ABU Rayhan al-Biruni, seorang ahli fizik terkenal yang hidup pada abad keempat Hijrah, adalah seorang ilmuwan yang amat rajin mempelajari pelbagai disiplin ilmu sehingga beliau pernah diiktiraf sebagai salah seorang ilmuwan Muslim yang tersohor.
Pada satu ketika, saat menjelangnya ajal di katil pembaringan, seorang sahabatnya ahli fikah datang menziarahinya. Bagi al-Biruni, ini adalah kesempatan terbaik untuknya bertanyakan mengenai pelbagai masalah dan hukum.
Ahli fikah itu terkejut dan berkata: “Saya fikir pada saat ini bukanlah waktu yang sesuai untuk tuan berbahas dan berbicara mengenai ilmu pengetahuan.” Jawab al-Biruni secara terus-terang: “Kamu silap, wahai sahabatku! Aku fikir adalah lebih baik sekiranya aku mengetahui masalah dan hukum ini, kemudian aku meninggal dunia, daripada aku tidak mengetahui sesuatu apa pun, lalu aku meninggal.”
Begitulah cara hidup orang yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu pada setiap masa dan ketika. Ilmu adalah hidangan rohani kita. Di samping kita memikirkan kepentingan fizikal dan keperluan jasmani, kita juga perlu memikirkan hidangan rohani dan keperluan spiritual.
Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hussein pernah berkata: “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”
Menyedari akan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia, Islam mewajibkan setiap Muslim untuk menuntutnya dan mencarinya sebanyak mungkin selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardu kepada setiap Muslim, lelaki mahu pun wanita.” (Riwayat Ibnu Majah)
Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud: “Kelebihan seorang yang berilmu berbanding dengan seorang yang abid adalah seumpama kelebihan bulan purnama yang terang benderang di sisi bintang yang bergemerlapan dan cakerawala yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Di dalam al-Quran juga terdapat banyak rangkaian ayat memberi kemuliaan dan keistimewaan penuntut ilmu dan pencintanya. Antaranya, firman Allah dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu).”
Dalam al-Quran juga terdapat banyak perintah untuk mempelajari dan merenung rahsia penciptaan alam, watak manusia, sejarah umat silam dan hukum-hakam. Sejarah Islam juga merakamkan bahawa beberapa orang kafir ditawan dalam Peperangan Badar, diberikan peluang Rasulullah SAW untuk dibebaskan daripada tawanan dengan tebusan.
Namun, terdapat beberapa orang saja yang boleh membaca dan menulis yang mendapat peluang diberikan itu, iaitu mengajarkan ilmu kepada pemuda Islam.
Oleh sebab itu, ilmu pengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dan istimewa di sisi Allah yang mana ia terbukti melalui pengiktirafan Allah terhadap ilmu melalui wahyu pertama Ilahi kepada junjungan besar Rasulullah yang memerintahkan baginda mempelajari ilmu dan menitikberatkan kepentingan pembelajaran dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Firman Allah SWT dalam surah al-‘Alaq, ayat satu hingga lima yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Yang lebih menariknya, Islam menganggap hanya manusia yang dihiasi dengan ilmu pengetahuan saja adalah golongan yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. (Surah Fatir, ayat 28)
Jelas di sini bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam mengandungi satu kefahaman ilmu yang menyeluruh dan bersepadu yang mana antara ilmu dan nilai-nilainya tidak dapat dipisahkan sama sekali. Termasuk dalam konteks ini, ilmu sains dan teknologi juga antara cabang ilmu pengetahuan memberi manfaat dan faedah amat besar kepada kelangsungan tamadun manusia.
Malahan Islam menjulang ilmu pengetahuan sebagai mekanisme utama menjurus ke arah kecemerlangan ummah.
No comments:
Post a Comment