ADA seorang pemuda yang datang menghadap Rasulullah SAW untuk bertaubat dan bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perbuatan dosa kecuali berzina. Pengakuan pemuda itu mendapat maklum balas penuh sinis dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW, namun Rasulullah SAW tetap mengajak pemuda tadi untuk berdialog dengan penuh santun dan senyuman seorang pembawa khabar gembira untuk umatnya.
Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu suka kalau hal ini berlaku kepada ibu kamu? Jawab pemuda: Tidak, demi Allah! Aku sebagai jaminanmu. “Demikianlah pula halnya setiap manusia pasti tidak menyukai hal itu terjadi kepada ibu mereka,” jelas Rasulullah SAW kepada pemuda itu. Kemudian, Rasulullah SAW bertanyakan lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini terjadi kepada anak perempuan kamu?” Dia menjawab: Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu.
Rasulullah SAW menjelaskan: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada anak-anak perempuan mereka”. Ujar Rasulullah SAW lagi: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Begitu juga manusia lain pun tidak menyukai hal ini berlaku kepada saudara perempuan mereka.”
(firman Allah swt yang maksudnya: "serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik", surah al-Nahl, ayat 125.)
Rasulullah SAW bertanya lagi kepada pemuda: “Adakah kamu suka jika hal ini berlaku kepada ibu saudaramu?” Pemuda itu kembali menjawab: “Tidak, demi Allah! Allah menjadikan diriku sebagai jaminanmu. Lantas Rasulullah SAW pun berkata: “Demikianlah juga manusia lain pun tidak menyukai perkara ini terjadi kepada ibu saudara mereka.”
Akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda kepada pemuda itu seraya berdoa: “Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkanlah hatinya dan peliharakanlah kemaluannya.” Selepas itu, barulah pemuda itu menyatakan taubatnya kepada Allah dengan taubat nasuha.
Jelas daripada kisah ini, betapa Rasulullah SAW sebagai pembawa misi dakwah dan rahmat kepada sekalian alam, dari awal lagi Baginda menyampaikan dakwah dengan penuh kesantunan melalui budaya dialog, bukannya dengan kekerasan dan kekasaran. Jika kita menelaah dalam sirah Rasulullah SAW dan betul-betul menghayatinya, didapati bahawa Rasulullah SAW tetap bersifat santun pada setiap masa dan ketika, terutama sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaum Quraisy, dan natijahnya amat luar biasa dan mengagumkan. Orang yang dahulunya amat membenci dan memusuhi Rasulullah SAW, akhirnya menjadi pendukung dan pembela dakwah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (surah al-Nahl, ayat 125).
Budaya berdakwah secara santun dan berdialog dengan penuh hikmah adalah budaya semua utusan Allah yang kemudiannya diwariskan kepada umat manusia pada hari ini. Jika ditelusuri dalam al-Quran, kita akan menemui kisah dialog antara Nabi Ibrahim AS dengan Raja Namrud, dialog Nabi Musa AS dengan Firaun, dialog Nabi Yusuf as dengan penguasa Mesir dan lain-lain lagi.
Pengajaran yang penting daripada kisah dialog ini ialah kebenaran wajib disampaikan dan dibela, tetapi bukannya dengan kekasaran, kekerasan dan kebencian. Sebaliknya kebenaran hendaklah disampaikan dengan santun dan lemah lembut melalui pendekatan dialog yang penuh hikmah. Bukankah Allah SWT telah berpesan kepada Nabi Musa AS dan juga Nabi Harun AS supaya berdialog dengan Firaun dengan menggunakan tutur kata dan bahasa yang lemah lembut. Firman Allah SWT yang bermaksud: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". (Surah Taha, ayat 43-44)
Di samping itu juga, Islam melarang umatnya mencerca dan memaki apa-apa yang disembah oleh umat agama lain. Hal ini ditegaskan Allah SWT lewat firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am, ayat 108)
Pengertian ayat ini menyingkap etika berdakwah yang baik, iaitu bersifat santun dan tidak kasar atau kesat sewaktu berdakwah. Ini kerana dengan bersifat kasar dan kesat, akan menyebabkan bukan Muslim bukan hanya tidak tertarik dengan Islam, bahkan mereka juga akan membenci dan mencerca Islam, malah akan menghina Allah SWT.
Jika mencerca dan menghina sembahan orang bukan Islam dilarang Islam, apalagi mencerca dan memaki sesama Muslim yang hanya berlainan mazhab, fikrah atau politik. Oleh sebab itu, berdakwah ke arah kebaikan dengan tidak bersifat santun dan hikmah hanya akan menyebabkan kekeliruan, perpecahan, pertikaian dan permusuhan di kalangan umat Islam.
Dalam setiap kesempatan mengetuai peperangan, Rasulullah SAW tidak pernah lupa untuk sentiasa memperingatkan kepada sahabatnya, iaitu tentera Islam dilarang merobohkan rumah, merosakkan sebarang pokok dan pohon serta mencemarkan alam sekitar. Justeru, tidak hairanlah jika Rasulullah SAW amat dihormati dan disegani dalam kalangan bukan Muslim kerana sifat santunnya yang luhur, meskipun berada di medan peperangan.
No comments:
Post a Comment