Salam semanis ukhwah

Saturday, January 22, 2011

Akibat kecuaian

2 Hospital kena bayar RM 870,000



Pasangan suami isteri terima pampasan atas kecuaian perubatan 10 tahun lalu

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengarahkan dua hospital kerajaan membayar sejumlah RM870,000 kepada pasangan Zainab Sam, 45, dan suaminya Rosli Mohd Amin, 53, akibat kes kecuaian perubatan, kira-kira 10 tahun lalu.

Saman itu dikemukakan berikutan kes kecuaian perubatan yang dilakukan Hospital Segamat dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) ketika Zainab melahirkan anaknya, Ahmad Alif Iqmal Rosli, 10, pada 2000.

Pasangan suami isteri itu hadir di mahkamah apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ummi Kalthum Abdul Majid membuat keputusan itu.

Terdahulu, plaintif memfailkan satu writ saman terhadap Hospital Segamat, HPSF dan Kerajaan Malaysia selepas anak yang dilahirkannya menderita lumpuh pada bahagian kiri badan dan kerosakan otak disebabkan kecuaian kakitangan perubatan.

Berdasarkan writ saman pada 12 Ogos 2003 yang dikemukakan peguam G Subramaniam Nair, Zainab yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ketika sedang hamil.

Sebelum melahirkan anak, Zainab meminta pihak hospital melakukan pembedahan secara caesarean berikutan anak dalam kandungannya besar. Namun, permintaannya ditolak kerana Zainab perlu bersalin secara normal berikutan beliau menghidap penyakit kencing manis.
Bagaimanapun, ketika sedang bersalin, Zainab menghadapi komplikasi apabila beliau tidak mampu meneran keluar anaknya. Ini menyebabkan kakitangan perubatan yang bertugas cuba menyelamatkan anaknya dengan cara menarik kepala bayi berkenaan serta menekan perutnya bagi membolehkan bayi itu itu lahir dengan selamat.

Akhirnya, Zainab berjaya melahirkan bayi seberat 5.28 kilogram. Namun, bayi dilahirkan itu mengalami masalah kesukaran bernafas dan memerlukan bantuan oksigen sebelum dikejarkan ke HPSF dengan ambulans.

Dalam perjalanan ke HPSF, bekalan oksigen kehabisan sebelum sempat tiba di hospital. Manakala bekalan oksigen yang ada dalam ambulans pula gagal berfungsi.

Berikutan insiden itu, anaknya terpaksa ditahan di dalam inkubator selama 30 hari dan diberi makan melalui tiub yang dipasang pada mulut.

Zainab dan suaminya bersyukur kerana sekurang-kurangnya beliau berjaya menuntut pembelaan ke atas anaknya yang kini hanya mampu duduk di kerusi roda.

“Saya sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada peguam kami dan adiknya, Visvanathan Nair serta rakan kongsinya, Ebrina Zuber kerana bersama-sama membantu membela nasib anak saya sehingga berjaya,” katanya.

1 comment:

  1. salam.
    nice blog.
    sudi2 follow blog airin yer.
    melodicitraairin-airin.blogspot.com

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...