Salam semanis ukhwah

Wednesday, January 19, 2011

Dunia akhir zaman


Sindiket jual bayi ada rangkaian besar



KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan bayi terbesar yang dilumpuhkan minggu lalu dipercayai mempunyai rangkaian di luar negara sehingga membolehkan kumpulan itu mendapat pelanggan di beberapa negara terutama Singapura. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti saiz sebenar operasi sindiket terbabit yang berpusat di Lembah Klang, Sarawak dan Johor, termasuk mengesan saki baki anggota mereka.
“Berikutan itu, tempoh siasatan akan dilanjutkan sehingga tiga bulan lagi bagi membanteras kegiatan ini hingga ke akar umbi. Kita sedang berhubung dengan pihak berkuasa di beberapa negara jiran bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Kita percaya kegiatan dilakukan secara terancang, Usaha paling penting kini untuk mengenal pasti saiz sebenar operasi sindiket itu,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam. Sabtu lalu, Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) D7 JSJ Bukit Aman, menahan lapan anggota sindiket terbabit, termasuk empat warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun, masing-masing di sebuah klinik swasta dan rumah kediaman di Selayang serta Subang Jaya hasil maklumat risikan. Turut diselamatkan tiga bayi berusia antara lima hingga tujuh hari yang dalam proses untuk diperdagangkan dengan harga di antara RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada kesihatan dan paras rupa. Beberapa dokumen berkaitan pengeluaran sijil kelahiran, buku rekod dan wang tunai RM3,000 dipercayai pendahuluan pembelian bayi turut dirampas dalam serbuan itu. Semua lapan suspek ditahan reman sehingga 22 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Sehingga kini, 30 suspek berjaya ditahan sejak operasi membanteras kegiatan penjualan bayi dilancarkan besar-besaran sejak pertengahan tahun lalu di Sarawak dan sekitar ibu negara, dengan 22 bayi berjaya diselamatkan. Mohd Bakri berkata, dalam serbuan terbaru itu pihaknya juga berjaya menyelamatkan dua wanita warga negara asing yang sarat mengandung dan seorang wanita tempatan dipercayai ibu salah seorang bayi yang diselamatkan di klinik swasta terbabit. “Kita percaya klinik itu sudah memperdagangkan sembilan bayi tidak termasuk tiga bayi yang berjaya selamatkan. Semua mereka (bayi dan ibu) yang berjaya diselamatkan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan penjagaan rapi,” katanya. Mohd Bakri berkata, pihaknya juga masih menyiasat sama ada ibu kandung bayi yang diperdagangkan itu menyerahkan bayi mereka secara sukarela atau dipaksa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...