Salam semanis ukhwah
Monday, March 26, 2012
Dua kelompok ilmuwan corakkan tamadun Islam
Prinsip perjuangan berasaskan duniawi, fikrah al-haq
PROSES pertumbuhan keintelektualan akademik sudah lama berlaku iaitu sejak lahirnya tamadun Islam di Andalusia dan Cordova. Pada masa sama, berlakunya zaman kegelapan di dunia Eropah. Selepas itu berlakulah kebangkitan rakyat Eropah yang dikenali dengan zaman Renaissance.
Sejarah ringkas itu membuktikan bahawa setiap daripada tamadun itu terbina adalah hasil daripada pertumbuhan keintelektualan akademiknya. Pada ketika itu, timbullah beberapa tokoh terkenal seperti Plato, Aristotle, Ibn Khaldun dan sebagainya. Kesan daripada pertumbuhan itu berjaya mencorak masyarakat ke arah komuniti berilmu selaras perkembangan politik semasa.
Sejarah keintelektualan ini mempamerkan betapa politik memainkan peranan dalam mencorak pemikiran ilmuwan negara. Namun, dengan keteguhan hati ulama seperti Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam al-Syafie, mempamerkan karektor kedudukan sebenar prinsip keilmuan. Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Keteguhan prinsip itu mencerminkan betapa pentingnya pemerintah menghormati idea dan pemikiran keintelektualan.
Selaras perkembangan itu, muncullah dua kelompok intelektual Islam iaitu:
Pertama, intelek duniawi iaitu ilmuwan yang hanya memerhatikan pandangan dunia sama ada secara zahir atau rohani. Tertegaknya keintelektualan mereka hanyalah dengan bantuan pihak berkuasa atau pun dengan bantuan pihak-pihak tertentu.
Mereka bertindak sebagai badan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemegang jawatan selaras misi dan visi golongan tertentu tanpa menghiraukan al-haq dan al-batil dalam merencanakan sesuatu keputusan. Jelas di sini pendirian mereka hanyalah sekadar bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai kedudukan golongan tertentu.
Kedua, intelek spiritualisme yang lahir hasil daripada pemahaman benar terhadap tuntutan menjaga dunia ini daripada kejahilan. Mereka sedar dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi. Namun, mereka bukannya seorang kontraktor yang mampu membina sebuah bangunan pencakar langit yang tersergam indah sebagai mercu kemakmuran negara, tetapi mereka adalah arkitek yang sentiasa berfikir untuk membina jiwa yang kosong daripada hidayah Tuhan.
Dalam memperjuangkan dunia intelek ini, mereka tidak hiraukan sesiapa pun untuk terus menyebarkan fikrah al-haqq (pemikiran kebenaran). Kemuliaan diri mereka tidak terbina hasil daripada pengaruh orang atasan, tetapi datangnya dari Allah SWT. Ia adalah hasil keteguhan perjuangan mereka.
Integriti dalam dunia akademik perlu terus dipertahankan. Ia selaras dengan prinsip untuk memastikan objektiviti yakni sikap tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan terus dilestarikan. Perjuangan keilmuan hanya berpaksikan kebenaran, amanah wajib dilaksanakan dan kebenaran harus dijulang, walaupun pahit terpaksa ditelan. Oleh itu, sirah Rasulullah SAW sudah merakamkan kejayaan Baginda bersama sahabat merentas benua demi benua menjulang panji kebenaran. Seperti kata Hukama, “kebenaran yang tidak bersistem akan dapat dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem”.
Ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, beliau pernah berkata: “Pegawai mana saja yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan ia pun tercela”. Inilah kepemimpinan yang menegakkan kebenaran dan kepemimpinan sebegini selagi tidak bercanggah dengan kebenaran adalah harus didukung.
Sejarah memaparkan pembuktian bagaimana tingginya nilai keilmuan yang dipegang oleh ulama walaupun terpaksa berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Said bin Zubair adalah contoh terbaik untuk dijadikan teladan kepada semua intelektual dalam menegakkan kebenaran. Beliau seorang intelektual agama daripada kalangan tabi’in. Bapa beliau ialah Zubair bin Awwam ra. Oleh kerana beliau selalu mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan pihak pemerintah, maka beliau telah ditangkap untuk menghadap Gabenor Hajjaz bin Yusuf al-Thaqafi.
soalan yang ditanya oleh Hajjaz kepada Said. Namun Said berjaya menjawabnya dengan tenang. Hajjaz menawarkan harta kepada Said, tetapi Said menolaknya dengan berkata: “Wahai Hajjaz! Apakah faedahnya harta yang demikian itu untuk menghadapi bencana akhirat nanti? Dengan apa pun caranya engkau menyeksa saya, nanti di akhirat engkau akan terima balasannya dengan lebih sakit dan lebih pedih lagi.” Hajjaz berkata lagi: “Apakah engkau tidak suka memohon keampunan saya? Saya sedia untuk memaafkanmu”. Said dengan tegas berkata: “Lebih baik saya memohon keampunan Allah SWT saja”.
Hajjaz begitu marah dan memerintahkan kepada pegawainya supaya membunuh Said. Said tersenyum mendengarnya. Maka Hajjaz berkata: “Mengapa kamu tersenyum?”. Jawab Said: “Saya hairan, mengapa engkau berani melawan Allah SWt.” Said segera ditelentangkan dan wajahnya menghadap ke langit. Mulut Said sentiasa terkumat-kamit menyebut nama Allah SWT. Melihat keadaan itu, Hajjaz memerintahkan supaya Said dibalikkan menghadap tanah.
Said segera membaca surah al-Anam ayat 79 yang bermaksud: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi dengan condong kepada agama yang benar dan aku bukanlah termasuk orang yang mempersekutukan Allah”.
Setelah membaca ayat iu, Said memalingkan wajahnya ke arah kiblat. Melihat keadaan itu bertambah kuatlah kebencian Hajjaz dan segera memerintahkan pengawal supaya memalingkan wajahnya ke arah lain. Begitulah seterusnya sehingga leher Said dipenggal.
Sebelum dipenggal, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaz. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaz hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaz ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.
Sebagai rumusannya, ambillah semangat Said untuk memartabatkan kembali dunia keintelektualan supaya nilai intelek itu dianggap seperti mutiara di lautan bukannya seperti batu-batu pasir yang bertaburan di serata tempat. Semangat ‘amanah terhadap ilmu’ harus terus disuburi di setiap dada golongan intelektual agar nilai ilmu itu tidak terus dipertikai oleh masyarakat sekeliling.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment