Salam semanis ukhwah

Saturday, January 22, 2011

Kecemerlangan ummah tuntut transformasi diri



MENJADI umat cemerlang adalah tuntutan dalam Islam. Justeru, umat Islam perlu melakukan transformasi ke arah mencapai kecemerlangan dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Malah, pelaksanaan kerja dan hasil kerja dilakukan yang cemerlang lebih bermakna. Penilaian kecemerlangan bukan titik noktah tetapi tonggak untuk meningkatkan kecemerlangan.

Umat Islam bukan hanya berfungsi pada ibadat khusus semata-mata tetapi peranan lebih luas daripada itu ialah sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah, antara tugas khalifah adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia. Ini bermakna kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi perlu dijana serentak. Firman Allah yang bermaksud: “Ada antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat). Dan antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 200-202) Persoalan besar timbul, mengapa segelintir umat Islam tidak mahu berubah menjadi cemerlang walaupun berpeluang melakukannya. Apa yang jelas, sikap lalai, cuai, alpa dan suka menangguhkan sesuatu usaha serta tidak menggunakan potensi diri menjadi punca peluang itu terlepas begitu saja. Kecemerlangan Muslim berkait rapat dengan transformasi diri, penyediaan perancangan masa depan yang kemas serta teliti dan strategik. Kebijaksanaan melakukan perubahan membantu Muslim merancang masa depan sesuai perubahan masa serta mampu mengurangkan kegagalan. Perhatikan manusia yang cemerlang, mereka tidak pernah memperkatakan mengenai kegagalan, sentiasa merancang kegiatan mendorong ke arah mencapai cita-cita, sentiasa memanfaatkan waktu dan menghargai masa. Umat Islam sebagai umat teras, menuntut kebijaksanaan tinggi dalam menyusun kehidupan. Harus diingat usaha mencapai kecemerlangan memerlukan satu perubahan atau tajdid yang mampu membebaskan umat Islam daripada belenggu kebekuan bersifat tradisi. Dalam melakukan transformasi diri ke arah kecemerlangan, ia memerlukan individu mempunyai jiwa kental. Mereka ini memiliki kemahuan tinggi yang tidak mampu digugat kelemahan. Prinsip ini mampu membentuk individu serta masyarakat cemerlang, melahirkan negara bangsa yang mampu bangkit, bersemangat waja dan mempunyai jati diri yang murni lagi kukuh. Kecemerlangan jika dihala kepada kebaikan akan membawa keuntungan. Namun, jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti akan tercalar. Renungilah pesanan Rasulullah SAW daripada Jabir mengenai kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya yang bermaksud: “Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka.” (Hadith riwayat Muslim) Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab perlu meletakkan tanda aras prestasi cemerlang memainkan peranan masing-masing. Sebagai pemimpin, perlu meletakkan indeks kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan supaya kegemilangan tamadun Islam dapat diulangi. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu meletakkan indeks keharmonian rumah tangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat penuh ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan yang dapat menghindari ahli keluarga daripada gejala rosak akhlak. Sebagai Muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan serta sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah. Justeru, marilah bersama melakukan transformasi diri dengan mengubah kebiasaan negatif yang selama ini menjadi rutin kehidupan, mengubah pemikiran ke arah lebih kreatif dan inovatif supaya senafas dengan peredaran zaman. Jadikan transformasi diri sebagai batu asas membina tamadun bangsa beretika dan bermaruah. Jadikanlah keyakinan diri sebagai pegangan hidup, dorongan sebagai teman setia, putus asa di anggap musuh durjana dan jadikanlah usaha tangga kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...