insyallah.........^^
FIRMAN Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali Imran, ayat 102) Ibnu ‘Abbas menyatakan orang bertakwa adalah mereka yang sentiasa mengingati seksaan Allah apabila meninggalkan perintah-Nya, oleh itu mereka akan melaksanakan perintah itu dengan penuh kepatuhan dan mengharapkan keredaan Allah.
Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab pengertian takwa. Lantas Ubay mengajukan soalan kepada Umar kembali dengan berkata: Pernahkah tuan melalui jalan penuh berduri? Jawab Umar: Tidak pernah.
Ubay memberikan penjelasan: Sudah tentu kita mengelak daripada terpijak duri apabila kita melalui jalan itu. Begitulah makna takwa, kita mengelakkan diri dari melampaui batasan Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Bertakwalah kamu di mana saja kamu berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak terpuji.” (Hadis riwayat Tirmizi) Tafsiran takwa Saidina Ali Abi Talib ialah takutkan Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan sedikit serta bersiap sedia setiap masa menghadapi kematian. Dapat disimpulkan takwa adalah pemantapan akidah yang ikhlas kepada Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut kalimah tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dengan ikhlas, nescaya dia dapat masuk syurga.” Kemudian Baginda SAW ditanya: “Apa maksud ikhlas itu? Lantas Baginda SAW menjawab: Iaitu kamu memelihara diri kamu daripada melakukan larangan Allah.” (Hadis riwayat Tabarani) Sifat takwa sering dikaitkan sebagai sifat mukmin berjaya dan berbahagia di akhirat. Keimanan Muslim yang jitu terhadap Allah membentuk peribadi Rabbani dan terpelihara hala tuju hidupnya. Orang beriman sebenarnya tidak sabar menghuni alam syurga yang penuh kenikmatan. Oleh itu, antara pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya dalam menelusuri titian hidup ialah sentiasa mengingati mati. Pesanan itu bukan bertujuan meninggalkan terus urusan keduniaan kerana Islam menyeru umatnya membangun akhirat seimbang dengan pembangunan duniawi. Membangun keduniaan dengan bermodalkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah sebenarnya dituntut Islam. Sesiapa yang sentiasa mengingati mati dianggap sebagai orang paling bijaksana dalam kalangan orang mukmin. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang paling bijaksana dalam kalangan kamu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya serta beramal sebagai persediaan untuk menghadap Allah selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, sentiasa menuruti hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi) Dalam hadis lain, Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya memperbanyakkan mengingati mati: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi) Muslim yang mengingati mati sentiasa menginsafi dirinya dan menyedari Allah Maha Memerhati serta Mengawasi setiap gerak gerinya sama ada pada waktu terang mahupun sunyi. Mengingati mati mengurangkan panjang angan-angannya, menjauhkan fitnah dunia dan membersihkan hati dari sifat sombong dan tamak. Seterusnya, mengingati mati dapat menjadikan seseorang Muslim itu mempunyai wawasan hidup duniawi dan ukhrawi yang jelas, mempunyai semangat waja dan beristiqamah menelusuri titian hidup penuh pancaroba dengan sentiasa bergantung harap kepada Allah.
No comments:
Post a Comment