak-anak perempuan mereka”. Ujar Rasulullah SAW lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Begitu juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada saudara perempuan mereka.”


(firman Allah swt yang maksudnya: "serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik", surah al-Nahl, ayat 125.)



Rasulullah SAW bertanya lagi kepada pemuda: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada ibu saudaramu?” Pemuda itu kembali menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lantas Rasulullah SAW pun berkata: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai perkara ini terjadi kepada ibu saudara mereka.”

Akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda kepada pemuda itu seraya berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharakanlah kemaluannya.” Selepas itu, barulah pemuda itu menyatakan taubatnya kepada Allah dengan taubat nasuha.



Jelas daripada kisah ini, betapa Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita menelaah dalam sirah Rasulullah SAW dan betul-betul menghayatinya, didapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutama sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraisy, dan natijahnya amat luar biasa dan mengagumkan. Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125).


Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah dialog antara Nabi Ibrahim AS dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa AS dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf as dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi.



Pengajaran yang penting daripada kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". (Surah Taha, ayat 43-44)


Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108)


Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan bukan Muslim bukan hanya tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT.

Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama Muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam.



Dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani dalam kalangan bukan Muslim kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...